Tuesday, May 17, 2016

Ramadhan 00

  

   Kurang 30 hari sahaja lagi sebelum kita bersua dengan bulan ramadhan. Pantas, sungguh pantas masa berlalu. Terasa seperti baru sahaja melalui bulan tarbiyyah penuh rahmah itu.. Bulan ramadhan sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri. Suasananya, perasaannya, suhunya.. boleh ke? Berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Jadi, disebabkan tengah free acah-acah sekarang ni sebelum final exam, nak kongsi lah dengan anda semua tentang persiapan dan persediaan yang biasa saya buat sebelum masuk ke bulan ramadhan.

   Tujuan saya bukanlah nak berlagak pandai mahupun menunjuk-nunjuk, tapi apa salahnya kita kongsi benda yang baik kan?.senyum. Jadi, kebanyakkan yang akan saya kongsi sebenarnya adalah berdasarkan pengalaman, bacaan dan gesaan dari naqib saya sendiri. Tak banyak pun, adalah cukup sekadar bacaan dan amalan ringan buat anda. Kalau korang ada komen atau cadangan ke, habaq mai ah kat comment bawah tu,haha..

Sama-Sama kita meriahkan dan manfaatkan bulan indah ini.senyum lebar.

1. Puasa Ganti

   Perkara pertama kebiasaannya yang kita dengar sebelum menjelangnya bulan ramadhan adalah mengganti puasa bagi mana-mana insan yang tidak lengkap puasanya. Disini bukanlah hanya terarah pada kaum hawa sahaja, namun kepada kaum adam juga. Mustahil la semua lelaki atas dunia ini puasa penuh, mesti ada juga yang tidak lengkap. Contohnya yang melakukan kerja-kerja berat sehingga memaksa mereka berbuka puasa, atau mungkin juga yang tidak mampu kerana sakit dan lain-lain. Dan harapnya bukan sebab ponteng saja-saja. Seeloknya bermula daripada bulan Rejab lagi kita telah mula berpuasa untuk melatih diri. Bukan apa, takut-takut nanti culture shock perut ni bila masuk ke bulan ramadhan. Mana taknya, setiap hari diisi dengan pelbagai makanan dan minuman, tiba-tiba kena tahan pula seharian. haa mana tak terkejut perut tu? perut pun boleh terkejut tau!haha

2. Pasang Niat

   Berdasarkan hadis pertama daripada hadis 40 imam nawawi, ia menyentuh tentang kepentingan niat. Betapa niat ini memainkan peranan yang sangat penting dalam segala sesuatu perbuatan kita di atas dunia ini. Boleh jadi jika berbuat kebaikkan tetapi jauh di sudut hati niat kita adalah untuk menunjuk-nunjuk, maka pahala daripada amal itu tidak allah berikan kepada kita. Lebih sedih jika ia menyumbang kepada saham dosa kita pula. Naudzbillah. Perkara yang molek untuk kita lakukan ialah pada bulan syaban ini terus kita niatkan untuk apa dan apa yang kita ingin capai pada bulan ramadhan kali ini. Sebagai contoh, kita niatkan segala amal kita pada bulan ramadhan nanti hanya untuk memuaskan dan melunaskan rasa kecintaan kita kepada allah swt. Tambah pula kita tetapkan target atau sasaran tertentu untuk dicapai dalam bulan ramadhan kelak. Target yang saya maksudkan adalah seperti target nak khatam quran 2 kali sepanjang bulan ramadhan, atau boleh juga hendak solat terawih berjemaah cukup sebulan. Inshallah, bila kita dah ada niat, dah tentukan sasaran tertentu, kita takkan mudah terleka atau orang kata syok sendiri dalam melalui bulan ramadhan kelak.

3. Mutabaah amal

   Mutabaah amal yang saya maksudkan disini adalah jadual amalan seharian kita. Pelaksanaannya mudah, tetapi memerlukan disiplin yang sangat tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.hiks. Mutabaah amal ini sangat mudah untuk dibuat, dan ia fleksible. Makna kata ia berubah mengikut kemampuan dan target seseorang insan itu sendiri. Tidak semua orang mampu untuk melakukan atau mencapai target yang sama melainkan mereka adalah dari kelompok yang sama. Golongan ulama dalam kelasnya tersendiri, asatizah dalam kelasnya tersendiri, begitu juga dengan orang awam dan juga golongan muallaf. Tidak adil jika letakkan muallaf bersama dengan para alim ulama dalam kelas yang sama. Jenis dan jumlah amal kita mungkin berbeza, tetapi semuanya menuju kepada entiti yang sama. Tuhan yang sama. Disini saya sertakan contoh mutabaah amal yang pernah saya dan sahabat-sahabat saya gunakan. sini

