Tuesday, June 28, 2016

Teji Abu Senangkar (TAS) Epilogue


  Pagi dingin 13 Jun 2016 ditemani suara-suara hamba dhaif membaca kalam-kalam Tuhannya. Usai solat subuh secara berjemaah, aktiviti pagi kami diisi dengan majlis khatam al-quran. Sepanjang berada disini setiap adik-beradik angkat telah diberikan portion tadarus untuk mereka habiskan sebelum majlis pagi ini. Alhamdulillah di bulan ramadhan yang mulia ini dapat kami meriahkan ia dengan bacaan al-quran hampir setiap hari. Walaupun misi peribadi saya dengan al-quran agak terbantut sepanjang berada disini, inshallah akan di cover semula sebaik sahaja habis program disini. Majlis pagi ini diketuai oleh Lutfi dan tamat kira-kira jam 7 pagi. Hebatnya anugerah Allah di bulan yang mulia ini adalah sesuatu amal itu boleh dilipat gandakan pahalanya daripada gandaan satu hingga ke tujuh ratus! allahu bertapa pemurahnya dan sayangnya allah pada kita. Semoga ramadhan yang berbaki beberapa hari ini dapat kita isi dengan sebaiknya. Tika entri ini ditulis dah masuk 23 ramadhan tak silap saya.



Ziarah Wida'

   Tepat jam 9 pagi kami semua mula bergerak ke rumah keluarga angkat masing-masing. Terdahulu kami diberikan bermacam barangan berupa makanan, pakaian dan alatan mandi daripada team welfare. Barang-barang ini akan diagihkan kepada setiap isi rumah. Semua pemberian ini bukan bermakna penduduk disini tidak mampu dan memerlukannya, bahkan mereka mampu mendapatkannya sendiri. Namun segala sumbangan ini adalah lebih kepada untuk meringankan beban mereka dan sebagai hadiah tanda terima kasih atas kesudian mereka menerima kedatangan kami. Walaupun hanya seminggu bergaul dan menjalani hidup disini, perasaan untuk berpisah dengan mereka pergi terasa berat di dada. Melepaskanmu, bukan mudah baiku untuk melakukan semua ini. Di rumah kak Liza sahaja sejam kami berborak sakan. Alhamdulillah amek khamisah lepak bersama kat rumah kak liza, dah jimat masa dan tenaga tak perlu pergi dua rumah sekaligus. Ada juga kami cuba galakkan kak Liza bekerja. Rugi jika skill menjahitnya tak dimanfaatkan sebaiknya. Abang Azizam juga harapnya selepas ini diberi kekuatan untuk bekerja kerana sumber kewangan mereka adalah dari duit pencen arwah aber dan gaji amek Maimun di ladang. Apa salahnya cari duit lebih kan?.  Inshaalah moga allah mudahkan apa sahaja yang mereka lakukan.


   Dua jam yang diperuntukkan untuk sesi ziarah wida' kami tamatkan dengan menyantuni amek Duya dan kakaknya. Selesai di rumah kak Liza, terus kami ke rumah amek Duya. Puaslah bagi salam tak berbalas, siap check rumah. Rupa-rupanya amek Duya lepak di rumah adik-beradiknya, amek Suhaila dan amek Aida. Tapi rumah mereka bersebelahan sahaja tiadalah jauh kami berjalan nak mencarinya,haha.. Amek kata sejam dia tunggu lama sangat anak-anak dia ni, itu yang dia angkat kaki ke rumah sebelah. Alahai amek ni, comellah merajuk.. Budak-budak semuanya tiada sebab cuti sekolah dah habis. Makanya tinggallah amek-amek dan kami sahaja bersembang sakan.

   Riuh-rendah rumah amek Suhaila sebab ada hampir 10 orang anak-anak UIA melepak bersama. Entah macam mana sampai termasuk topik pertemuan pertama kali amek dan aber pun saya tak tahu. Tersipu-sipu malu amek bercerita. Bahagia. Itulah saya kira perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan tika itu. Inshaallah syawal nanti cuba kami usahakan untuk kesini lagi ye amek, hiks.

