Haikal mengatur langkah perlahan sambil matanya memerhati keadaan sekitar yang dipenuhi dengan pelbagai gelagat manusia. Suasananya sibuk, tipikal bagi sebuah bandar raya besar seperti Kuala Lumpur. Di celah kesibukan manusia dan hiruk pikuk kenderaan menderu di atas jalan raya, beliau ternampak satu susuk tubuh duduk lemah. Wajahnya menunduk ke bumi sambil tangannya memegang sebuah tin minuman ringan yang telah dipotong bahagian penutupnya. Ketika ada manusia yang berjalan melepasi dirinya, digoncang tin itu. Bunyi duit syiling berlaga laju membelah dan menembusi gegendang telinga manusia yang berjalan di hadapannya. Sedih. Mungkin daripada 10 orang yang berlalu melepasi lelaki ini, hanya seorang yang menghulur derma tanda sifat kemanusiaan masih ada. Selebihnya? Masih berkira-kira dan mungkin sebenarnya mereka juga sedang mengikat perut demi menampung perbelanjaan semasa yang kian meningkat hari demi hari. Kita semua sama sahaja sebenarnya, mengemis dan mencongak nasib diri buat hari esok. Namun perbezaannya antara kita dengan mereka, hak asasi mereka sebagai manusia seakan-akan tiada, Mereka juga mempunyai hak untuk mendapat tempat tinggal, hak untuk bersuara dan hak untuk mendapat makanan buat kelangsungan hidup. Hak asasi yang dicanang-canang membela nasib manusia seakan-akan tidak merangkumi insan-insan gelandangan seperti mereka. Situasi ini terjadi bukan hanya di tanah air kita, namun di serata dunia. Malahan tidak mustahil jika saya katakan bahawa nasib yang menimpa mereka yang berada di luar negara kita jauh lebih buruk dan menyedihkan. Jadi apakah maksud hak asasi manusia sebenarnya? Siapakah yang berada di bawah payung hak asasi manusia ini? Mari kita bincangkan.
Definisi bagi Hak Asasi Manusia (HAM) menurut seorang ahli filosofi barat iaitu John Locke, hak adalah hak yang diberikan langsung oleh Tuhan sebagai sesuatu yang alami. Ertinya, hak asasi manusia yang dimiliki manusia sifatnya tidak dapat dipisahkan dari hakikatnya, sehingga bersifat suci. Manakala menurut ilmuwan islam yakni Dr Wahbah al-Zuhaili, hak insan adalah himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya yang diperakukan secara alami walaupun belum diiktiraf atau dicerobohi oleh mana-mana pihak. Ia merangkumi has asasi seperti hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak mereka untuk merdeka, hak untuk mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat, hak menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak bekerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia mendapat asuhan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain. Beliau menegaskan, al-karamah al insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber hak asasi. Apabila wujudnya penghargaan terhadap karamah Insaniah itu bermakna adanya keinsanan manusia berkenaan yang membezakannya dengan haiwan. Setelah kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai definisi hak asasi manusia, mari kita masuk kepada skop perbincangan pada hari ini.
Pada tanggal 10 Disember tahun 1948, secara rasminya deklarasi hak asasi manusia telah diisytiharkan bertempat di Pallace de Chaillot, Perancis. Deklarasi ini yang dipersetujui dan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertitik tolak daripada tragedi dan pengalaman hitam semasa Perang Dunia Kedua. Sewaktu pengisytiharannya, deklarasi ini telah mendapat 40 undian sokongan, 0 undian bantahan dan 8 negara memilih untuk berkecuali. Pada hari ini jika kita lihat telah ada beberapa pindaan dilakukan kepada teks asal deklarasi hak asasi manusia tersebut. Deklarasi ini mengandungi 30 perkara yang menggariskan hak asasi manusia berdasarkan pemerhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia boleh diguna pakai ke atas semua rakyat. Pasca pengisytiharannya, deklarasi hak asasi manusia 1948 atau lebih dikenali sebagai Universal Declaration of Human Right (UDHR) dipuji dan di sokong oleh ramai ahli akademik, mahkamah perlembagaan dan tidak lupa kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Dengan wujudnya deklarasi ini, hampir separuh masalah berkaitan hak asasi manusia di dunia dapat diselesaikan dan memberi harapan kepada kemanusiaan semula. Namun, sejak akhir-akhir ini hak asasi manusia telah jelas dicabuli dan dilanggar oleh pelbagai pihak. Contohnya sangat ketara dan jelas, rakyat Palestin setiap hari menderita ditindas oleh rejim zalim Zionis yang dahagakan tanah bagi penempatan kaum Yahudi. Begitu juga kaum minoriti Rohingya di Myanmar yang dinafikan hak kewarganegaraan mereka serta diusir keluar dari negara mereka sendiri. Malah lihat sahaja mangsa peperangan saudara di Syria yang dilayan lebih teruk daripada manusia. Kini, pelarian-pelarian perang ini menggadai nyawa merentas lautan untuk membuka lembaran baru di dalam hidup mereka di negara-negara Eropah dan Turki khususnya. Apakah deklarasi yang dipuji dan dibangga-banggakan ini gagal berfungsi dan hanya tulisan semata? Di manakah kelemahan deklarasi hak asasi manusia ini yang perlu kita sama-sama perbaiki?