4. Sepersalinan pakaian khusus

   Mungkin tidak ramai yang sedar dengan perkara ini mahupun yang betul-betul mempraktikkannya, tapi pada saya ia berhasil dan berbaloi untuk dicuba.senyum. Menyediakan sepersalinan pakaian khas untuk beribadah pada bulan ramadhan sebenarnya mampu membantu anda mewujudkan suasana atau biah untuk beramal. Sebagai contoh, saya sendiri mempunyai sehelai jubah berwarna putih yang saya khaskan hanya untuk solat-solat malam. Kerana apa? kerana bila kita jadikan ia esklusif, kita hanya akan dapat merasai nikmatnya bila kita berusaha untuk melakukannya. Jika saya tidak bangun untuk solat malam, maka saya tidak dapat peluang untuk menggayakan jubah tersebut. Begitu juga dengan mengkhususkan sejenis minyak wangi sahaja hanya untuk tujuan beribadah. Serius weyh, bila tercium haruman minyak wangi itu sahaja terus teringat rutin yang perlu dilakukan kalau nak pakai minyak wangi tersebut. Kesan dia sampaikan bila diluar bulan ramadhan saya terhidu bau haruman tersebut, automatik saya akan teringat momen-momen saya beramal dengan bertemankan haruman tersebut. Secara tidak langsung ia mengingatkan saya tentang amal-amal yang mungkin saya telah lupa atau tidak amalkan selepas bulan ramadhan berakhir. Menarik bukan ? betapa perkara-perkara yang kecil ini juga sebenarnya mampu bertindak sebagai peringatan kepada kita. Jadi cubalah!. Sediakan sepersalinan pakaian khas untuk beribadah ketika bulan ramadhan ini atau mungkin juga minyak wangi khas. Sejadah pun boleh~

5. Banyakkan bersedekah

   Infaq atau pun sedekah merupakan salah satu amalan yang mulia dan dipandang tinggi disisi allah swt. Seperti mana yang kita sedia maklum, ada 3 perkara yang apabila mati seseorang anak adam, tidak akan terputus pahala daripada ketiga-tiga perkara ini masuk kepada akaun pahala si mati. Tiga perkara tersebut ialah doa anak soleh kepada ibu bapanya, ilmu yang bermanafaat, dan yang terakhir sekali ialah sedekah jariah ataupun infaq. Tak dinafikan ramai daripada kita yang amat takut dan rau-ragu untuk bersedekah, kerana apa? kerana kita diganggu oleh bisikan-bisikan syaitan yang tegar mengatakan kita akan miskin jika kita bersedekah. Lihat saja pada surah al-baqarah ayat 268, "Syaitan itu menjanjikan(menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut) sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurnianya. Dan (ingatlah) Allah maha luas limpah rahmatnya lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya." Jelas disini bahwa dengan bersedekah Allah akan membalas ia dengan sesuatu yang tidak dapat kita gambarkan. Boleh jadi Allah balas dlaam bentuk kewangan, kelapangan hidup, ketenangan dalam masa kegawatan atau mungkin juga dengan perlepasan dari api neraka di alam barzakh kelak.


   Apa-apa pun yang saya kongsikan disini hanyalah cadangan dan unjuran sahaja berdasarkan pengalaman saya sendiri. Dan tidak semestinya ia berfungsi ke atas semua orang. Jika ia berkesan pada saya, apa yang mampu saya lakukan hanya berkongsi dengan orang lain tentang keberkesanannya tetapi tidak wajar untuk saya katakan ia wajib dan akan berhasil pada anda juga. Ambillah mana yang sesuai dengan diri anda, atau mungkin anda boleh lakukan penambahbaikkan daripada apa yang telah tersedia disini. Dah improvised nanti, kongsi-kongsi lah juga ek? hahaha..
Moga-moga allah sampaikan kita dengan bulan ramadhan pada tahun ini, moga allah izinkan kita bersua dengan ramadhan 2016 dan allah izinkan kita manfaatkan ia dengan sepenuhnya. Selamat membuat persediaan dan selamat menyambut bulan ramadhan! kisah apa wish awal sangat,haha

2 comments:

  1. Puasa ganti boleh buat sekali dengan puasa enam!��

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete