Showing posts with label contest purposes. Show all posts
Showing posts with label contest purposes. Show all posts

Sunday, September 17, 2017

Syukur


Syukur. Satu perkataan yang hanya mempunyai 5 abjad namun pengertiannya lebih daripada itu. Ia merupakan suatu bentuk penzahiran ke atas sesuatu nikmat, dan boleh juga diatas sesuatu musibah. Hairan bukan? Bagaimana sesebuah musibah juga boleh dijadikan sebab untuk kita bersyukur. Masyarakat biasa menzahirkan kesyukuran ke atas sesuatu yang menggembirakan mereka. Sebagai contoh seorang pelajar bersyukur dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, seorang pekerja bersyukur dengan kenaikkan gaji dan sepasang suami isteri bersyukur dengan kelahiran cahaya mata pertama mereka. Persoalannya, bagaimana perasaan syukur yang mendiami hati itu boleh dizahirkan atau diluahkan. Bagaimanakah cara sebaiknya untuk kita melahirkan perasaan syukur kepada ilahi diatas sesuatu yang kita perolehi. Jadi, dengan izin tuhan yang Maha Pemurah akan saya kongsikan bagaimana cara saya menzahirkan rasa kesyukuran ke atas Tuhan pemilik alam ini.
Pertamanya, amalan termudah sekali dalam menzahirkan kesyukuran yang selalu saya praktikkan ialah melalui lisan. Dengan melafazkan kalimah tahmid diatas segala kurniaannya ke atas saya. Contoh mudah, lidah akan kebiasaannya secara automatik akan menuturkan lafaz Alhamdulillah sebaik sahaja kita menerima sesuatu khabar berita gembira. Tika lafaz ini terucap hati terasa nyaman dan lapang mengenangkan kurniaan tuhan. Di dalam surah Ibrahim ayat ke-7, Allah berfirman “Jika kamu bersyukur dengan nikmat Ku, Nescaya akan Aku tambah lagi nikmat kepada mu”. Subhanallah, indah bukan? Pabila kita mensyukuri nikmat yang telah allah beri, Allah akan gandakan lagi nikmat tersebut dan tidak dikuranginya!

Kedua, penzahiran kesyukuran juga dilakukan dengan menahan diri daripada berbuat maksiat. Dengan segala nikmat tubuh badan, udara dan masa yang telah allah beri kepada kita, maka menahan diri daripada kemaksiatan juga merupakan salah satu wasilah melahirkan perasaan syukur kepada ilahi. Tambahan pula, sambungan kepada ayat ke-7 Surah Ibrahim Allah berfirman “Jika kamu ingkar dengan nikmat yang telah Aku berikan,sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. Ini merupakan satu amaran daripada Allah bahawasanya kita sebagai hamba-hambanya harus bersyukur dan mengelakkan daripada membuat maksiat dengan nikmat yang telah Dia berikan.

Kesimpulannya, cara melahirkan syukur bagi setiap insan mungkin berbeza namun semunya mempunyai matlamat yang sama. Maka terpulanglah kepada setiap individual bagaimana untuk memanifestasikan perasaan syukur tersebut. Pejam mata dan helakan nafas lembut sambil bibir menutur lembut,Alhamdulillah.

Sunday, April 10, 2016

Hari Pengguna Malaysia


Greetings everyone!

   I am creating a new blog as currently i am contesting for Pertandingan Blog Pengguna organised by Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). There, I would try my very best to share with you guys informations and knowledge regarding "Antibiotic Resistance". Thing is, one of the rules is the blog must use only one main language, which mean i can not la malaygish with you all, haha.. I'm just gonna put the link HERE! Bukak tau, please :')

   So, I humbly ask you guys to support me by ways of reading the entries, spreading it to others and also your feedback are much appreciated. Come on, help me meh? haha

   Till next time, stay updated by following my blog okay? thanks all :)

Tuesday, December 01, 2015

Kelemahan Universal Declaration On Human Right (UDHR)

  

   Haikal mengatur langkah perlahan sambil matanya memerhati keadaan sekitar yang dipenuhi dengan pelbagai gelagat manusia. Suasananya sibuk, tipikal bagi sebuah bandar raya besar seperti Kuala Lumpur. Di celah kesibukan manusia dan hiruk pikuk kenderaan menderu di atas jalan raya, beliau ternampak satu susuk tubuh duduk lemah. Wajahnya menunduk ke bumi sambil tangannya memegang sebuah tin minuman ringan yang telah dipotong bahagian penutupnya. Ketika ada manusia yang berjalan melepasi dirinya, digoncang tin itu. Bunyi duit syiling berlaga laju membelah dan menembusi gegendang telinga manusia yang berjalan di hadapannya. Sedih. Mungkin daripada 10 orang yang berlalu melepasi lelaki ini, hanya seorang yang menghulur derma tanda sifat kemanusiaan masih ada. Selebihnya? Masih berkira-kira dan mungkin sebenarnya mereka juga sedang mengikat perut demi menampung perbelanjaan semasa yang kian meningkat hari demi hari. Kita semua sama sahaja sebenarnya, mengemis dan mencongak nasib diri buat hari esok. Namun perbezaannya antara kita dengan mereka, hak asasi mereka sebagai manusia seakan-akan tiada, Mereka juga mempunyai hak untuk mendapat tempat tinggal, hak untuk bersuara dan hak untuk mendapat makanan buat kelangsungan hidup. Hak asasi yang dicanang-canang membela nasib manusia seakan-akan tidak merangkumi insan-insan gelandangan seperti mereka. Situasi ini terjadi bukan hanya di tanah air kita, namun di serata dunia. Malahan tidak mustahil jika saya katakan bahawa nasib yang menimpa mereka yang berada di luar negara kita jauh lebih buruk dan menyedihkan. Jadi apakah maksud hak asasi manusia sebenarnya? Siapakah yang berada di bawah payung hak asasi manusia ini? Mari kita bincangkan.

