Saturday, February 17, 2018

pertemuan

Beberapa hari yang lalu saya bertemu dengan seorang gadis. Matanya hijau kebiruan seakan-akan kacukan anak inggeris. Kulit putih gadis tersebut jelas terpancar di wajah yang berkerudung biru langit. Sedikit colekan blusher sudah menaikkan rona merah di pipi beliau. Indah.. Perlahan ia berjalan mendatangi saya yang sedang duduk di meja makan restoran Subway, Messa Mall.
Terasa debar dihati, benarkah gadis ini menyebut nama ku tadi?

Waktu terasa seakan-akan terhenti tatkala nama ku dilafaz sekali lagi,
"Encik Aizzat ?"

 Aku kaget. Sambil membetulkan letak tubuh dan mengalihkan pandangan ke wajahnya, aku menyahut dengan nada semesra mungkin. Meski ada kedengaran debar dan keliru.

"Ye saya.. dan awak ialah ? "

Gadis itu memberikan segaris senyuman nipis, sebelum membuka bicara.

"Anisa"





Sayonara uiam


Assalamualaikum wbt.

Memasuki hari ini, sudah hampir seminggu saya selamat meninggalkan bumi UIAM. Tapi masih lagi terasa seakan-akan mimpi sahaja. Perjalanan 4 tahun pengajian sarjana muda ditambah satu tahun setengah peringkat asasi kini telah tamat. Kesemuanya kini telah menjadi masa lalu, yang tidak mungkin berulang kembali. Secara rasminya, kami pelajar-pelajar tahun akhir kuliyyah kejuruteraan uiam tamat pengajian pada tanggal 25 Januari 2018, yakni setelah kami menghantar laporan akhir bagi projek tahun akhir mahasiswa kejuruteraan. Namun saya meneruskan khidmat di dalam ahli jawatankuasa Taaruf Week sejurus menghantar laporan projek. Dengan itu hayat berbakti sebagai mahasiswa saya diteruskan sehingga ke 5 haribulan Februari 2018.

Detik-detik akhir di universiti ini diwarnai dengan pelbagai rasa. Ada perasaan gembira di dada tatkala mengenangkan segala penat lelah menuntut ilmu kini akan berakhir. Ada rasa yang tidak terungkap dengan kata-kata melihat senyuman dan gelak tawa abah emak ketika mendengar perkhabaran anak yang bakal tamat pembelajaran kelak. Dan ada juga perasaan sedih kerana akan meninggalkan tempat yang mengajar seribu satu pengalaman dan didikan. Kerna akan berjauhan dengan rakan taulan, kerna akan berubahlah rutin harian, dan akan berpisah akhirnya dengan sesuatu yang telah menjadi sebahagian daripada diri ini.

Bermula dengan aktiviti-aktiviti akhir bersama rakan-rakan sepengajian, makan malam bersama gang Communication dan CIE, meneroka laluan denai di belakang UIA yang selama ini hanya dengan bebudak STUFF tetapi kali ini dengan gang CIECOMMU, dan juga sembang-sembang kosong bergelak gelak tawa hingga saat mengikat janji tidak akan terputus hubungan kelak. Semuanya memberi jiwa dan rasa yang tersendiri.

Benarlah kata orang, zaman remaja dan lebih khusus lagi zaman di pengajian di universiti akan menentukan sejauh mana kita akan berkembang di dalam kehidupan kelak. Mempunyai jaringan persahabatan yang luas akan memberi banyak manfaat pada kita dari segi mencari pekerjaan, atau sekadar ziarah-ziarah di hari raya nanti. Tidak akan terlayan semuanya, namun pasti ada segelintir yang benar-benar terikat hati kita, untuk saling berhubung dan bersahabat hingga ke hari tua.

Dengan ini, bermula lah fasa perubahan hidup daripada fasa pelajar kepada fasa dewasa bekerjaya. Meremang juga bulu roma bila terfikirkan keadaan diri yang masih mentah di dunia luar ini. Tetapi apalah gunanya segala yang telah dipelajari di universiti jika tidak digunakan di dunia baharu ini. Semoga diri kita akan kekal istiqamah dengan ilmu yang telah ada di dada, dan menyumbang semula kepada masyarakat ini mengikut kemampuan kita.