Titik tolak

   Sungguh ramadhan di bumi Cameron kali ini akan saya jadikan titik-tolak untuk mencapai matlamat yang lebih besar. Kesanggupan menyertai program-program sebegini bukan lagi atas dasar mencari pengalaman mahupun sebagai satu persiaran. Namun saya sedar ia adalah amanah, dan tanggungjawab kita untuk berkongsi rahsia dan nikmatnya hidup dalam dakapan islam. Sinar islam di Teji, Abu dan Senangkar semakin gemerlap dan menampakkan cahayanya. Bermula daripada percikan kecil hasil sentuhan para da'i terdahulu, kini ia semakin terang dan kukuh di hati penghuni bumi bertuah ini. Moga sinar ini juga singgah dan menyalakan hati-hati kami yang sering lalai dan lupa tujuan penciptaan diri ini. Sayonara Teji, Abu dan Senangkar. senyum.


habis ~ yeayy!
hayati sunrise gayanya
Fahim perform



LINKS
TAS I
TAS II
TAS III

Monday, June 27, 2016

Teji Abu Senangkar (TAS) III

Kampung

   Dingin dan sunyi sepi. Itulah gambaran suasana kampung Teji saat jam menunjukkan jam 10 malam. Alhamdulillah malam ini kami empat beradik akan bermalam di rumah Amek Duya. Masa mula-mula terbaca ada slot bermalam di rumah keluara angkat saya aggap yang it never gonna happen. haha..Bukan apa, pertamanya sebab keluarga-keluarga angkat kami semuanya ada bilangan keluarga yang boleh tahan ramainya. Pastu kalau nak bermalam di rumah kak Liza kurang manis sebab dia sendiri belum berkahwin dan bapanya telah lama tiada. Rumah amek Khamisah beliau sedang sarat mengandung dan akhir sekali Amek Duya tinggal berlima bersama suami dan anak-anaknya. Jika ditambah kami nanti, semakin banyak perut perlu diisi dan besar pula perbelanjaannya kan. Akhirnya selepas berkira-kira nak tanya kesudian mereka untuk melayani permintaan kami bermalam di rumah mereka, saya serahkan pada yang pakar dalam berkata-kata dan memujuk, sisters.haha..Ba'da zuhur hari keempat Sue datang menyapa, katanya Amek Duya on je untuk bermalam dirumah dia. Saya salute orang perempuan, kerja bermadah sebegini memang kepakaran mereka.hiks!

   Nabil,saya, aber dan adik-adik lelaki tidur di ruang tamu rumah manakala Dahlia menemani geng wanita tidur di dalam bilik. Yang seronoknya ialah kami tidur di dalam kelambu! wuhuuuu.. Dah lama tak tidur dalam kelambu, pada hemat saya kali terakhir saya tidur berkelambu adalah kira-kira 8 tahun yang lalu. Waktu tu Opah masih ada. Rumah opah memang sejuk dan banyak nyamuk sebab dekat dengan sungai. Opah baru sahaja pergi meninggalkan kami pada bulan April yang lalu. Moga bahagia beliau disana sementara menunggu kami menyusul tiba. Usai taraweh tadi kami moreh dahulu di ruang tamu bersama amek dan aber. Sebiji durian dipadankan dengan teh panas bancuhan aber, fuh memang kenyang betul,haha.. Sewaktu moreh ini juga kami bertukar cerita dengan amek dan aber tentang kehidupan mereka. Rupa-rupanya Aber pernah terlibat dalam kemalangan dan koma selama 1 bulan, allahu. Faiz masih dalam kandungan amek Duya sewaktu kejadian itu berlaku. Aber bercerita yang motor ditunggangnya dihalang seorang penunggang motorsikal yang mabuk. Kata aber, lelaki mabuk tersebut sengaja memandu tepat ke arah mereka,gila! nasib baik nyawa aber dan rakannya ditahan allah daripada kembali pada hari itu juga. Pasca kejadian tersebut Aber berhenti bekerja dengan TM Salini kerana tengkorak kepalanya kini diperbuat daripada plastik dan tidak tahan panas. Moga allah mudahkan kehidupan keluarga ini.

   Kami tidur beralaskan karpet tebal banggali. Rodimen kata aber baharu sahaja membeli karpet tersebut petang tadi. Lembut dan selesa sangat, rasa bersalah pula kami,huhu.. Ikut kiraan kami hampir 150 ringgit juga nilai karpet tersebut, dahlah amek beli dua pula tu,allahu..Moga allah murahkan rezeki mereka dan tetapkan mereka diatas jalan menuju ke arah-Nya ameen.. LENA tidur malam tu! gelak.


