Tuesday, January 26, 2016

Jalan Pulang: Pos Lebir Part 2

15 Januari 2016 




Ziarah pertama

 " Kami hayati pagi ini ya Allah di mana pagi ini kerajaan alam ini ditanganMu. Pujian untuk Allah, tidak ada sekutu baginya. Tidak ada tuhan sebenarnya melainkan Dia, kepadanya kami bakal dihimpunkan "

   Paduan suara anak-anak UIA  menutur al-Mathurat mengisi pagi hari di bumi Pasir Linggi. Al-mathurat memang sudah menjadi rutin bagi kami sepanjang seminggu disini. Setiap pagi dan petang akan dibaca secara berjemaah. Alhamdulillah, nikmat sebegini amat sukar dicari. Hari ini juga merupakan kali pertama kami akan bersua muka dengan keluarga angkat masing-masing. Terlebih dahulu, kami telah dipecahkan ke dalam adik-beradik angkat terdiri daripada peserta perempuan dan lelaki. Seperti yang dimaklumkan, setiap kumpulan akan digabungkan peserta yang sudah berpengalaman dan first timers. Dan disinilah saya ditemukan dengan 3 orang adik-beradik yang telah lama terpisah, luls. Kami berempat dan hanya saya seorang lelaki, awkward awalnya. Salah seorang daripada mereka telah saya kenali iaitu RS Azira. Ini adalah kerana kami berada di dalam kelab yang sama ketika zaman asasi di CFSIIUM dahulu. Baki yang dua lagi baru kenal disini, yakni Aisyah dan Fatin Nazihah. Alhamdulillah kami get along elok je start dari pagi ini. Tepat jam 9.30 pagi, biro RnD membahagikan kami kepada rumah masing-masing.Kami juga diberi sedikit taklimat tentang bagaimana cara-cara untuk menghampiri penduduk kampung oleh senior yang berpengalaman, Kak Paan. Selain itu, kami juga dibekalkan dengan points untuk disampaikan pada penduduk kampung. Nanti tiadalah mati akal sangat bila dah takda point nak bersembang satgi.

   Matahari telah mula membakar pada jam 10 pagi. Kebiasaannya rata-rata kita sedang mengerjakan solat sunat Dhuha tika ini, kan?. Maka bertolaklah kami ke rumah keluarga angkat masing-masing. Sewaktu berjalan menghala ke kampung Machang, saya melihat disekitar kawasan kampung. Kawasan berbukit-bukau disekelilingnya memberikan pemandangan yang damai. Suhunya masih dingin meski sang suria telah mula memancar galak. Tenang, tiada perkataan lain yang mampu saya gambarkan perasaan ketika itu. Tiada deruan kereta atau motor disana-sini juga tiada asap diesel membayangi pancaran mentari. Hanya kami dan alam semulajadi. Sungguhlah bila dilihat banyak kali pun masih tiada cacat celanya ciptaan Tuhan ini. Benar seperti yang diungkapkan di dalam kitab suci al-quran,

 "Kemudian ulangilah pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat segala kecacatan) sedang ia pula dalam berkeadaan lemah lesu(kerana habis tenaga dengan sia-sia)" al-Mulk ayat 4


Mata terpaku menyaksikan kekuasaan ilahi, hati berdebar untuk bersua nanti, biidznillah.




