Thursday, June 16, 2016

Teji Abu Senangkar (TAS) I


   Ramadhan 2016 jatuh pada bulan Jun tahun ini. Terasa pelik dan janggal juga sebenarnya kerna dulu zaman kecil-kecil kebiasaannya bulan Ramadhan dan Syawal diraikan pada penghujung tahun. Masa tu cerita sekolah memang sangat panjang. Cuti sempena hari raya digabungkan lagi dengan cuti hujung tahun,fuh memang zaman tu kami beraya sakan. Bulan berganti dan tahun berlalu, kini kitaran kalendar hijrah telah sampai dimana bulan berpuasa jatuh di pertengahan tahun. Nasiblah budak zaman sekarang tak dapat merasa cuti panjang yang amat macam kami dahulu.Gelak besar. Awal Ramadhan tahun ini juga istimewa, eh ramadhan tahun ini saya anggap istimewa. Kerana apa? kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya Allah izinkan saya menyambut dan melayari minggu pertama bulan Ramadhan bersama-sama dengan masyarakat orang asli.wiwiwi.. Pemergian kali ini juga masih dibawah naungan kelab yang sama, yakni kelab COMRADE IIUM. Sejak pertama kali menyertai trip mereka di IPTA Pos Lebir yang lalu, saya rasa semakin dekat dan terpanggil untuk menyertai trip-trip sebegini. Sepertinya telah ada cinta yang telah mekar, telah ada rasa mula berbekas, dan mungkin telah ada jiwa yang terpaut, erat.hiks. IPTA stands for Islamic Preach and Practical Teaching to Orang Asli. Aims to provides orang asli with basic and necessary ilm about islam. Trip kali ini pula fokus pada apa itu bulan ramadhan, kelebihannya dan pengisian sepanjang  bulan ramadhan.

   Berbekalkan surah Al-'Asr, saya mengambil keputusan untuk ikut serta dalam trip kali ini. Ini bermakna cuti dua minggu yang saya ada sebelum mendaftar masuk ke semester pendek akan dihabiskan separuh di perkampungan orang asli. Pada awalnya terasa agak berat dan macam menyesal, sebab tak dapat lepak puasa lama-lama dirumah,huhu.. namun bila direnungkan semula, bila lagi saya akan ada masa,tenaga dan peluang untuk aktiviti-aktiviti sebegini. Sedari saya, senior yang telah graduate dan melangkah ke alam pekerjaan semuanya tersangat sibuk dengan kerja masing-masing. Apatah lagi bila telah berumah tangga kelak, ada tanggungan yang perlu dijaga, tak boleh nak tinggal macam itu sahaja.lap peluh. Makanya, tercampaklah saya selama seminggu di bumi Cameron Highlands yang dingin itu. Moga allah terima apa yang kami lakukan dan moga ini menjadi bukti bahawa kami menggunakan masa muda kami sebaiknya dan di atas jalan-Nya. Ameen.

 "Demi masa. sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan

mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati 

untuk kesabaran."

   Kembara kali ini benar-benar menduga emosi, fizikal dan ketahanan diri. tambahan pula berprogram di bulan ramadhan. Kampung yang kami santuni kali ini ialah kampung Abu, kampung Teji dan kampung Senangkar. Ketiga-tiga buah kampung ini terletak dalam satu gugusan yang hanya berjarak kira-kira 1 kilometer antara satu sama lain. Kampung Abu yang terletak di tengah-tengah gugusan ini, dijadikan base ataupun center kami. Khemah dipacak, kanvas dibentang. Perkakas barang dapur team katering selamat disusun disebelah kawasan surau Kampung Abu. Sisters akan menginap di dua buah rumah buluh yang telah berjaya disiapkan hasil titik peluh usaha alumni Comrade dan penduduk kampung. Kami brothers pula bakal bermalam di perpustakaan kampung yang pada saya sebenarnya jadi tempat letak beg pakaian sahaja. Hakikatnya majoriti daripada kami tidur berbungkuskan sleeping bag di bawah khemah. Tidur di kawasan lapang bersebelahan dengan perpustakaan lebih damai dan dingin.huhu. Perjalanan dari Kampung Abu ke Kampung Senangkar memerlukan kami meredah semak lalang meninggi dan juga sebatang anak sungai. Namun jalan dari Abu menghala ke Kampung Teji telah selamat bersimen dan diturap, maka tidak ada masalah untuk kami bergerak. Satu-satunya masalah yang lebih saya anggap cabaran adalah ketiadaan bekalan elektrik di ketiga-tiga kampung ini. Kebanyakkan rumah-rumah disini mempunyai generator ataupun enjin tersendiri untuk menjana kuasa elektrik. Uniknya, seminggu disini saya langsung tidak merasa hembusan angin daripada kipas. Semuanya daripada alam semulajadi,huhu.. Majoriti rumah disini langsung tidak mempunyai kipas! nasib baik kawasan sini sejuk, walau berpeluh jugalah disiang harinya.