Pengurusan Jenazah

   "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu..." ali-imran:185

   Inilah sunnatullah ataupun ketetapan allah. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ini adalah kitaran kehidupan kita dan mustahil untuk diubah. Jika dahulu adanya firaun yang percaya beliau boleh hidup kekal abadi dengan kuasa sihir. Seterusnya maharaja-maharaja dinasti China yang mengambil berbagai jenis herba dalam usaha mereka untuk hidup selama-lamanya. Kepercayaan dan usaha mereka disambung generasi zaman kini dengan teori mereka untuk tidur di dalam keadaaan sejuk beku, cryonics. Semua ini berbekalkan satu kepercayaan bahawa kelak teknologi perubatan akan maju dan mereka mampu dihidupkan semula. Begitulah manusia, kata mereka "if we can't beat death, we may outlast it"



  "...Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." 
ali-imran: 185

  Sesungguhnya kehidupan kita hanya sementara diatas dunia ini, untuk itu perlulah kita mempersiapkan diri untuk ke alam yang seterusnya. Sehubungan dengan inilah kami mengadakan kursus pengurusan jenazah disini. Alhamdulillah sambutannya memuaskan daripada amek-amek di kampung Teji, jajak pun turun padang tau!haa.. Aber Karim pula mewakili kaum lelaki katanya. Takpalah asalkan ada wakil lelaki seorang,huhu. Rasyid dan Paan mengajar dan memberi penerangan dengan sangat baik sambil dibantu Jai sebagai jenazah yang dimandikan dan dikhafankan. Bergelak tawa kami dibuatnya melihat aber Karim menguruskan Jai si jenazah hidup,haha.. Sesi kami yang bermula selepas waktu zuhur hari kelima disini berakhir pada waktu asar. Alhamdulillah pendekatan praktikal dan QnA yang digunakan berjaya menarik minat mereka untuk turut serta dalam kursus tersebut.

   Setiap soalan yang berjaya dijawab akan diberi hadiah berupakan perkakas dapur. Selain slot pengurusan jenazah, kami juga mengadakan slot fadhu ain dimana kita ajar cara-cara untuk solat dalam keadaan sakit seperti solat duduk, baring dan solat menggunakan isyarat mata. Pendekatan yang sama digunakan iaitu dengan amali dan QnA. Mungkin terlalu banyak untuk mereka hadam dalam tempoh yang singkat ini, tetapi tidak mengapa kerana kami melihat penduduk Teji dahagakan ilmu. Sinar islam disini akan terus terbit tinggi dan memayungi hidup mereka kelak, inshallah.

Malam akhir

   Malam ini merupakan malam terakhir kami di disini setelah lima hari berpuasa di perkampungan Teji, Abu dan Senangkar. Sebelum masuk waktu maghrib, kami semua menghantar juadah berbuka kepada semua keluarga angkat di ketiga-tiga buah kampung. Arahannya untuk deliver juadah dan pulang ke base. Terpaksalah dengan berat hati saya dan Nabil menolak pelawaan amek Duya untuk iftar dirumahnya. Sedih juga tapi memang kami dah pesan pada amek sewaktu asar tadi untuk tidak masak banyak-banyak kerna kami tak iftar sekali. Sebabnya ada program di Kampung Abu pada malam harinya. Sesi penghantaran juadah juga hanya dijalankan anak-anak lelaki UIA, sisters semua stay di base.

  Nak dijadikan cerita sewaktu saya dan Nabil menapak pergi dari rumah amek Duya, kami berselisih dengan aber Roslan yang baru pulang dari kedai runcit. Dalam raganya ada sebotol air coca-cola. Coca-cola pastu sejuk pulak tu gais, sejuk!hahaa.. Selepas seminit bermesyuarat dengan Nabil, kami sebulat suara untuk stay dan iftar di rumah amek Duya, wuhuu..Sori PC terpaksa langgar arahan, coca-cola sejuk dah bermain di minda.gelak kecil.

  Usai teraweh di Teji, kami dan beberapa rakan yang lain menapak pulang ke kampung Abu. Malam ini ada slot tayangan video dan post mortem. Alhamdulillah sewaktu tayangan video biro katering menyajikan kami dengan pelbagai keropok dan cekodok.makan lagi. Yang diraikan pada malam ini adalah penduduk kampung Abu. Video yang ditayangkan diselitkan dengan ibrah dan nilai-nilai murni kendalian Paan dan Fahim. Moga aktiviti santai sebegini bermanafaat pada mereka dan kepada kami jua.


