Friday, April 07, 2017

Dialog ALB: Keselamatan atau kelecehan ?


Dewan Senat, 6 April 2017- Pada jam 5.30 petang telah berlangsungnya sesi dialog di antara Rektor Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Prof Dato Dr Zaleha, Deputy Dean of Student Affairs, Prof. Datuk Dr. Mizan bin Hitam, dan Tuan Zulkifli, Director Office of Security management (OSem) bersama pelajar-pelajar UIAM berhubung dengan isu Automatic lane barrier (ALB) yang telah dikuatkuasakan bermula 1 April yang lalu. Sesi ini diadakan setelah ketegangan kian memuncak dalam kalangan komuniti UIAM setelah implimentasi sistem ini mengakibatkan pelbagai masalah.

   Sesi ini berlangsung selama 1 jam 45 minit dengan ucapan pembukaan daripada Bonda sendiri yang menyentuh aspek adab dan akhlak sepanjang sesi dialog nanti. Beliau juga mengetengahkan elemen kekeluargaan kepada semua pihak di dalam dewan. Dengan harapan isu ini adalah isu kita bersama, dan beliau tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak serta jelas bonda tidak mahu pelajar dan Osem berbalah antara satu sama lain. Kemudiannya, giliran Tuan Zulkifli sebagai Director Osem menyampaikan ucapan beliau. Disini dapat saya catit sedikit isi-isi ucapan dan pembentangan beliau.

   Sistem ALB telah dikuatkuasakan setelah Tuan Zulkifli sendiri yang membawa usul ini di dalam mesyuarat University Management Council (UMC). Perkara ini telah dibahaskan dan dipersetujui penguatkuasaannya oleh pihak UMC. Dua objektif utama sistem ini ialah:

1) Membanteras kes kecurian di dalam kampus

Tuan Zulkifli menunjukkan kepada hadirin di dalam dewan tentang rekod kes-kes kecurian kenderaan yang berlaku di dalam UIAM sepanjang tahun 2015 hingga tahun 2017. Daripada data yang ditayangkan, jelas masalah kecurian amat merisaukan dengan minimum 10 kes setiap tahun. Tidak terkecuali juga dua buah kenderaan milik universiti, yakni Proton Perdana milik OCCM dan Suzuki Vitara turut hilang dicuri. Terbaru, sebuah motorsikal curi telah dijumpai di kawasan perpustakaan Al-Hikmah setelah pencuri gagal membawa ia keluar kerana sistem ALB. Ini adalah antara pencapaian positif hasil sistem ALB, ujar beliau.

2) Mengatasi masalah trafik di dalam kampus

   Dengan berkuatkuasanya sistem ini, bilangan kenderaan di dalam uiam dapat dikurangkan dan akhirnya mengatasi masalah trafik sesak di dalam kampus. Ini adalah kerana hanya pelajar tahun akhir dan yang mempunyai masalah kesihatan sahaja dibenarkan membawa kereta. Manakala selain daripada kategori diatas mereka hanya dibenarkan membawa motorsikal. Selain daripada itu, hasil siasatan pihak Osem juga mendedahkan bahawa orang awam menggunakan Uiam sebagai jalan pintas mereka. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang masuk menggunakan pintu tiga uiam dan keluar melalui pintu dua untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah di kawasan pintu dua UIAM. Dengan penerangan ini jelas menampakkan rasionalnya sistem ALB ini bagi mengatasi masalah traffik di dalam kampus


   Selepas ucapan dan taklimat ringkas Tuan Zulkifli, sesi soal jawab berlangsung selama hampir 45 minit dengan deretan luahan, tembakan soalan serta cadangan penambahbaikkan daripada pelajar tidak lupa juga pensyarah UIAM sendiri. Disini saya simpulkan soalan-soalan yang ditanya serta jawapan daripada pihak Osem dan juga daripada bonda sendiri.