anak-anak Uia bersama dengan apak angkat
   Tiba di kampung Machang, kami menapak ke rumah pertama daripada tiga buah rumah yang akan dijadikan keluarga angkat kami. Sedang diri sedang diselaputi semangat membara, kami dikejutkan dengan dugaan pertama. Rumah pertama yang kami kunjungi sunyi, tidak berbalas salam kami. Mungkin apak atau nak tiada dirumah, boleh jadi juga sedang bersembunyi!. Sebelum berlepas tadi, kami telah dihidangkan dengan pelbagai cerita tentang telatah dan ragam ketika senior-senior dahulu menyantuni masyarakat orang asli. Kadangkala mereka ada dirumah, tetapi sengaja tidak mahu menyambut kami kerana malu,segan dan sebagainya. Tidak mengapalah, mungkin inilah cabaran kami sepanjang berada disini. Selepas puas memberi salam dan menyiasat, kami memutuskan untuk ke rumah yang kedua dan ketiga. Di rumah yang kedua, nasib kami masih sama. Salam yang diberi tidak bersahut, ketukan pintu kami dibalas oleh gema di dalam rumah sahaja. Mungkin apak sudah keluar bekerja dan nak segan mahu menerima kedatangan kami. Arakian, melangkahlah kami ke arah rumah keluarga kami yang bertiga. Masing-masing memanjat doa di dalam hati, berharap ada rezeki kami bertemu mereka kali ini. Allah maha melihat lagi maha mendengar, kami terserempak dengan amek yang kebetulan sedang berjalan bersama anak-anaknya menghala ke sungai. Didukungnya anak kecil seorang sambil tangan kirinya menjinjit sebatang joran. Mungkin hendak pergi memancing gamaknya. Tanpa segan silu dan dengan ramahnya, terus kami serbu dan menegurnya dengan gembira sekali. Tak dapat semua, dapat seorang pun jadilah. Pada mulanya kami mengajak nak melepak dahulu di rumah untuk bersembang bertukar khabar dan cerita,tapi sebaliknya pula yang berlaku. kami yang ikut turun serta ke sungai!.

   Setengah jam bertempur di sungai, kami pulang ke rumah amek dengan kejayaan. Seekor ikan berjaya dipancing RS, boleh tahanlah buat orang yang kali pertama. Nak Limah juga tidak segan-silu melayan telatah kami di sungai tadi. Halimah, itulah nama nak. Oh ye, maaf kerana saya tak jelaskan di awal cerita tadi. Disini lelaki dewasa digelar "apak" manakala wanita dipanggil dengan gelaran "amek" ataupun "nak". Mahu lebih mesra, panggilah "nak" yang bermaksud ibu, amek pula bermaksud mak cik. Antara yang sempat kami borakkan dengan Nak Limah adalah tentang tujuan kami ke sini, peristiwa banjir besar tahun lepas dan tidak kurang juga tutorial menanam benih pokok tomato. Yup, misi kami buat ziarah pertama ini adalah untuk mencipta bonding dan mengajar keluarga angkat kami cara-cara menyemai benih sayur-sayuran dan buah-buahan. Kami sedia maklum ada dalam kalangan mereka yang lebih arif daripada kami, tapi apalah salahnya berkongsi ilmu bukan?. Dalam rancaknya kami bersembang, terlihat kelibat amek keluar bersama anak-anaknya dari rumah pertama yang kami kunjungi tadi. Senyum lebar. Tanpa membuang masa, kami meminta izin daripada Nak Limah untuk mengundur diri sebelum terus ke rumah keluarga angkat kami yang pertama. Hampir setengah jam juga masa kami luangkan untuk mengenali nak Nora. Suaminya apak Ghani merupakan ustaz yang berkhidmat di kampung ini, namun sewaktu kedatangan kami apak keluar bekerja. Katanya melombong emas di Kuala Koh. Selesai dua buah rumah, kami bergerak pulang ke OR kerana waktu zuhur telah berkunjung tiba.