   Sesi post-mortem juga berjalan lancar dan agak ringkas. Mungkin juga kerana semua orang dah penat dan mula terbayang suasana dirumah. Maklumlah, ada diantara kami yang baru sahaja tamat peperiksaan pada hari isnin, tak sempat nak shoot ke rumah hari rabu dah bertolak kesini. Semoga sedikit pengorbanan dan usaha kami ini allah terima sebagai amal soleh. Dan moga ia menjadi bukti bahwa kami mengisi masa muda dengan amal ibadah demi-Nya.

   Inshallah akan tamat pada entry akan datang,sikit lagi. senyum lebar.

LINKS
TAS I
TAS II
TAS III
TAS Epilogue
 

Tuesday, June 21, 2016

Teji Abu Senangkar (TAS) II

jalan menghala ke Kampung Senangkar
Ramadhan

  Tidak ramai yang tahu tahun keberapa pensyariatan puasa bermula di dalam agama islam. Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, sebelum umat islam diunjurkan untuk berpuasa di bulan Ramadhan mereka hanya berpuasa pada hari Asyura. Kali pertama umat islam berpuasa hari Asyura adalah pada tahun kedua hijrah. Tika itu penghijrahan baginda nabi SAW ke kota Madinah berlaku pada bulan Rabiul awal, yakni bulan yang ketiga dalam kalendar hijrah. Baginda SAW hanya mengerjakan puasa hari Asyura pada bulan Muharram tahun seterusnya. Kemudian pada bulan Ramadhan tahun yang sama, kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan disyariatkan. Hal ini bermakna umat islam mula berpuasa di bulan ramadhan pada tahun ketiga hijrah.tadaa

   Apa signifikannya dengan masyarakat TAS? disini dapat kita lihat bahawa ibadah berpuasa merupakan antara ibadah yang istimewa berbanding ibadah lain. Sepanjang bermulanya kemasukkan anak-anak UIA bermula tahun 2005, ibadah puasa amat sukar dijalankan praktikalnya. Nah, disebabkan bulan ramadhan hanya berlaku sekali sahaja setahun, sukar untuk menyusun masa agar program dapat dijalankan pada bulan ramadhan. Namun alhamdulilah kali ini ia berjaya dilakukan meskipun berdepan banyak dugaan dan rintangan. Sesungguhnya pengalaman berpuasa di sini amat luar biasa bagi saya.

Solat Taraweh bersama penduduk Kg Teji
   Pada ziarah yang pertama, sempat kami cucuk sedikit bab puasa dan ibadah lain yang digalakkan dalam  bulan Ramadhan. Terima kasih pada biro Discipline and Ibadah (DnI) bimbingan Rasyid dan Izyan yang membekalkan kami dengan kit yang lengkap tentang ramadhan. Bertambah mudah lagi sebab diorang dah siapkan sekali pengisian untuk slot-slot ziarah yang akan datang.alhamdulillah senang kije.huhu. Dalam menyantuni masyarakat disini, skill komunikasi dan kemahiran memujuk jelas memainkan peranan yang sangat penting. Bukan apa, kebiasaannya mereka lebih gemar menjawab sahaja soalan-soalan kita berbanding mereka yang memulakan perbincangan. Mungkin juga kerana bonding belum cukup kuat, belum break the ice lagi kata mat salleh. Alhamdulillah penerimaan mereka sangat baik bila kita berbicara perihal islam dan ibadah. Boleh dikatakan asas-asas islam telah ada dalam diri mereka, mengalir deras di dalam setiap saluran darah, dihembus dalam setiap nafas. Jadi kami cuma perlu menacapnya lagi selain daripada membantu mereka mengoptimumkan apa yang telah dipelajari.

