Friday, October 20, 2017

sakit


Sakit. Satu perkataan yang membawa makna yang cukup membekas apabila ditangkap oleh telinga. Beberapa hari yang lepas saya berkesempatan melawat seorang ibu kepada sahabat yang terlantar di hospital. Beliau disahkan menghidapi kanser lymphoma setelah sekian lama kanser tersebut wujud di dalam tubuh badannya.

   Melawati orang sakit mengingatkan kita kepada pelbagai perkara. Tentang nikmat kesihatan apabila tiada, tentang nikmat berjalan ketika sudah tidak bisa berdiri, dan semestinya nikmat untuk masih menghirup udara di atas bumi ciptaan tuhan, sebelum paru-paru berhenti menapis udara kelak. Ziarah yang saya ikuti ini juga memberi satu pengajaran yang sukar didapati di tempat lain tetapi hanya di hospital. Apa yang ingin saya maksudkan ialah kesabaran dan ketabahan menjaga orang sakit.

   Wanita awal 50-an itu merenung kami satu persatu usai diperkenalkan nama kami kepadanya. Sempat ia berseloroh sebelum kembali mencari nafas. Matanya redup, memerhati anak-anak muda yang sihat tubuh badannya di kemuncak kehidupan. Seakan-akan terbayang akan dirinya di saat remaja dahulu berdiri seiiring dengan kami.. Dengan berat nafas ia membuka bicara.

"Tak senang menjaga orang sakit ni dik..Acik ni bersyukur sangat ada yang sanggup menjaga makan minum semua di sini." dia berhenti mencuri nafas. "Kamu nanti kalau mak ayah ke, keluarga ke sakit, jagalah mereka elok-elok,,kena banyak bersabar,jangan cepat marah bila disergah.. Masa ni kamu masih muda, masih ada kudrat dan tenaga. Gunalah elok-elok, buat benda baik, belajar agama..nanti dah tua tak larat!' ujarnya sambil menghela nafas panjang..Kami diam mendengar. Menghormati nasihat dan kata-katanya sambil minda mencipta situasi sendiri kelak.

   Kipas di syiling pegun. Tidak dihidupkan kerana udara di wad pesakit telah nyaman dan selesa dikawal oleh pendingin hawa. Agak lama suasana sepi tanpa bicara. Katil hujung ini dikerumuni 11 anak muda. Terkadang penghuni lain di wad 8C menjeling ke katil hujung ini. Mungkin kerana gelak tawa kami yang cuba menghidupkan suasana sepi disini.

"Aihh cakapla, kenapa semuanya senyap?" getus wanita itu sambil menjeling anaknya,diikuti kami sebaris.

serentak kami tertawa. Masing terasa lawak dengan kejanggalan sendiri yang diam seakan-akan bisu.

   Disini, tika saat ini, aku tenggelam dalam fikiran yang jauh di dalam kalbu. Bertapa kini aku berdiri menghadap makhluk tuhan yang persis sepertiku, bezanya hanyalah di dalam jasad itu ia sedang berjuang untuk terus hidup menatap matahari pada hari mendatang. Dan aku, juga berjuang namun di dalam medanku yang tersendiri. Di rumah sakit ini juga membuat aku termenung tentang dua pengakhiran. kehidupan ataupun kematian. Jika ditanya kepada semua manusia, pasti kesemuanya akan menjawab mereka mahu hidup. Hidup untuk mengejar cita-cita, ingin hidup untuk memenuhi impian, dan tidak kurang juga untuk membantu jiwa-jiwa yang hampir mati tidak bertuhan kembali mencari-Nya. Tiada siapa pun yang menginginkan kematian, melainkan jiwa mereka telah dibunuh oleh kezaliman mereka yang sebangsa dengannya. Namun, semua manusia akur benar bahawa satu ketika nanti mereka tetap akan mati. Iya benar, kita semua akan mati juga. Namun dengan cara yang bagaimana? dengan keadaan yang bagaimana? itu semua berada di tangan kita untuk menentukannya. Husnul khatimah, impian setiap yang bergelar muslim.

   Di penghujung ziarah itu,kami nenitipkan doa dan kata-semangat buat wanita itu agar terus kekal kuat dan berjuang. Tidak lupa juga bekalan doa dan tiupan semangat kepada sang anak yang menyemai pahala menjaga ibunya. Anak itu sedar tidak sedar sebenarnya sedang membina rumahnya di syurga sana. Rumah yang akan didiami mereka sekeluarga kelak di akhirat nanti, ameen. Melangkah perlahan meninggalkan perkarangan hospital, aku tersenyum sendirian.

Monday, October 09, 2017

Kasihan Si Pensyarah



Kasihan si pensyarah,

Berdiri dia menahan lelah,

Tenang dan lancar menutur madah,

Berharap sampai segala hikmah.

Namun tidak si penuntut ilmu,

Wajahnya tekun manatap buku,

Tetapi dikhianati matanya itu,

telefon pintar selesa diatas buku.

Pensyarah masih gigih menerangkan,

Penuntut ilmu leka bersama teman-teman,

Pensyarah  sedar dia diendahkn,

Pahit itu biarlah dia telan.

Tamatlah sudah satu jam setengah,

Ke kamar lemah pensyarah melangkah,

Sedang penuntut ilmu masih berdekah,

Kasihan pensyarah

Umpire

   Assalamualaikum semua. sudah lama tidak kita bersua! hehe Jadi entry kali ini nak bercerita tentang pengalaman menjadi umpire ataupun di dalam bahasa melayu nya pengadil. Pada 8 Oktober yang lalu saya dan rakan, Ameer wafiq telah menggendong tugas selaku umpire bagi pertandingan bola tampar sempena karnival sukan mahallah safiyyah,uiam.

   Pada mulanya, kami agak ragu-ragu dan takut-takut kerana kedua kami tidak pernah terlibat secara langsung dalam dunia pengadilan sukan bola tampar. Namun, berbekalkan inspirasi Tony Stark yang mampu menguasai thermal nuclear astrophysics dalam masa satu malam. Kami tekad menerima tawaran secara sukarela.

kredit


   Alhamdulillah, berkat menonton anime Haikyu! sebanyak 63 episode di dalam 3 season berbeza, saya lebih yakin menjadi umpire kali ini. Terima kasih juga buat video-video hand signal di YouTube yang banyak membantu. Apapun, pengalaman kali ini mengajar saya bahawa tiada yang dapt menghalang kita jika kita berusaha. Dugaan sentiasa ada,tetapi yang penting cara kita berhadapan dengan dugaan-dugaan tersebut. Program kali ini juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk mendalami sukan bola tampar! 

  Okay sekian entry kali ini, Assalamualaikum!

sesi bergambar bersama principal dan peserta karnival sukan safiyyah

Bersama sahabat kami, merangkap MRC Safiyyah, Ayuulan

Umpire volleyball