Sunday, September 17, 2017

Syukur


Syukur. Satu perkataan yang hanya mempunyai 5 abjad namun pengertiannya lebih daripada itu. Ia merupakan suatu bentuk penzahiran ke atas sesuatu nikmat, dan boleh juga diatas sesuatu musibah. Hairan bukan? Bagaimana sesebuah musibah juga boleh dijadikan sebab untuk kita bersyukur. Masyarakat biasa menzahirkan kesyukuran ke atas sesuatu yang menggembirakan mereka. Sebagai contoh seorang pelajar bersyukur dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, seorang pekerja bersyukur dengan kenaikkan gaji dan sepasang suami isteri bersyukur dengan kelahiran cahaya mata pertama mereka. Persoalannya, bagaimana perasaan syukur yang mendiami hati itu boleh dizahirkan atau diluahkan. Bagaimanakah cara sebaiknya untuk kita melahirkan perasaan syukur kepada ilahi diatas sesuatu yang kita perolehi. Jadi, dengan izin tuhan yang Maha Pemurah akan saya kongsikan bagaimana cara saya menzahirkan rasa kesyukuran ke atas Tuhan pemilik alam ini.
Pertamanya, amalan termudah sekali dalam menzahirkan kesyukuran yang selalu saya praktikkan ialah melalui lisan. Dengan melafazkan kalimah tahmid diatas segala kurniaannya ke atas saya. Contoh mudah, lidah akan kebiasaannya secara automatik akan menuturkan lafaz Alhamdulillah sebaik sahaja kita menerima sesuatu khabar berita gembira. Tika lafaz ini terucap hati terasa nyaman dan lapang mengenangkan kurniaan tuhan. Di dalam surah Ibrahim ayat ke-7, Allah berfirman “Jika kamu bersyukur dengan nikmat Ku, Nescaya akan Aku tambah lagi nikmat kepada mu”. Subhanallah, indah bukan? Pabila kita mensyukuri nikmat yang telah allah beri, Allah akan gandakan lagi nikmat tersebut dan tidak dikuranginya!

Kedua, penzahiran kesyukuran juga dilakukan dengan menahan diri daripada berbuat maksiat. Dengan segala nikmat tubuh badan, udara dan masa yang telah allah beri kepada kita, maka menahan diri daripada kemaksiatan juga merupakan salah satu wasilah melahirkan perasaan syukur kepada ilahi. Tambahan pula, sambungan kepada ayat ke-7 Surah Ibrahim Allah berfirman “Jika kamu ingkar dengan nikmat yang telah Aku berikan,sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. Ini merupakan satu amaran daripada Allah bahawasanya kita sebagai hamba-hambanya harus bersyukur dan mengelakkan daripada membuat maksiat dengan nikmat yang telah Dia berikan.

Kesimpulannya, cara melahirkan syukur bagi setiap insan mungkin berbeza namun semunya mempunyai matlamat yang sama. Maka terpulanglah kepada setiap individual bagaimana untuk memanifestasikan perasaan syukur tersebut. Pejam mata dan helakan nafas lembut sambil bibir menutur lembut,Alhamdulillah.