1) Pelaksanaan sistem ALB telah mengakibatkan kesesakkan lalu-lintas terutamanya ketika waktu puncak "peak hour". Sistem ini telah menyebabkan keadaan traffik jammed di dalam dan luar pagar uia. Selain daripada itu, pelaksanaannya yang kurang jelas mengelirukan pengguna. Sebagai contoh, seorang pelajar mengatakan beliau terpaksa menunggu selama 20 minit untuk masuk ke dalam Uia sahaja. Itupun setelah pihak keselamatan secara tiba-tiba membenarkan kenderaan masuk tanpa menggunakan touch card. Kata beliau, mungkin keadaan telah terlalu sesak ketika itu, justeru pihak keselamatan membenarkan kenderaan masuk tanpa melalui ALB. Jika ini yang berlaku, jelas menunjukkan sistem ALB mengakibatkan keadaan traffik yang lebih teruk berbanding sebelum kewujudannya. Malah, ia membuktikan pelaksanaan yang tidak jelas kerana dengan membenarkan kenderaan masuk sebegitu sahaja, sudah pasti ada pihak yang berniat jahat dapat meloloskan diri mereka. Maka jelaslah ia sudah lari dari matlamat asal sistem ini, yakni menyekat anasir-anasir luar yang berniat jahat untuk masuk ke dalam Taman Ilmu dan Budi. Pada saya, respon yang diberikan oleh Tuan Zulkifli amat mengecewakan. Beliau dengan tenang mengatakan bahawa punca kesesakan bukanlah daripada sistem ALB namun keadaan jalanraya yang teruk bermula daripada traffic light simpang dari highway Karak itu sebagai puncanya. Beliau mengeluarkan hujah ini dan katanya beliau sendiri ada di tempat kejadian memantau pergerakkan trafik semasa. Jenaka apakah ini? riuh dewan senat dengan jawapan beliau. Suasana dewan bertukar sarkastik seketika dengan jawapan beliau. Malah ada seorang pelajar international membantah jawapan Tuan Zulkifli dan menceritakan pengalamannya sendiri yang tersangkut di dalam kesesakkan tersebut. Keadaan segera diredakan oleh Saudara Afif Rahman selaku pengacara majlis dengan mengingatkan tujuan utama sesi petang ini serta akhlak kami selaku orang islam. Berkenaan dengan pelaksanaan dan tiada penjelasan yang jelas dan komprehensif berkenaan sistem ALB, pihak Osem mendakwa mereka telah mengadakan ceramah dan briefing tentang sistem tersebut. Namun pelajar sendiri yang tidak hadir di dalam program tersebut. Selain daripada itu, pihak Osem dan bonda sendiri gagal menjawab soalan saudara Yazid yang meminta agar kos pembinaan dan penyelenggaraan sistem ini didedahkan kepada komuniti Uiam. Mungkin ia adalah perkara sulit dan rahsia pada mereka tetapi pada pandangan saya ia wajar didedahkan kerana kami juga antara penyumbang kepada universiti ini. Konsepnya begini, penyumbang ingin tahu ke mana perginya duit mereka yang telah diberikan kepada pihak yang diamanahkan untuk membelanjakannya. Mudah bukan? sesi kemudiannya bersambung setelah semua soalan dijawab namun ada beberapa tidak diendahkan.

2) Seterusnya, saudara Ismail membangkitkan persoalan bahawa collection of data daripada pihak universiti dan Osem tidak mencukupi dalam pelaksanaan sistem ini. Disebabkan kurangnya data, maka banyak adjusment serta improvement terpaksa dilakukan meski sistem ini baru berusia 6 hari sejak dikuatkuasakan secara penuh. Malahan, segala penambahbaikkan ini akan menambah lagi perbelanjaan dalam mengendalikan sistem ini. Saudara Ismail juga menyelitkan agar suara dan cadangan daripada IIUM Student Leaders Assembly (ISLA) diambil serius oleh pihak pengurusan universiti. Ini adalah kerana ISLA adalah medan berkumpulnya kesemua pemimpin kelab dan pelajar di dalam UIAM. Beliau menuntut agar ISLA diiktiraf kedudukannya di dalam universiti. Selesai beberapa lagi soalan, bonda sendiri menjawab soalan suadara Ismail dengan menyatakan bahawa pihak universiti melalui Kuliyyah of Architecture telah melakukan study dan kajian tentang pelaksanaan sistem ini sejak empat tahun yang lalu. Bukan minggu lepas, bukan dua minggu lepas dan bukan bulan lepas. Kajian telah lama dijalankan maka pelaksanaan sistem ini adalah berpandukan data-data tersebut. Maka, mereka telah mempunyai data yang cukup untuk membuat keputusan dalam mengimplimentasikan sistem ALB. Walaubagaimanapun, gesaan agar ISLA diiktiraf kedudukan dan kuasanya tidak mendapat respon daripada bonda sendiri.