Keluarga angkat

   Untuk IPTA kali ini kami empat beradik diamanahkan untuk menjaga 4 buah rumah. Tiga orang adik-beradik angkat saya ialah  Nabil, Sue dan Fatin. Dua daripada kami yakni Nabil dan Fatin baru kali pertama menyertai program IPTA, so macam balance lah sebab ada Sue lejen Comrade,haha. Hasil daripada kerja team Research and Development (RND) diketuai Jai, setiap rumah disini telah diletakkan nombor terlebih dahulu oleh team RnD untuk panduan kami. Makanya, kami diamanahkan untuk menjaga empat buah rumah, bermula daripada no 15 hingga 18. Daripada keempat-empat buah rumah ini, satu daripadanya adalah non-muslim. Pada mulanya kami sangka mereka beragama islam sebab nama mereka nama orang melayu, rupa-rupanya bukan. Tapi depa rilek ja kami sembang pasal puasa, alhamdulillah la tak melenting ke apa. Lagipun kita datang nak berkongsi en, jadi tiada paksaan pada mereka untuk dengar mahupun masuk ke dalam islam itu sendiri. Sebagai dai kita hanya berusaha, namun hidayah tu milik allah. Moga aber Halim dan isterinya diberikan hidayah untuk memeluk islam kelak.Ameen.

   Tiga lagi rumah pula didiami oleh keluarga yang sama. Rumah nombor 15 didiami amek Maimun bersama anaknya abang Azizam dan Kak Liza. Amek Maimun ada lima orang anak, yang nombor satu namanya amek Azizah tinggal di Sg Mansun. Tapi beliau dan anak-anaknya ada di Teji sepanjang cuti sekolah ni. Anak kedua namanya amek Khamisah, menetap di rumah sebelah amek Maimun, rumah nombor 16 manakala Kak Liza anak bongsu dan abang Azizam keempat. Akhir sekali, rumah ke 18 didiami oleh aber Roslan dan Amek Duya. Amek Duya ada tiga orang anak, semuanya masih bersekolah rendah. Rodimen darjah 5, Dahlia darjah 2 dan akhir sekali Faiz darjah 1. Perangai budak bertiga ni mashallah, asyik bergelak je kami dibuatnya, jenis tak boleh duduk diam la senang cerita. Paling comel si Dahlia la, garang betul melayan Faiz sebab boleh tahan nakal si bongsu tu. Terhibur betul kami dibuatnya.

Nadi Kehidupan

   Air boleh dikatakan sebagai nadi kehidupan. Dimana sahaja ada air, disitulah munculnya peradaban. Misalnya peradaban mesir Purba di Sungai Nil dan tamadun Mesopotamia yang terletak antara sungai Tigris dan Euphrates. Malah dinyatakan di dalam quran bahawa manusia itu hampir majoriti komposisi tubuhnya terdiri daripada air.

" Dan Dia (pula) yang menciptakan manusia dari air lalu dia jadikan manusia itu (punya) keturunan dan musaharah dan Tuhanmu adalah mahakuasa." (Al-Furqan: 54)

   Tubuh manusia mengandungi air secara bervariasi di setiap bahagian, contohnya otak mengandungi 70% air, paru-paru mengandungi 90% air, bahkan tulang kita terdiri daripada 20% air. Nah hebat bukan? dah intro panjang-panjang ni nak cerita apa sebenarnya ni? haha curious tak?. Okay sebenarnya nak habaq pagi hari keempat kami dapat pi jenjalan dan menghirup udara di sekitar kawasan kampung. Yang seronoknya sebab dapat pergi air terjun,wuhuuu. Mengikut tentatif yang
jernih airnya
dikeluarkan oleh Haziq PC dan assistantnya Shu jemah, kami dibenarkan dan digalakkan untuk ikut keluarga angkat mengadakan aktiviti di sekitar kawasan kampung. Sebahagian daripada kami pergi ke kawasan air terjun, ada yang melawat empangan Ulu Jelai dan tak kurang juga mengikut amek masuk ke hutan memungut hasil hutan. Air sungai di kawasan bukit disini sangat jernih dan sejuk, amek kata boleh minum terus air tu. Tapi di bahagian hulu lah bersih sikit airnya.

   Saya dan Nabil ditemani Rodimen, Sumayyat dan Faiz menapak ke kawasan sungai yang mereka kata dekat sahaja. Bila ditanya jauh tak sungai tu? jawapannya, "sampai ada peluh sikit bang, sikit je bang" aduh budak-budak ni, terhibur den. Dalam perjalanan kesana kami dihidangkan dengan pemandangan kawasan bukit yang menghijau dan damai. Suhunya tidak terlalu panas dan tidak juga terlalu sejuk. just nice. Hampir setengah jam berjalan akhirnya kami sampai ke sebatang anak sungai. Dari atas jambatan dah nampak belasan pasang selipar dan kasut milik anak-anak Uia di atas sebiji batu besar. Saya kenal pemilik selipar tersebut, antaranya acap jawa. Khabarnya mereka pergi memancing ikan, tapi tiada pula kelibat mereka disini. Mungkin dah masuk lebih dalam kehulu sungai. Dingin, itulah frasa yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saat kaki mula memijak lantai sungai. Ditenggelami air yang mengalir tenang dan hiruk-pikuk suara Faiz dan Sumayyat, disini saya menemui ketenangan. allah..