Terima kasih diucapkan kepada pensyarah-pensyarah di Kuliyyah Kejuruteraan IIUM Gombak, diatas segala tunjuk ajar dan markah peperiksaan sepanjang 4 tahun menadah ilmu kejuruteraan. Seterusnya, Madam Khairani, Mdm Aniza, Bro Najaa dan Bro Amir yang bertugas di Guidance and Counseling unit (GCU) CFS IIUM Petaling Jaya. Di kelab PEERS lah saya menemui identiti diri, membina keyakinan diri dan membuka diri untuk dunia luar. Para sahabat keluarga PEERS yang masih lagi berhubungan sehingga kini, meski kini jauh namun masih terbayang di mata diri ini kemeriahan dan keseronokkan bersama kalian. Melangkah ke pengajian sarjana di IIUM Gombak, kemeriahan dan jiwa kekeluargaan ketika bersama PEERS dikongsi dan diluaskan jajahan bersama keluarga tersayang kelab STUFF IIUM. STUFF IIUM meneruskan lagi perkembangan diri saya daripada pelbagai sudut dan ruang. Bermula daripada seorang yang kurang keyakinan diri, pendiam dan hambar sehingga kini saya lebih berkeyakinan, berani meluahkan pendapat, kelakar dan masih hambar(kata mereka). Tidak lupa juga sahabat-sahabat ketika bersama kelab CARING meskipun jodoh kita terhenti selepas setahun, namun tidak pernah putus diluar meski saya bukan lagi ahli rasmi. Sesungguhnya pengalaman berbakti di rumah Anbu Ilam dan Jaring Outreach ke Kelantan pasti akan saya kenangkan sehingga tua nanti. Tidak ketinggalan kelab COMRADE kerana mengajar erti hidup pada memberi, di dalam ekspedisi-ekspedisi amal ke Kg Lebir, Kg Teji, Abu, Senangkar dan Kg Susu. Kesemua ekspedisi ini mengajar saya erti dan nikamt islam itu sendiri. Juga menenangkan jiwa setelah terlalu sesak disumbat teknologi dan peradaban moden hingga terlupa keindahan kehidupan sederhana yang dijalani aber, amek, nak dan jajak di perkampungan orang asli. Bersama kalian juga saya menyedari potensi diri untuk berdakwah, dan hidup meski dalam keadaan tiada teknologi dan kemudahan harian. Program paling berbekas di jiwa? semestinya ketika IPTA Lebir 2016 dan juga Distex Kg Susu. Selain daripada kelab dan persatuan, terima kasih juga kepada batch CIE COMMU, sahabat sekelas daripada tahun pertama hingga ke tahun akhir. Walaupun bonding sesama kita tidak begitu kuat seperti majoring lain, namun kita berjaya cantikkan pengakhirannya. Mungkin juga kerana bilangan kita yang terlalu ramai, sebab tu macam susah nak kumpulkan semua orang, gelak.

Fuh rasa macam beremosi betul entry kali ini,haha..Siapa tak akan emosi kena berpisah dengan entiti yang telah lama membekas di hati dan jasad, kan? . Selama empat tahun saya mendiami bumi Gombak, mulanya menaiki basikal ke kelas, kemudian lebih suka berjalan kaki. Oh ye kegemaran saya berjalan kaki ke kuliyyah pada awal pagi jam 8 pagi. Waktu ini sangat nyaman kerna udara masih bersih dan dingin. Bunyi-bunyi kenderaan juga masih jarang kecuali jam 8.10 minit pabila semakin banyak motorsikal dan kereta berkejar mencari kawasan parkir. Tempat kegemaran saya? melintasi bangunan kuliyyah ekonomi dan juga kawasan parkir kereta kuliyyah ilmu wahyu. Setiap pagi jam 8 pasti mak cik Daya Bersih sudah ada disitu menyapu dan melonggokkan daun-daun kering. Terasa satu kepuasan bagi saya melihat jalan tar yang hitam dan bersih kemas selepas daun-daun yang berselerakkan disapu mak cik Daya Bersih. Kadang-kadang saya hadiahkan senyuman jika mak cik berpaling pada saya, menandakan ucapan terima kasih saya dan menghormati pekerjaan mulia mereka. Mak cik mesti akan senyum semula, ye benar senyuman kita sahaja mampu menceriakan permulaan hari sesama manusia. Memasuki tahun keempat, saya masih berjalan kaki cuma bila balik dari kuliyyah ke mahallah kebiasaannya menaiki mereka kawan sekelas. Lagipun semasa semester akhir kelas saya hanya sekali atau dua kali sahaja sehari. Maka masa saya lebih banyak diluangkan diluar kelas dan mahallah, yakni di kafe HS, Edu dan juga kadang-kadang di Photonic lab, ruang kerja FYP saya.

Jika hendak saya luahkan segala rasa di dada ini, past semakin berjela-jela lagi tulisan ini. Cukuplah rasanya saya pendam dan hayati seorang, memori-memori pahit manis ketika di zaman universiti. Kepada kalian yang masih di dalam pengajian, nikmati dan penuhilah masa kalian dengan aktiviti-aktiviti dan perbuatan yang mampu kalian kenangkan dan menungkan kelak. Kerana kesemua saat-saat ini tidak akan berulang kembali, perasaan apabila sudah tidak di dalam universiti lain benar, begitu juga jika menyambung master, suasana dan keadaannya tidak akan sama seperti degree. Saya juga ingin megambil kesempatan ini memohon ampun maaf diatas segala salah silap saya sepanjang 5 tahun setengah bersama-sama dengan anda semua warga universiti islam antarabangsa malaysia. Segala tingkah laku, tutur kata atau apa sahaja yang pernah menyakitkan, ampun dan maaf saya pinta dari kalian.. Jika ada hutang yang belum dilangsaikan, hubungi lah saya okayh? hihi..

Semoga kita berjumpa lagi di masa akan datang, sayonara~

PEERS induction day

Mainboard STUFF 2015/2016
new year 2018 celebration mb 17 dan mb 18

Mainboard STUFF 2017/2018
sambutan hari raya aidilfitri 2017 stuff iium

walimah ex-pres Stuff, Balqini dan Hikmah

Intership di Theta Technologies sdn bhd

meraikan konvokasi kak Tengku Ain

support stuffians yang menjadi komiti stanex 2017

stuffians di Stanex 2017

GB study group ciecommu