Kisah kawasan perkuburan Pasir Linggi

   Sebelah petang hari kedua kami diisi dengan aktiviti bergotong-royong. Sememangnya antara aktiviti wajib ketika berkunjung ke dalam perkampungan orang asli adalah untuk membersihkan dan menambah baik kawasan persekitaran mereka. Kami dibahagikan kepada dua buah kumpulan, lelaki dan perempuan. Semua pelajar perempuan dikerahkan untuk membersihkan kawasan surau kampung Machang manakala kami peserta lelaki menyinsing lengan membersihkan kawasan kubur. Semasa ziarah pada pagi tadi, kami ada juga mewar-warkan kepada penduduk kedua-dua belah kampung tentang aktiviti gotong-royong yang akan dijalankan pada petang hari. Mereka menyambut baik cadangan kami malah ada yang sanggup meminjamkan peralatan dan perkakas buat aktiviti petang ini. Namun, para penduduk kampung tidak mahu serta dalam aktiviti membersih kawasan kubur. Kata mereka, beberapa bulan yang lepas salah seorang dari penduduk kampung telah meninggal dunia dan dikuburkan disitu. Tetapi setelah itu mereka telah diganggu oleh si mati sehingga menyebabkan mereka ketakutan. Disebabkan peristiwa ini, mereka enggan menolong kami peserta lelaki disini. Fuh
membersihkan kawasan surau
kami yang dengar pun berderau juga darah. Namun berbekalkan semangat yang membara, masih tetap digagahkan kaki meneruskan misi kubur kali ini. Nak dijadikan cerita, kawasan kubur yang kami cari itu lansung tidak dijumpai.tambah seram. Menurut kata guru sekolah disini, kawasan perkuburan itu ada dibelakang pagar sekolah  dan berdekatan dengan tebing sungai. Tetapi bila kami sampai disana hanya ada kawasan belukar dan semak samun sahaja. Satu batu nesan pun kami tak jumpa. Pada tanggapan kami semua batu nesan disini telah hanyut dibawa air banjir. Setelah puas mencari di kawasan tersebut, akhirnya kami memutuskan untuk membersihkan kawasan sekitar sekolah sahaja. Berbekalkan cangkul, jok dan bermacam lagi, kami tebas lalang dan rumput yang tumbuh tinggi di tepi pagar sekolah. Dia punya peluh bekerja pukul 3 petang ni memang macam mandi namanya. Biasa peluh bila dijilat "masuk mulut" rasa masin, hat ni rasa tawar je,fuh penat betul nih. Aktiviti gotong-royong tamat dengan masuknya waktu asar. Disebelah pihak peserta perempuan, katanya meriah membersihkan kawasan surau bersama dengan masyarakat orang asli, alhamdulillah.

   Usai solat asar, saya dan rakan-rakan lelaki turun ke padang bermain bola sepak dengan anak-anak orang asli. Benarlah kata orang, bolasepak menyatukan kita tidak mengira bangsa, bahasa dan negara. Galak sungguh bermain dengan mereka hingga menghampiri waktu maghrib. Meski hidup jauh dari kemudahan menonton La Liga, English Premier league mahupun Liga Super Malaysia, kebolehan dan bakat-bakat muda disini harus dibanggakan. Mungkin Dato Vida dan team Kelantan boleh datang ke sini dan buka peluang untuk anak-anak disini mencuba nasib. Rezeki di tangan tuhan, siapa sangka jika muncul Santiago Munez dari Pasir Linggi? atau mungkin Piya kapten marvel dari kampung Machang? ahaha