Kelemahan pertama Deklarasi hak asasi manusia yang ditunjangi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah pendirian mereka yang selalu tunduk pada kuasa-kuasa besar dunia. Seringkali sesebuah kata putus berkenaan hak asasi manusia atau isu kemanusiaan telah dicapai, pasti ia akan dibatalkan dengan penglibatan kuasa daripada Majlis Keselamatan PBB. Siapakah peneraju Majlis Keselamatan PBB yang dilihat mempunyai kuasa pembatal ini? Majlis keselamatan PBB adalah majlis yang dianggotai oleh ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menariknya 5 ahli tetap majlis ini mempunyai kuasa veto, yakni kuasa pembatal. Majlis keselamatan ini terdiri daripada negara-negara besar dunia seperti Amerika syarikat, Russia, China, United Kingdom dan Perancis serta sebilangan kecil ahli tidak tetap. Contoh mudah yang boleh saya berikan adalah ketika konflik di negara Syria semakin memuncak, Russia menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang kemasukan tentera pengaman daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sendiri. Tindakan ini menyebabkan bilangan rakyat negara Syria yang terjejas dengan peperangan saudara di tanah air mereka bertambah ramai. Langkah yang dipersetujui ahli-ahli PBB ini bertujuan menyelamatkan nyawa insan yang tidak bersalah di sana. Namun, oleh sebab hubungan rapat antara Presiden negara Syria, Bashar Al-Assad bersama rakan sejawatannya di Russia, yakni Vladimir Putin menghalang kemasukan pasukan pengaman dan perubatan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tragisnya, keputusan yang dibuat oleh majoriti suara negara-negara ahli di dalam PBB itu sendiri hanyalah sebuah cadangan yang akan ditentukan pelaksanaannya oleh Majlis Keselamatan PBB. Bukankah seharusnya kedua-dua majlis ini yang bernaung di bawah organisasi yang sama mengeluarkan keputusan bersama? Maka tidak salah jika saya nyatakan bahawa sistem di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sendiri bermasalah dan masih tidak jelas.
Kelemahan kedua dalam isu hak asasi yang diperjuangkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah banyaknya berkata tetapi kurang tindakan. Situasi ini boleh diibaratkan bagai mengetuk tin yang kosong. Bunyinya kuat, tetapi di dalamnya kosong, tiada isi. Tidak dapat saya nafikan bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang diajukan kepada mereka. Usaha mereka sangat dihargai dan dihormati oleh semua pihak, namun pihak PBB dilihat terlalu banyak mengeluarkan kenyataan dan mengadakan dialog perbincangan berbanding membuat tindakan. Hal ini menyebabkan himpunan krisis kemanusiaan masih tidak selesai sehingga berlanjutan buat puluhan tahun. Contoh mudah yang boleh kita lihat bersama ialah krisis pertikaian tanah air di antara rakyat Palestin dan Israel. Negara Israel, yang diasaskan dan dibangunkan di atas tanah berdaulat Palestin kini sedikit demi sedikit menakluk tanah-tanah milik rakyat Palestin dan memberikannya kepada pendatang-pendatang Yahudi yang datang dari seluruh dunia. Pelan pembahagian sempadan dan kedaulatan yang dirancang oleh PBB pada tahun 1948 jelas telah gagal. Kini kerakusan pihak Israel meluaskan sempadan mereka telah menyebabkan ratusan rakyat Palestin dinafikan hak asasi mereka. Hampir saban tahun serangan dan tindakan-tindakan provokasi daripada rejim Israel menyebabkan penduduk Palestin terkorban. Tanah air mereka perlahan-lahan hilang kedaulatannya dan digantikan dengan sebuah negara baru, yakni Israel. Meskipun pelbagai kecaman dan amaran telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pihak Israel masih berkeras dengan pendirian mereka. Di sini jelas bahawa hak asasi manusia dicabul namun dunia dan khususnya PBB gagal berbuat sesuatu untuk menghalangnya melainkan hanya dengan mengeluarkan kenyataan dan kecaman demi kecaman. Perkara ini menjadi bukti bahawa PBB lemah dalam menyelesaikan krisis dan masalah yang seharusnya mereka tangani.
