Friday, September 11, 2015

Kesayanganku, Azra'



   Alhamdulilah tanggal 6 September 2015,tirai semester baharu  bagi pengajian saya di UIAM telah dinaikkan semula.Seperti biasa,pada hari ini kami mandaftar dan mengemas bilik yang akan dihuni buat semester ini.Habuk dan debunya tidak usah dicerita,cukuplah bagi yang merasainya.senyum.
Permulaan semester baharu ini juga,sempat saya ke Ong Tai Kim sebentar kerana ingin merawat kekasih hati si Azra' yang kurang sihat kebelakangan ini.Sejak dari semester pertama,Azra' lah peneman saya pagi,siang dan malam.Walaupun kadang-kadang ia merajuk dan suka buat hal,kita layankan ajelah.Iyalah,siapa lagi yang sanggup menahan karenah saya melainkan Azra'.

   Pada masa inilah kisah yang menyentuh hati saya berlaku,Walaupun sentuhannya mungkin terlalu lembut buat saya yang berhati agak keras dan ego,namun tetap ada "contact".Bak kata pengadil yang melayangkan kad merah kepada Nazmi Faiz dalam perlawanan terakhir liga Super pasukan Selangor beberapa minggu yang lepas.

   Ketika itu,Azra' sedang dirawat dan ditukar kedua-dua roda nya kerna telah lusuh setelah hampir 13 tahun berbakti kepada saya.Dalam kekhusukkan saya memerhati Azra dibaiki,datang sebuah keluarga menghampiri kedai tempat saya mengambil duduk merenung Azra.Keluarga ini terdiri daripada dua orang anak kecil dalam lingkungan usia 8-12 tahun dan seorang anak lelaki yang saya kira berada di sekolah menengah.Mereka ditemani ibu dan mungkin nenek mereka ketika itu menurut pengamatan saya.Di benak pemikiran,sudah pasti tujuan mereka hadir kesini untuk membeli basikal buat si anak.

   Ketika itu si anak lelaki mula mencari-cari dan meneliti setiap basikal yang ada dihadapan matanya.Mungkin pada sesetengah orang,basikal hanyalah satu bentuk kenderaan yang biasa dan murah,tetapi pada insan lain,ia adalah satu bentuk kemewahan.Dan pada keluarga ini,ia bukanlah sesuatu yang murah.Remaja lelaki tadi menunjuk dan memilih satu demi satu basikal yang berkenan dihatinya,namun setiap kali itu jugalah sang ibu terpaksa menolak kerna harganya yang tidak mampu mereka tanggungi.Kala waktu itu, saya tersepit di tengah-tengah perbualan dan terpaksa mendengar,haha.

"Yang ni mak?"
ujar remaja tersebut sambil jari telunjuk menghala ke arah sebuah moutain bike yang tergantung di dinding kedai.

"Yang ini seribu lima ratus saja ma,stok lama kita mau kasi habis"
laju aunty pemilik kedai tersebut mencelah.
Si ibu menggeleng perlahan,

"Yang murah lagi takda ka amoi?" soal si ibu.

"ada,inilah harga baru seratus lapan puluh sajaa" jawabnya sambil menujuk ke arah sebuah basikal tanpa gear yang terletak di hujung deretan basikal tersebut.

remaja tersebut menggeleng dan masih dengan ingin mengikut pilihan hatinya.Kali ini sebuah basikal fixi,berharga lebih kurang 380 ringgit malaysia.Walaupun agak janggal kerana duduk disitu,saya tidak mampu menukar kerusi kerana tempat duduk yang disediakan berada benar-benar hampir dengan mereka.Maka,setiap perbualan mereka saya terpaksa dengar walaupun nampak macam busy body kata orang.haha