riadhah petang
   Kaki dilunjur diatas kain sejadah sambil letak duduk saya perbetul mencari keselesaan. Menambah lagi selesa pabila mata ditutup menikmati tiupan angin dari industrial fan. Tengkuk dilurut perlahan kerana lenguh dan bahangnya mentari siang tadi masih bersisa.nikmatnya. Dalam keadaan santai menunggu post mortem dan briefing tentang perjalanan program pada hari esok, sesuatu melintas di benak fikiran. Bagaimanakah nasib anak-anak disini jika arus modenisasi bergerak terlalu laju buat mereka?. Apakah nasib masyarakat di pinggiran kota dan belantara jika suatu hari nanti mereka terlepas jauh dari arus perdana?. Tidak dinafikan pihak kerajaan negeri telah berusaha memberikan segala kemudahan dan fasiliti yang termampu buat masyarakat disini. Namun bila dilihatkan penerimaan dan budaya anak-anak disini, masih banyak yang perlu dilakukan. Sebenarnya ia lebih khusus kepada aplikasi agama islam dalam kehidupan seharian mereka disini. Menurut kata program coordinator yang lebih mesra digelar Otai, kampung disini telah pun memeluk islam sejak tahun 1970-an. Namun pada saya tahap pengamalan islam didalam hidup mereka masih di tahap sederhana. Kita mahu ia diamalkan pada tahap yang lebih tinggi, yakni setaraf dengan ilmu pengetahuan agama yang ada pada masyarakat luar. Bukanlah saya mengatakan mereka langsumg tidak tahu tentang islam, namun ada sesetengahnya masih tidak tahu kalimah shahadah dan rukun iman itu sendiri. Disinilah fungsi kita untuk datang dan berkongsi dengan mereka. Pada saya setiap yang kita lakukan disini memberi kesan dan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Win-win situation. Dengan mengajar masyarakat disini ia akan mendorong kami untuk menjadi lebih baik. Bagaimana?, dengan cara anda perbaiki diri anda dahulu sebelum anda memperbaiki orang lain. Bukankah begitu?.

   Disebabkan isu seperti inilah saya amat mengkagumi usaha-usaha dari kelab seperti Comrade, Jasa dan Titian asli yang selalu turun menyantuni masyarakat orang asli. Sungguh apa yang mereka lakukan ini amat besar nilainya disisi tuhan. Semoga allah terima segala amal yang kami lakukan sepanjang berada disini. Malam kami diteruskan dengan post-mortem harian dan briefing untuk Sports Carnival yang akan dijalankan pada hari esok.
 
   Sebelum menutup mata dan berlayar di alam mimpi, saya merenung dan mengingati bahasa batik yang sempat saya pelajari sebentar tadi. selamat malam dunia!

Kamus batik-melayu

yek- saya
jebit- Huduh
Kedah- Lawa,cantik
Jemagat- Kacak
Tom- Sungai

links:


Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Epilogue


Friday, January 22, 2016

Jalan Pulang: Pos Lebir Part 1

13 Januari 2016 

  Pagi rabu 13 januari 2016, gigih kaki saya melangkah  keluar dari rumah seawal jam 6.30 pagi kerana perlu ke stesen KTM Nilai dengan segera. Waktu pagi di bumi Nilai dingin dan dihiasi dengam pohon-pohon yang masih berembun. Pancaran-pancaran emas matahari masih belum kelihatan di dada langit, namun burung telah mula terbang keluar mencari makan. Indah dan mendamaikan. Usai bersalaman dengan mak, abah menghantar saya ke stesen KTM sebelum memecut ke tempat kerjanya. Kaunter tiket pada waktu begini hanya dipenuhi oleh orang ramai yang kebiasaannya bekerja di sekitar Bangi, Kajang dan Serdang namun menetap di Bandar Baru Nilai. Kebanyakkan penduduk tetap di Nilai bekerja di Kuala Lumpur, KLIA, Putrajaya dan kawasan yang saya sebutkan diatas. Mereka lebih gemar tinggal di kawasan yang masih membangun dan tidak sesak. Memang diakui bandar Nilai adalah kawasan perindustrian, namun ia masih belum sesibuk atau sesak seperti Kajang,Bangi dan jauh sekali Petaling Jaya. Oleh kerana itu ramai yang memilih untuk menetap disini dan mengambil pengangkutan awam untuk ke tempat kerja mereka. Jaringan pengangkutan awam disini juga amat bagus dengan adanya terminal bas dan stesen KTM. Malah, stesen ERL juga yang ada di Bandar Baru Salak Tinggi,BBST memudahkan perjalanan penduduk disini. Jika dari Nilai hendak ke BBST, ia hanya mengambil masa kurang dari 15 minit. Saya mengambil keputusan untuk keluar pada awal pagi kerna pada jam 11 pagi nanti saya perlu untuk ke Pejabat Anak-anak Saraan Mara, ANSARA di Ampang. Disana, saya diamanahkan untuk membawa sedikit sumbangan ubat-ubatan dan vitamin daripada pihak Ansara buat penduduk orang asli di Kelantan nanti. Pihak Ansara amat berbesar hati untuk sponsor barang-barang seperti ini jika ada bekas pelajar MRSM yang terlibat di dalam program tersebut. Saranan saya, jika anda adalah ex-MRSM dan ada menyertai program-program khidmat komuniti dan kemasyarakatan, jangan lupa untuk memohon sumbangan dari mereka. Ini kerana pihak Ansara sendiri ada program ANSARA Kasih dimana ini adalah salah satu daripada Corporate Social Responsibility, CSR mereka.