Bahasa Semai

   Selama 4 hari disini juga kami menimba ilmu bahasa kaum semai dengan amek,aber dan adik-adik. Kadang bila lepak dalam rumah mek Duya kami perhati sahaja si Dahlia entah apa yang dibebelkannya. Yang jadi mangsa leteran tak lain tak bukan Faiz,haha..Jadi, berikut merupakan sedikit glosari frasa BM-Semai yang sempat kami semua gabungkan.

๐Ÿ“šMari Kongsi Ilmu๐Ÿ“š
OA Language

chip maraih-pergi sana 
chip madeh-kemari
malok-pegi mana? 
aborbabor-baik/bagus
goui-duduk
cha madeh-makan cepat
tinmot-hantu
gerlao-tipu
goi senget-duk diam
jup madek-balik rumah
top blovk sluar-pi pakai seluar
omdet-tidur
kuit-bangun
jar-lari
pucuk kalie-pucuk ubi
mong padek-ada di rumah
biluk-senyum
achek-anjing
bah nyam-budak2
borik kabar-apa khabar
ambok chenok-dukung belakang
kenel pok-anak ayam
cheloh-turun
Kucik-kucing
Kahel-penat
Bebet/bet-tidur
Gaget-cepat
Pok-ayam
Garon-rongak
Lemoi-gigi
Lapar-cuap
Kenyang-ba'akhir

#sharingiscaring
"sebarkanlah kepadaku walaupun satu ayat"๐Ÿ˜Š

Alhamdulilah selesai sudah bahagian kedua daripada Trilogi TAS ini, nantikan bahagian terakhir! doakan saya rajin menulis,haha

Links
TAS I
TAS II
TAS III
TAS Epilogue
 
 

Thursday, June 16, 2016

Teji Abu Senangkar (TAS) I


   Ramadhan 2016 jatuh pada bulan Jun tahun ini. Terasa pelik dan janggal juga sebenarnya kerna dulu zaman kecil-kecil kebiasaannya bulan Ramadhan dan Syawal diraikan pada penghujung tahun. Masa tu cerita sekolah memang sangat panjang. Cuti sempena hari raya digabungkan lagi dengan cuti hujung tahun,fuh memang zaman tu kami beraya sakan. Bulan berganti dan tahun berlalu, kini kitaran kalendar hijrah telah sampai dimana bulan berpuasa jatuh di pertengahan tahun. Nasiblah budak zaman sekarang tak dapat merasa cuti panjang yang amat macam kami dahulu.Gelak besar. Awal Ramadhan tahun ini juga istimewa, eh ramadhan tahun ini saya anggap istimewa. Kerana apa? kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya Allah izinkan saya menyambut dan melayari minggu pertama bulan Ramadhan bersama-sama dengan masyarakat orang asli.wiwiwi.. Pemergian kali ini juga masih dibawah naungan kelab yang sama, yakni kelab COMRADE IIUM. Sejak pertama kali menyertai trip mereka di IPTA Pos Lebir yang lalu, saya rasa semakin dekat dan terpanggil untuk menyertai trip-trip sebegini. Sepertinya telah ada cinta yang telah mekar, telah ada rasa mula berbekas, dan mungkin telah ada jiwa yang terpaut, erat.hiks. IPTA stands for Islamic Preach and Practical Teaching to Orang Asli. Aims to provides orang asli with basic and necessary ilm about islam. Trip kali ini pula fokus pada apa itu bulan ramadhan, kelebihannya dan pengisian sepanjang  bulan ramadhan.