ZIARAH UMUM

   Hari pertama kami disana, tiba sahaja terus diisi dengan membuat persediaan dari segi teknikal, logistik dan lain-lain bagi menghadapi 5 hari yang mendatang. Usai menyimpan dan menyusun segala yang patut, kami dengan kekuatan hampir 66 orang dipecahkan mengikut biro tertentu. kemudian kami berpecah untuk bergerak ke ketiga-tiga buah kampung bagi melakukan ziarah umum. Saya dan rakan-rakan dari team module menapak ke Kampung Senangkar bagi ziarah kali ini. Perjalananya memakan masa hampir 15 minit daripada Kampung Abu. Rumah pertama yang kami singgah adalah rumah amek Faridah. Peramah dan sangat ceria orangnya. Aber tiada di rumah, pergi mencari juadah berbuka di pasar katanya. Oh ye, disini kami menggunakan gelaran amek bagi kaum wanita dan Aber untuk kaum lelaki. Suku kaum disini juga kebanyakkannya adalah kaum orang asli Semai. Jika di Pos Lebir dahulu mereka dari suku kaum Batik. Hampir 15 minit berborak dengan amek Faridah, kami mengundur diri untuk berkunjung ke rumah lain. Sedang asyik kami berkunjung dan beramah mesra, terdengar laungan kalimah agung azan di tengah belantara. Rupa-rupanya kawasan Kampung Senangkar ini terletak berdekatan dengan penempatan pekerja-pekerja TM salini yang ada disitu. Projek TM Salini adalah empangan hidroelektrik dibawah kendalian Tenaga Nasional Berhad (TNB). Projek ini dikatakan mampu membekalkan hampir 382 megawatt kuasa elektrik apabila siap kelak. Kebanyakkan penduduk kampung di Teji,Abu dan Senangkar bekerja disana untuk menyara keluarga mereka. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka tidak tertinggal daripada arus modenasasi.

   Namun harga mahal yang perlu mereka bayar demi projek ini adalah pencemaran air sungai di kawasan sekitar perkampungan mereka. Saya sendiri tidak sangka dan agak terkejut bila melihat keadaan air sungai yang keruh dan tidak sesuai untuk digunakan untuk kegunaan harian itu. Namun syukur ke hadrat ilahi, bekalan air daripada bukit masih bersih dan percuma untuk diakses penduduk kampung. Air bukit disini sangat dingin dan menyegarkan bila bersentuhan dengan kulit. Ditambah pula di bulan ramadhan sebegini, fuh nikmat dia bila mandi..lega.

   Tajdid niat. Perkataan niat bermain-main di minda tika mata mula merayu minta berehat. Melihat kesungguhan rakan seperjuangan untuk berdakwah disini, saya rasa perlunya memperbaharui niat setiap kali sebelum tidur. Bahawasanya kedatangan kami disini bukan sekadar untuk beramah mesra atau mengisi masa lapang, tetapi menyambung jejak langkah dan legasi yang telah dibina oleh para dai yang telah awal masuk ke kampung disini. Bayangkan, jika baginda nabi dan para sahabat tidak berdakwah luar daripada tanah arab dahulu, sudah tentu kita takkan dapat mengecapi nikmat iman dan islam kini. Dan sekiranya tidak ada generasi dai terawal yang datang ke kampung Abu,Teji dan Senagkar dahulu, sudah tentu kami tidak ada disini. Menghirup udara ciptaan Tuhan dalam dakapan agama islam, merasai teriknya mentari dalam rahmat Tuhan, menikmatinya damainya suasana rimba dalam perlindungan Tuhan. Allahu, sesungguhnya kami hanya menyambung dan memenuhi lohong-lohong yang mungkin tidak terisi sahaja. Moga allah terima segala amal kita dan dilipatkan gandakan pahalanya di bulan puasa yang mulia ini.

   "Tidak akan bergerak kaki seorang manusia dari sisi Allah pada hari kiamat (nanti), sehingga 

dia ditanya tentang lima (perkara): tentang umurnya, untuk apa ia dihabiskan?, Tentang masa 

mudanya, untuk apa ia digunakan? Hartanya, dari mana diperoleh dan kemana dibelanjakan? 

Ilmunya, bagaimana dia amalkan ilmunya? " (HR Tirmidzi)

   Dada langit gelap dihiasi tompokan cahaya bintang. Dingin malam menjemput mata untuk lena dibuai damainya. Sepi. Sleeping bag ditarik membaluti tubuh, selamat malam makhluk tuhan. Moga esok kita bersua lagi.

Links
TAS I
TAS II
TAS III
TAS Epilogue

No comments:

Post a Comment