   Tiba di UIAM Gombak pada jam 10 pagi, saya telah terlebih dahulu menyewa sebuah kereta untuk ke Ampang. Sambil ditemani rakan saya Muhaimin, kami meluncur laju menuju ke Ampang. Dapat pula kereta Perodua Myvi Baharu,yang Facelift tu, pergh memang sedaplah bawak sampai tersalah jalan.aduh.. Daripada mampu ikut jalan yang tiada bayaran tol kami terpaksa juga lalu lebuhraya Duke dan akhirnya kene bayar tol,luls.. Kebetulan saya baru sahaja topup kad TouchNgo kelmarin, fuh nasib baik. Sampai di Ampang point kami bergegas mengambil ubat sebelum pulang ke kampus UIA semula. Sempat juga kami berkenalan dengan brother Fathuddin, pegawai yang berurusan hal berkaitan ubat dan vitamin tersebut,peramah orangnya. Alhamdulillah, selesai lunch dan zuhur, kami mengikuti slot Induction yang dikendalikan oleh ahli-ahli Comrade. Sejujurnya sambutan yang mereka berikan agak dingin dan hambar, namun saya hargai usaha mereka yang bersusah-payah mengadakan Induction buat kami yang first timer ini. Mungkin mereka terlalu sibuk dan terlepas pandang adab dalam melayan tetamu, tetapi tidaklah saya rasa melenting sangat. Saya sendiri pun kadang terlepas pandang dalam hal-hal sebegini. Untuk mengatasi masalah ini, saya sendiri cuba menceriakan diri dan memulakan perbualan dengan mereka. Dan Alhamdulilllah ia berjalan dengan baik, slowly but surely the bond will be created, and the ice will melts. Ini pegangan saya.


   Malam hari, kami bertungkus-lumus menyusun barang bantuan dan segala alatan yang perlu dibawa pergi kesana. Segala jenis benda daripada Tong gas,barang dapur hinggalah ke PA system dan barang-barang module dikemas dan disusun untuk dibawa naik ke dalam bas dan van pada esok hari. Sebelum menutup mata dan berlayar ke alam mimpi, saya memasang niat dan harapan. Niat untuk menjadikan perjalanan kali ini bukan sekadar perjalanan sia-sia dan mengisi masa cuti semester yang panjang ini. Tetapi untuk menjadikan perjalanan kali ini perjalanan penuh erti dan membawa saya kembali kepada Ilahi. Sebuah perjalanan yang ingin saya jadikan Jalan Pulang ke sisi Tuhan setelah kerap lalai dalam hidup bertuhan. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, moga program kali ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, tutur saya di dalam hati.