Bagi setiap kelemahan itu pasti ada jalan untuk memperbaikinya. Begitu juga dengan kelemahan aspek hak asasi manusia yang kita bincangkan ini. Kelemahan pertama yang kita bincangkan yakni PBB yang sering tunduk di atas arahan kuasa veto boleh kita selesaikan jika semua pihak bersetuju untuk bersama di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tanpa mempunyai kepentingan. Sistem sedia ada yang diguna pakai menunjukkan adanya tapisan di dalam sesuatu keputusan. Setelah persidangan negara-negara ahli, suara majoriti akan diperoleh tentang sesuatu isu. Namun jika keputusan bersama ini bertentangan dengan kehendak negara berkuasa veto yang mempunyai kepentingan tertentu keputusan itu akan dibatalkan. Hal ini menyebabkan banyak perkara khususnya isu hak asasi manusia yang dibincangkan tergendala dan tidak mencapai matlamatnya. Maka untuk memberi keadilan kepada semua pihak, kelima-lima buah negara yang mempunyai kuasa veto ini harus duduk semeja dan sebaris bersama negara-negara ahli yang lain. Namun yang memberi perbezaan kepada mereka ialah undi mereka dianggap sebagai undi popular. Sekurang-kurangnya daripada 5 negara tersebut, 3 undian daripada mereka diperlukan bagi membatalkan sesuatu keputusan. Dengan cara ini, keseimbangan kuasa dapat dikekalkan dan mengelakkan kuasa tunggal yang sering mengganggu keputusan suara majoriti. Ironinya, ahli-ahli tetap ketika penubuhan Majlis Keselamatan PBB dipilih daripada negara yang memenangi perang dunia kedua kecuali Persekutuan Russia dan Republik Rakyat China. Kini zaman telah berubah dan kebangkitan kuasa-kuasa baru dunia boleh mengimbangi pakatan ini. India, Turki, Jepun malah Brazil kini semakin meningkat naik dan berpotensi menjadi negara berkuasa besar dunia kelak. Maka, jika sistem ini dapat diperbaiki dan ditambah baik, pasti hasilnya akan lebih memberangsangkan dan memberi manfaat kepada seluruh dunia. Isu berkaitan hak asasi manusia juga pasti dapat ditangani dengan lebih efisyen dan komprehensif. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Seharusnya kita memperbaiki diri kita dahulu sebelum memperbetulkan orang lain. Saya percaya jika sistem ini dapat kita tambah baik, isu hak asasi manusia akan lebih terjamin dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.