   Berbekalkan surah Al-'Asr, saya mengambil keputusan untuk ikut serta dalam trip kali ini. Ini bermakna cuti dua minggu yang saya ada sebelum mendaftar masuk ke semester pendek akan dihabiskan separuh di perkampungan orang asli. Pada awalnya terasa agak berat dan macam menyesal, sebab tak dapat lepak puasa lama-lama dirumah,huhu.. namun bila direnungkan semula, bila lagi saya akan ada masa,tenaga dan peluang untuk aktiviti-aktiviti sebegini. Sedari saya, senior yang telah graduate dan melangkah ke alam pekerjaan semuanya tersangat sibuk dengan kerja masing-masing. Apatah lagi bila telah berumah tangga kelak, ada tanggungan yang perlu dijaga, tak boleh nak tinggal macam itu sahaja.lap peluh. Makanya, tercampaklah saya selama seminggu di bumi Cameron Highlands yang dingin itu. Moga allah terima apa yang kami lakukan dan moga ini menjadi bukti bahawa kami menggunakan masa muda kami sebaiknya dan di atas jalan-Nya. Ameen.

 "Demi masa. sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan

mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati 

untuk kesabaran."

   Kembara kali ini benar-benar menduga emosi, fizikal dan ketahanan diri. tambahan pula berprogram di bulan ramadhan. Kampung yang kami santuni kali ini ialah kampung Abu, kampung Teji dan kampung Senangkar. Ketiga-tiga buah kampung ini terletak dalam satu gugusan yang hanya berjarak kira-kira 1 kilometer antara satu sama lain. Kampung Abu yang terletak di tengah-tengah gugusan ini, dijadikan base ataupun center kami. Khemah dipacak, kanvas dibentang. Perkakas barang dapur team katering selamat disusun disebelah kawasan surau Kampung Abu. Sisters akan menginap di dua buah rumah buluh yang telah berjaya disiapkan hasil titik peluh usaha alumni Comrade dan penduduk kampung. Kami brothers pula bakal bermalam di perpustakaan kampung yang pada saya sebenarnya jadi tempat letak beg pakaian sahaja. Hakikatnya majoriti daripada kami tidur berbungkuskan sleeping bag di bawah khemah. Tidur di kawasan lapang bersebelahan dengan perpustakaan lebih damai dan dingin.huhu. Perjalanan dari Kampung Abu ke Kampung Senangkar memerlukan kami meredah semak lalang meninggi dan juga sebatang anak sungai. Namun jalan dari Abu menghala ke Kampung Teji telah selamat bersimen dan diturap, maka tidak ada masalah untuk kami bergerak. Satu-satunya masalah yang lebih saya anggap cabaran adalah ketiadaan bekalan elektrik di ketiga-tiga kampung ini. Kebanyakkan rumah-rumah disini mempunyai generator ataupun enjin tersendiri untuk menjana kuasa elektrik. Uniknya, seminggu disini saya langsung tidak merasa hembusan angin daripada kipas. Semuanya daripada alam semulajadi,huhu.. Majoriti rumah disini langsung tidak mempunyai kipas! nasib baik kawasan sini sejuk, walau berpeluh jugalah disiang harinya.

ZIARAH UMUM

   Hari pertama kami disana, tiba sahaja terus diisi dengan membuat persediaan dari segi teknikal, logistik dan lain-lain bagi menghadapi 5 hari yang mendatang. Usai menyimpan dan menyusun segala yang patut, kami dengan kekuatan hampir 66 orang dipecahkan mengikut biro tertentu. kemudian kami berpecah untuk bergerak ke ketiga-tiga buah kampung bagi melakukan ziarah umum. Saya dan rakan-rakan dari team module menapak ke Kampung Senangkar bagi ziarah kali ini. Perjalananya memakan masa hampir 15 minit daripada Kampung Abu. Rumah pertama yang kami singgah adalah rumah amek Faridah. Peramah dan sangat ceria orangnya. Aber tiada di rumah, pergi mencari juadah berbuka di pasar katanya. Oh ye, disini kami menggunakan gelaran amek bagi kaum wanita dan Aber untuk kaum lelaki. Suku kaum disini juga kebanyakkannya adalah kaum orang asli Semai. Jika di Pos Lebir dahulu mereka dari suku kaum Batik. Hampir 15 minit berborak dengan amek Faridah, kami mengundur diri untuk berkunjung ke rumah lain. Sedang asyik kami berkunjung dan beramah mesra, terdengar laungan kalimah agung azan di tengah belantara. Rupa-rupanya kawasan Kampung Senangkar ini terletak berdekatan dengan penempatan pekerja-pekerja TM salini yang ada disitu. Projek TM Salini adalah empangan hidroelektrik dibawah kendalian Tenaga Nasional Berhad (TNB). Projek ini dikatakan mampu membekalkan hampir 382 megawatt kuasa elektrik apabila siap kelak. Kebanyakkan penduduk kampung di Teji,Abu dan Senangkar bekerja disana untuk menyara keluarga mereka. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka tidak tertinggal daripada arus modenasasi.