14 JANUARI 2016 HARI PERTAMA


   Pagi yang indah dan terang menghiasi kawasan bukit batu kapur daerah Gombak. Selesai segala kerja mengangkat barang-barang ke dalam bas dan van, kami bertolak dari UIAM Gombak pada kira-kira jam 8.30 pagi. Breakfast sekadar roti dan air sahaja yang tersempat nak telan pagi tadi. Di dalam bas, kami diberi dua biji pil untuk mengelakkan demam malaria. Pil ini persis seperti yang saya telan ketika menyertai trip bantauan banjir pada tahun lepas,juga di negeri Kelantan. Sungguh kuat betul jodoh dengan negeri Kelantan, dengan orang Kelantan? ermm.. Bas yang kami naiki serius laju sangat, tak tahu lah pak cik ni power sangat rasa macam terbang atas angin sahaja dia bawak. Alhamdulillah lebih kurang jam 12 tengahari kami dah menapak di Hentian Gua Musang. Nostalgik, teringat lagi setahun yang lepas ketika singgah disini. Usai mengisi perut dengan makanan yang sedap-sedap buat kali terakhir, kami meneruskan perjalanan.Sejam sahaja perjalanan dari Hentian Gua musang dan akhirnya kami tiba di pintu masuk ke Pos Lebir, Gua Musang. Perjalanan kami menaiki bas Dataran Pintar 68 dan 67 berakhir disini kerana seterusnya yang menanti ialah 3 buah trak Toyota Hilux dan 3 buah lori pikap. Bersedia semua? gelak besar. Dengan menaiki 6 jentera ini, kami membelah masuk ke dalam hutan belantara yang mengambil masa kira-kira 25 minit. Dua buah lori pikap dipenuhi dengan peserta lelaki dan perempuan. Sebuah dinaiki oleh 40 peserta perempuan dan sebuah lagi lori diisi dengan peserta lelaki. Segala peralatan, beg pakaian dan barang bantuan agihan telah disusun diatas dua buah Hilux dan berbaki sebuah lori pikap.



Selesai offload barang2 dari bas



Mari membelah belantara! hoyeah
   Desir angin menyambut kedatangan kami sambil dikelilingi hutan dan bukit-bukau. Walaupun cuaca terik jam 3 petang memayungi kami, debar di hati menuju ke destinasi lebih kami layani. Ini adalah pertama kali saya menyertai program menyantuni masyarakat orang asli dan sudah pasti berbagai-bagai harapan,tanggapan dan tidak kurang juga insecurities menyerbu di jiwa. Moga allah mudahkan semuanya. Pasti ada yang tertanya, bagaimana saya boleh terjoin ekspedisi kali ini. Izinkan saya membuka hikayat, aherheher.. Sewaktu di tahun pertama dahulu, secara tidak sengaja atau sengaja salah seorang ahli Comrade telah follow saya di instagram. Pada waktu itu, saya follow sahaja beliau semula kerana melihatkan isi kandungan post beliau yang pada saya mematuhi syariah dan berilmiah. Beliau amat gemar berkongsi gambar dan cerita mengenai apak, nak, amek dan pengalamannya turun bersama dengan masyarakat orang asli. Dari sinilah saya mula mengenali kelab Comrade IIUM. Namun,saya tidak pernah nak ambil inisiatif untuk menyertai kelab Comrade kerana saya suka fokus pada satu kelab dalam satu-satu masa. Dan alhamdulillah, di penghujung tahun kedua saya sebagai pelajar kejuruteraan Komunikasi di Taman Ilmu dan Budi, saya diberi peluang untuk menyertai misi kali ke POS Lebir di Gua Musang, Kelantan. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan yang mempelawa saya, saudara Arif Afdzal. Kalau tak memang takdanya nak join, hoho. Dan juga terima kasih kepada Sis Raihan Farhana yang terfollow saya hingga akhirnya mencetus minat saya untuk menyertai program Comrade.Hiks!


brothers

   Tiba di Pos Lebir, saya agak kagum dan terkejut dengan fasiliti yang ada disini. Sebuah sekolah rendah tersergam indah di tengah belantara. Sekolah Rendah Pasir Linggi sebenarnya telah lama didirikan disini dan telah beberapa kali berubah wajah dek kerana musnah dilanda banjir. Dan yang terbaru adalah kejadian banjir besar di Negeri Kelantan pada tahun 2015 yang lalu. Walaupun bangunan dan kelas-kelas disini telah pulih semula seperti biasa, namun bekalan air dan elektrik masih belum sempurna. Kami telah menjadikan surau sekolah sebagai pusat operasi kami,OR dan juga dapur buat biro katering. Peserta perempuan tidur di asrama perempuan manakala peserta lelaki menginap di surau merangkap OR program. Pada awalnya sukar buat kami peserta lelaki menerima hakikat tempat kami tidur dan menyalin pakaian adalah di OR dimana semua orang berkumpul, namun sedikit demi sedikit kami nampak hikmahnya.Nak tahu apa hikmahnya? nanti akan saya ceritakan.gelak kecil.