3) Menuju ke akhir sesi, dewan kembali hangat dengan soalan dan kenyataan daripada saudara fakhrul. Beliau memperkenalkan diri sebagai pelajar uiam, tahun tiga, mempunyai lesen kenderaan serta menjalankan binses di dalam uiam dibawah seliaan EDC. Persoalan yang dibangkitkan ialah apabila beliau ditahan oleh polis bantuan kerana memandu kereta di dalam uiam. Beliau menegaskan bahawa kereta yang digunakan adalah pinjaman daripada sahabatnya daripada tahun 4 dan mempunyai sticker yang sah. Maka ia tidak melanggar peraturan uiam yang melarang pelajar selain tahun 4 untuk membawa kereta ke kampus. Persoalannya sekarang ialah beliau dengan lesen yang sah, kereta yang halal telah ditahan dan dileter kerana memandu di dalam kampus. Beliau juga mendakwa ada seorang pelajar telah disaman kerana berbuat sama seperti beliau. Tuan Zulkifli kemudiannya kelihatan berang dalam menjawab persoalan tersebut. Malahan bonda sendiri saya kira keliru dan tidak mengetahui berkenaan undang-undang tersebut. Reaksi mereka jelas menafsirkan tanggapan saya. Setelah beberapa pertukaran soalan dan penjelasan, Prof Zaleha menggunakan kuasanya selaku Rektor mengarahkan agar saman kesalahan diangkat buat masa sebulan bermula hari ini sehingga 6 Mei 2017. Di dalam tempoh masa sebulan ini, kajian akan dilaksanakan berkenaan undang-undang tersebut serta tiada surat saman dikeluarkan, hanya surat amaran sahaja yang akan dikeluarkan. Pada pandangan saya, undang-undang berkenaan larangan memandu walau dengan kereta yang halal ini terlalu ekstrem. Pelbagai kes boleh berlaku seperti keadaan kecemasan yang memerlukan pelajar meminjam kereta rakan mereka perlu dipertimbangkan. Selain daripada itu, saudara Fakhrul mencadangkan agar Osem mengguna pakai sistem kad seperti yang dilaksanakan di perpustakaan Al-Hikmah. Dengan sistem ini, semua pelajar boleh mengaktifkan kad mereka dan tidak terhad kepada mereka yang mempunyai kenderaan sahaja seperti sekarang.

4) Beberapa cadangan penambahbaikkan turut disuarakan ketika sesi dialog semalam. Kesemuanya adalah dari pelajar dan staff sendiri yang menggunakan sistem ini. Antaranya ialah:

a) Lorong bagi kereta dan motorsikal diasingkan kerana ia akan melancarkan lagi aliran trafik serta menghindarkan masalah kereta yang masuk dengan menggunakan pas motorsikal.

b) Pihak universiti meletakkan papan tanda yang besar berkenaan penggunaan pintu masuk dan sistem ini dihadapan pintu pagar 1 uiam agar pihak pelawat dan ibubapa ambil cakna sistem ini. Hal ini kerana ada ibubapa yang dilayan seperti bola kerana diarah untuk beralih ke pintu masuk tiga setelah menunggu hampir 30 minit untuk masuk melalui pintu pagar 1. Bonda sendiri mengarahkan Tuan Zulkifli untuk mengambil berat dan siasatan berkenaan perkara tersebut.

c) Unjuran agar abang-abang dan kakak-kakak Osem lebih murah senyuman dan berbudi bahasa.

d) Penganjuran lebih banyak briefing dan pengumuman tentang pelaksanaan sistem ALB. Meski kita faham ada pihak yang bersikap ignorant dengan tidak mahu mengambil tahu, pihak Osem perlu lebih agresif dalam memberikan maklumat berkenaan ALB. Namun saya hargai usaha-usaha mereka sendiri dan kasihan dengan golongan ignorant itu sendiri.

e) Pihak universiti juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pelajar selain tahun 4 untuk membawa kereta ke kampus. Namun dengan syarat mereka meletakkan kereta di kawasan Convest Hill. Hal ini masih lagi didalam perbincangan dan akan ditentukan kemudian hari.

f) Standard Operation Procedure (SOP) sistem ini dilihat semula secara teliti dan dikaji untuk penambahbaikkan.

g) Satu jawatankuasa khas diwujudkan untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem ALB. Jawatakuasa ini harus dibarisi oleh wakil daripada OSem, Universiti, pelajar dan pihak-pihak berkepentingan.