Langkah kedua yang perlu kita ambil agar hak asasi manusia bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia dipandang serius adalah dengan mendesak pihak yang berkaitan agar lebih proaktif. Di sini kita berbincang mengenai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang terlalu banyak mengeluarkan kenyataan dan kecaman berbanding bertindak menangani masalah itu sendiri. Mengikut pepatah Inggeris, “actions speak louder than word “. Kita harus berpegang pada pepatah ini dan begitu juga seharusnya dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Jika sebelum ini pihak PBB memberi alasan bahawa mereka dihalang daripada menyalurkan sesuatu bantuan kerana di ancam oleh pihak atau negara tertentu. Namun seharusnya dengan seluruh dunia di belakang mereka, melihatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sebagai badan yang menyatukan negara- negara ahli dari seluruh dunia. Maka sepatutnya tidak ada masalah bagi mereka mengambil tindakan. Tindakan yang diambil juga semuanya bermatlamatkan menjaga hak asasi manusia, maka sudah tidak ada isu mengganggu kedaulatan sesebuah negara. Misalnya ialah kemasukan pasukan perubatan dan bantuan makanan ketika krisis kemanusiaan berlaku di Afrika tengah pada tahun 2014 yang lalu. Kepantasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan agensi kemanusiaan yang lain mengutip dana dan menyalurkannya kepada mangsa di Afrika Tengah wajar dipuji. Inilah contoh langkah proaktif yang kita mahu dijalankan oleh setiap pihak apabila berbincang mengenai isu hak asasi manusia. Melihat kepada situasi di Malaysia, selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), pelbagai badan bukan kerajaan seperti The Nasi Lemak Project (TNLP), Teach For The Need (TFTN) bergiat aktif memberi sumbangan kepada mereka yang berkenaan. Antara bentuk sumbangannya ialah dari segi pendidikan dan makanan bagi gelandangan yang ada. Namun kita masih belum mampu menyediakan tempat tinggal buat mereka yang kurang berkemampuan ini.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Peribahasa ini membawa maksud bahawa masyarakat atau sesuatu kumpulan perlu bekerjasama dan berkongsi susah serta senang bersama di dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Berpegang kepada peribahasa ini, kita sebagai penghuni dan pemimpin di atas muka bumi harus bersatu dalam menangani isu- isu hak kemanusiaan tidak mengira bangsa, bahasa, budaya, agama malah kewarganegaraan. Pada pandangan saya, hak asasi manusia tidak mempunyai sempadan fizikal, hak asasi manusia meliputi setiap tanah dan lautan yang dipijak oleh seorang manusia. Hubungan istimewa yang kita kongsi bersama sebagai satu makhluk yang bergelar manusia harus dijaga dengan sebaiknya. Hak asasi manusia harus dikongsi oleh semua manusia dan diberikan tanpa ada diskriminasi. Sahabat kita di Amerika Syarikat sudah merasai pedihnya hidup ketika zaman apartheid kulit putih dan hitam kira-kira 250 tahun yang lalu. Masyarakat Asia khususnya kerajaan-kerajaan Nusantara juga telah merasai bertapa angkuhnya bangsa Eropah menjajah dan memerintah kerajaan-kerajaan Nusantara seperti Kerajaan Islam di Riau dan Kesultanan Melayu Melaka pada 500 tahun yang lalu. Dunia juga melihat bagaimana rakyat Palestin dan Israel berbalah sesama mereka bermula 60 tahun yang lalu sehingga kini. Sampai bila harus kita bertelagah dan bertikam lidah sesama kita?. Implikasi konflik dan peperangan ini kebiasaannya membawa kecederaan dan kematian kepada manusia itu sendiri. Oleh sebab perkara seperti inilah kita bercakap mengenai hak asasi manusia. Marilah kita bina persefahaman sesama kita dan bersepakat demi masa depan yang lebih cerah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana sepakat. Perjalanan kita dalam membela dan mempertahankan hak asasi manusia sudah pasti panjang dan berliku-liku, tetapi kita tidak patut menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mencuba. Marilah kita beri peluang buat kemanusiaan untuk kembali mekar semula, demi kehidupan yang lebih harmoni dan demi generasi akan datang yang akan mewarisi bumi yang kita diami ini.
2135 patah perkataan.
Sumber-sumber rujukan:
1. Hak Asasi manusia dalam perspektif hukum islam, Yefrizawati, Program Studi Hukum keperdataan, Fakultas Hukum, Universitas Sumatera Utara
2. Hak asasi manusia dari perspektif islam, https://temanteras.wordpress.com/shura/hak-asasi-manusia-dari-perspektif-islam/
3. 100 Pengertian hak asasi manusia menurut para ahli, http://www.dosenpendidikan.com/100-pengertian-hak-asasi-manusia-menurut-para-ahli/
[ Esei ini telah dihantar bagi menyertai Pertandingan Menulis Esei Pendek Sempena Hari Hak Asasi Manusia anjuran CENTHRA, yakni dibawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Moga-moga dengan penulisan ini mampu membuka mata masyarakat dan lebih-lebih lagi belia tentang apa itu hak asasi manusia dan pengaruhnya dalam hidup kita]
senyum
Pertama kali saya baca tulisan ini dengan kemas. Heh
ReplyDeletethanks!
Deletewoah! nice research. Haha
ReplyDeletewould'nt manage to finish it without my trusted,reliable co-writer. Thanks :)
Delete