   Akhirnya selepas beberapa ketika,basikal fixi itu dibawa turun dari dinding kedai dan diletakkan di lantai sedia untuk disiapkan oleh pekerja kedai tersebut.Ini kerana kebiasaannya basikal yang dipamerkan ini pedalnya masih belum dipasang serta letak duduk penunggang akan di selaraskan ketika itu juga.Kala itu,terlintas dihati saya betapa besarnya pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka,seorang ibu kepada anaknya.Kadang-kadang di usia remaja kita sering tidak sekepala dengan emak atau abah lebih-lebih lagi.Sering kita merasakan mereka menggongkong hidup kita.Nak keluar dengan kawan-kawan,mak tak bagi,.Nak pergi tidur lewat malam menonton tv,awal lagi sudah disuruh masuk ke kamar dan bermacam lagi.Namun inilah sebenarnya tanda mereka menyayangi kita.Tanda bahawa ibubapa kita sentiasa hendak yang terbaik buat kita,Kan?

   Seluruh kehidupan saya di sekolah menengah saya menetap di asrama.5 tahun terpisah dan tidak duduk sebumbung dengan emak dan abah menyebabkan saya sedar bahawa masa yang saya habiskan dengan mereka sebenarnya terlalu sedikit.Saya mengambil contoh pelajar yang tinggal di asrama sewaktu zaman pesekolahan,kini anda menyambung pengajian di universiti selama 4 tahun dan kemudian masuk alam pekerjaan dan perkahwinan,sudah tentu kita akan duduk berasingan dengan kedua-dua ibu bapa kita.Jadi sebenarnya berapa banyak sahaja masa yang kita luangkan bersama kedua ibu bapa kita? sedikit bukan.Kerna itu saya sarankan kepada diri saya sendiri dan anda semua,gunakanlah masa yang kita ada dengan ibubapa kita ini sebaik mungkin.Kita tidak sedar,sedang kita semakin membesar dan berdikari ibubapa kita juga semakin tua dan berusia.

   Akhirnya selepas kira-kira 45 minit,Azra siap dibaiki dan sedia untuk ditunggang semula.Saya gembira,dan terharu.Kerna abah sanggup melayan dan menghantar saya kesini untuk merawat si Azra."Terima kasih abah",ujar saya sambil mula menolak gear ke dalam mode drive dan memandu Naza Ria hitam ke arah UIAM Gombak.Sungguhlah,kisah hari ini yang  berlaku di depan mata saya membuka pemikiran dan hati saya.Secara jujurnya,saya bukanlah jenis yang mudah meluahkan perasaan dalam bentuk perkataan dan perlakuan,jadi ungkapan terima kasih is an improvement i guess,haha.Biasanya kami sama-sama faham bahwa anak gembira,ibu bapa pun suka.Seakan-akan telah ada persefahaman antara kami yang tidak memerlukan tutur kata untuk meluahkannnya.Tapi hari ini saya berjaya mengorak langkah untuk lebih menghargai orang yang saya sayang.Bukan setakat dari segi perlakuan,tetapi juga dari segi lisan.Kebiasaannya lelaki memang kurang sikit bab-bab meluahkan perasaan ini terhadap insan yang mereka sayang..Mereka sayang,tapi ditunjukkan dengan perbuatan dan perlakuan namun amat jarang sekali melalui percakapan.Ego tinggi dan nak jaga macho lah konon,haha.

   Moga semester baharu ini dapat saya lalui dengan jayanya.Dan semoga kita semua menghargai ibu bapa kita sementara mereka masih ada.Kerna tanpa redha mereka,pintu syurga takkan terbuka buat kita.Selamat kembali ke kelas dan selamat menuntut ilmu saya ucapkan buat rakan-rakan seperjuangan sekalian.Sering saya ingatkan diri bahwa tujuan kita belajar bukan hanya untuk kepentingan kita sendiri,tetapi adalah demi agama kita sendiri. :)

Azra' yang setia bersama saya!
Kalau nampak saya dan Azra berjalan bersama jangan lupa tegur ya! sebab kadang tak perasaan dengan kehadiran anda,hiks :)


 

No comments:

Post a Comment