depa kata dah rupa pemerdagangan manusia, haha


Biro Persediaan dan Teknikal (PREPTECH)


   Sebelum bertolak ke POS Lebir, kami terlebih dahulu telah dibahagi kepada beberapa biro. Sistem ini bagi memudahkan urusan kami disini selain lebih sistematik dan tersusun. Antara biro yang ada ialah Catering, Sponsor, Module, Sport, Research and Development (RnD), Dakwah and Ibadah (DnI), dan juga Preparation and Technical (Preptech). Saya telah ditugaskan untuk berkhidmat didalam biro Preptech. Antara tugas kami diawal ketibaan disini ialah memasang kanvas dan persediaan dapur buat biro katering. Selain itu ialah memeriksa bekalan air dan tandas yang boleh diakses oleh para peserta disepanjang program ini. Alhamdulillah menjelang maghrib, semua barang-barang dan urusan penginapan telah berjaya diselesaikan. Walaupun ini kali pertama saya disini dan diberi tugasan lagi sebagai biro preptech, saya bersyukur kerana ada sebahagian ahli lama Comrade yang memberi tunjuk ajar tentang apa yang perlu kami lakukan.


   Malam pertama kami di POS Lebir diisi dengan slot taaruf dan briefing mengenai perjalanan program pada esok hari. Didalam sesi taaruf, kami dikehendaki menulis soalan diatas kertas sebelum direnyuk dan dicampak kepada orang lain. Soalan-soalan ini adalah bebas dan berkisar tentang pengalaman manis, pahit, membina dan tidak kurang juga yang menyentuh jiwa dan perasaan. Kami membentuk bulatan raksasa dan seorang demi seorang memperkenalkan diri mereka sambil menjawab soalan yang mereka terima dari insan lain. Modulnya ringkas, namun pada saya ia menelan masa yang terlalu lama kerana setiap orang hebat sangat jawab soalan panjang lebar,haha..

Selesai dengan sesi taaruf, kami diberi penerangan tentang perjalanan program pada hari esok.


Sesi Taaruf
   Sewaktu kami membuat persediaan di petang hari tadi juga, biro RnD telah pun melakukan ziarah umum dimana mereka berjalan di sekitar kampung dan membuat mapping rumah-rumah yang ada disini. Pos Lebir ini terdiri daripada dua buah kampung, yakni kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang. Rumah-rumah yang ada di kedua-dua buah kampung ini akan kami cuba santuni disepanjang 7 hari disini. Mengikut maklumat awal pasukan RnD, Suku asli disini ialah kaum Batik dan majoritinya beragama islam. Maka hal ini sedikit sebanyak memudahkan kerja kami untuk mencipta hubungan dengan mereka dan seterusnya bergerak lebih jauh untuk program-program akan datang. Menariknya juga, sebelum tidur kami akan membaca surah Al-Mulk secara berjemaah, sangat bagus. Teringat di zaman sekolah dulu memang setiap malam baca, tetapi bila dah makin tua ni tak sedar diri, kengkadang je baca.ish3,malu. Sungguh saya kagum dengan cara kerja dan susun atur pergerakan kelab Comrade sejurus tiba disini. Moga Allah mudahkan kami untuk menyampaikan ilmu kami kepada orang disini dan moga Allah buka kan hati mereka untuk menerima kedatangan kami disini. Biidznillah

Tak sabar nak mulakan hari esok! laila saidah


links:
Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Epilogue