   Sesi pada petang ini ditutup dengan sedikit penggulungan daripada bonda. Bonda menekan kan bahawa kita adalah sebuah keluarga dan "the fact that everyone that come today shows that you concern about the university". Beliau hargai kehadiran kesemua pihak yang sudi datang berbincang pada petang ini. Beliau juga berkata akan terus berhubung dengan SRC untuk mendengar feedback daripada pelajar berkenaan isu ini. Sebelum majlis ditutup, seorang wakil Student Representative Council (SRC) bangun dan menyampaikan tuntutan SRC17. Antaranya ialah:

 i) Terima kasih kepada semua yang sudi hadir pada petang ini dan sokongan anda terhadap tahap kelestarian universiti kita.

ii) Pihak Osem perlu lebih kmprehensif dalam menyampaikan pengumuman berkenaan sistem ALB. Hal ini kerana SRC ditekan oleh pelajar untuk meminta jawapan tetapi mereka sendiri tidak mempunyai jawapan ataupun maklumat yang cukup untuk menjawab persoalan tersebut. Meski beberapa perjumpaan telah diadakan antara SRC dan OSem tetapi ia tidak mencukupi.

iii) Pihak UMC melihat dan mengambil serius 5 tuntutan yang telah dikeluarkan hasil perdebatan di dalam ISLA. Ini adalah bukti suara pelajar dengan 98 undian daripada pemimpin-pemimpin pelajar mempersetujui tuntutan ini.

 

   Majlis tamat pada jam 6.45 minit petang dan semua hadirin bersurai. Baiklah, ini adalah pandangan peribadi saya selaku pemerhati bagi sesi dialog semalam. Pada saya, sesi dialog semalam tidak mencukupi dan masa yang diperuntukkan terlalu singkat. Pelbagai persoalan masih tidak terjawab dan secara keseluruhannya isu ALB ini tidak selesai. Benar, perkara sebegini tidak boleh diselesaikan dengan satu perjumpaan ringkas berdurasi 1 jam 45 minit sahaja. Seharusnya ada perjanjian komitmen untuk pertemuan-pertemuan akan datang. Malahan, suasana dan masa yang dipilih untuk sesi perbincangan kurang sesuai kerana pada waktu petang sebegitu manusia telah berada di dalam keadaan emosi dan fizikal yang penat, lemah. Hal ini menyebabkan banyaknya pertanyaan dan jawapan yang disuarakan dengan keadaan emosi yang kurang stabil dan penuh perasaan. Cadangan saya, agar diadakan perbincangan pada masa yang sesuai, dengan peruntukkan masa yang mencukupi serta kesediaan kedua-dua belah pihak untuk berunding. Jika tidak, hasilnya hanya pertukaran soalan dan jawapan yang tidak membawa sebarang penyelesaian. Namun, harus kita hargai usaha dan komitmen semua pihak yang sudi hadir demi membincangkan isu ini. Harapan saya, segala cadangan dan persoalan yang telah dilontarkan oleh pelajar didengari pihak universiti. Dan juga pelajar menerima sistem ini sebagai langkah menjaga keselamatan mereka di dalam kampus. Saya secara peribadi menyokong sistem ini namun pelaksanaannya perlu dikaji dan diperbaiki lagi. Masih banyak ruang untuk penambahbaikkan boleh dilakukan.

   Akhir kata, universiti ini milik kita bersama, kepunyaan kita dan kesayangan kita. Maka sama-sama lah kita menjaganya dan memeliharanya.

*disklaimer: Penulis adalah pemerhati dan hanya menulis semula isi-isi perbincangan yang sempat dicatit ketika sesi dialog terbuka berkenaan. Jika ada kesalahan maklumat, boleh segera maklumkan agar dapat diperbaiki. Maklumat rasmi dan penuh mungkin akan dikeluarkan pihak SRC ataupun IIUM Today kelak. Terima kasih