   Namun harga mahal yang perlu mereka bayar demi projek ini adalah pencemaran air sungai di kawasan sekitar perkampungan mereka. Saya sendiri tidak sangka dan agak terkejut bila melihat keadaan air sungai yang keruh dan tidak sesuai untuk digunakan untuk kegunaan harian itu. Namun syukur ke hadrat ilahi, bekalan air daripada bukit masih bersih dan percuma untuk diakses penduduk kampung. Air bukit disini sangat dingin dan menyegarkan bila bersentuhan dengan kulit. Ditambah pula di bulan ramadhan sebegini, fuh nikmat dia bila mandi..lega.

   Tajdid niat. Perkataan niat bermain-main di minda tika mata mula merayu minta berehat. Melihat kesungguhan rakan seperjuangan untuk berdakwah disini, saya rasa perlunya memperbaharui niat setiap kali sebelum tidur. Bahawasanya kedatangan kami disini bukan sekadar untuk beramah mesra atau mengisi masa lapang, tetapi menyambung jejak langkah dan legasi yang telah dibina oleh para dai yang telah awal masuk ke kampung disini. Bayangkan, jika baginda nabi dan para sahabat tidak berdakwah luar daripada tanah arab dahulu, sudah tentu kita takkan dapat mengecapi nikmat iman dan islam kini. Dan sekiranya tidak ada generasi dai terawal yang datang ke kampung Abu,Teji dan Senagkar dahulu, sudah tentu kami tidak ada disini. Menghirup udara ciptaan Tuhan dalam dakapan agama islam, merasai teriknya mentari dalam rahmat Tuhan, menikmatinya damainya suasana rimba dalam perlindungan Tuhan. Allahu, sesungguhnya kami hanya menyambung dan memenuhi lohong-lohong yang mungkin tidak terisi sahaja. Moga allah terima segala amal kita dan dilipatkan gandakan pahalanya di bulan puasa yang mulia ini.

   "Tidak akan bergerak kaki seorang manusia dari sisi Allah pada hari kiamat (nanti), sehingga 

dia ditanya tentang lima (perkara): tentang umurnya, untuk apa ia dihabiskan?, Tentang masa 

mudanya, untuk apa ia digunakan? Hartanya, dari mana diperoleh dan kemana dibelanjakan? 

Ilmunya, bagaimana dia amalkan ilmunya? " (HR Tirmidzi)

   Dada langit gelap dihiasi tompokan cahaya bintang. Dingin malam menjemput mata untuk lena dibuai damainya. Sepi. Sleeping bag ditarik membaluti tubuh, selamat malam makhluk tuhan. Moga esok kita bersua lagi.

Links
TAS I
TAS II
TAS III
TAS Epilogue

Tuesday, June 07, 2016

Di Bawah Langit Gelap Kuala Lumpur

Di bawah langit gelap kuala lumpur,
Menari rancak pepohon pinang,
Dibadai angin yang bertiup kencang.

Di bawah langit gelap,
Lelaki bertuksedo berlari liar,
Mencari teduhan mengelak basahan.

Di bawah langit gelap,
Si pengemis kudung gagah menggenggam cawan,
Mengharap rezeki tuhan dari sekalian insan.

Di bawah langit gelap,
Pemuda-pemudi tersengih bergelak sakan,
Entah apa yang menjadi bahan.

Di bawah langit gelap,
Perajurit tua menghela pandangan,
Menikmati indah hasil kemerdekaan.

Di bawah langit gelap,
Puluhan pencakar langit menggapai awan,
Bergemerlapan di dilindungi suram langit.

Di bawah langit gelap Kuala Lumpur,
Persona enak dibuai angin dingin lrt,
Dalam perjalanan berjumpa ayah bonda,
Menunggu ramadhan yang bakal tiba,
Dengan harapan ditemukan jua.


Salam ramadhan 1437 H. Ramadhan kareem wallahu akram.

5.00 petang 3 JUN 2016 Lrt Gombak-Kl sentral