   Definisi bagi Hak Asasi Manusia (HAM) menurut seorang ahli filosofi barat iaitu John Locke, hak adalah hak yang diberikan langsung oleh Tuhan sebagai sesuatu yang alami. Ertinya, hak asasi manusia yang dimiliki manusia sifatnya tidak dapat dipisahkan dari hakikatnya, sehingga bersifat suci. Manakala menurut ilmuwan islam yakni Dr Wahbah al-Zuhaili, hak insan adalah himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya yang diperakukan secara alami walaupun belum diiktiraf atau dicerobohi oleh mana-mana pihak. Ia merangkumi has asasi seperti hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak mereka untuk merdeka, hak untuk mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat, hak menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak bekerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia mendapat asuhan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain. Beliau menegaskan, al-karamah al insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber hak asasi. Apabila wujudnya penghargaan terhadap karamah Insaniah itu bermakna adanya keinsanan manusia berkenaan yang membezakannya dengan haiwan. Setelah kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai definisi hak asasi manusia, mari kita masuk kepada skop perbincangan pada hari ini.


   Pada tanggal 10 Disember tahun 1948, secara rasminya deklarasi hak asasi manusia telah diisytiharkan bertempat di Pallace de Chaillot, Perancis. Deklarasi ini yang dipersetujui dan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertitik tolak daripada tragedi dan pengalaman hitam semasa Perang Dunia Kedua. Sewaktu pengisytiharannya, deklarasi ini telah mendapat 40 undian sokongan, 0 undian bantahan dan 8 negara memilih untuk berkecuali. Pada hari ini jika kita lihat telah ada beberapa pindaan dilakukan kepada teks asal deklarasi hak asasi manusia tersebut. Deklarasi ini mengandungi 30 perkara yang menggariskan hak asasi manusia berdasarkan pemerhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia boleh diguna pakai ke atas semua rakyat. Pasca pengisytiharannya, deklarasi hak asasi manusia 1948 atau lebih dikenali sebagai Universal Declaration of Human Right (UDHR) dipuji dan di sokong oleh ramai ahli akademik, mahkamah perlembagaan dan tidak lupa kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Dengan wujudnya deklarasi ini, hampir separuh masalah berkaitan hak asasi manusia di dunia dapat diselesaikan dan memberi harapan kepada kemanusiaan semula. Namun, sejak akhir-akhir ini hak asasi manusia telah jelas dicabuli dan dilanggar oleh pelbagai pihak. Contohnya sangat ketara dan jelas, rakyat Palestin setiap hari menderita ditindas oleh rejim zalim Zionis yang dahagakan tanah bagi penempatan kaum Yahudi. Begitu juga kaum minoriti Rohingya di Myanmar yang dinafikan hak kewarganegaraan mereka serta diusir keluar dari negara mereka sendiri. Malah lihat sahaja mangsa peperangan saudara di Syria yang dilayan lebih teruk daripada manusia. Kini, pelarian-pelarian perang ini menggadai nyawa merentas lautan untuk membuka lembaran baru di dalam hidup mereka di negara-negara Eropah dan Turki khususnya. Apakah deklarasi yang dipuji dan dibangga-banggakan ini gagal berfungsi dan hanya tulisan semata? Di manakah kelemahan deklarasi hak asasi manusia ini yang perlu kita sama-sama perbaiki?


   Kelemahan pertama Deklarasi hak asasi manusia yang ditunjangi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah pendirian mereka yang selalu tunduk pada kuasa-kuasa besar dunia. Seringkali sesebuah kata putus  berkenaan hak asasi manusia atau isu kemanusiaan telah dicapai, pasti ia akan dibatalkan dengan penglibatan kuasa daripada Majlis Keselamatan PBB. Siapakah peneraju Majlis Keselamatan PBB yang dilihat mempunyai kuasa pembatal ini? Majlis keselamatan PBB adalah majlis yang dianggotai oleh ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menariknya 5 ahli tetap majlis ini mempunyai kuasa veto, yakni kuasa pembatal. Majlis keselamatan ini terdiri daripada negara-negara besar dunia seperti Amerika syarikat, Russia, China, United Kingdom dan Perancis serta sebilangan kecil ahli tidak tetap. Contoh mudah  yang boleh saya berikan adalah ketika konflik di negara Syria semakin memuncak, Russia menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang kemasukan tentera pengaman daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sendiri. Tindakan ini menyebabkan bilangan rakyat negara Syria yang terjejas dengan peperangan saudara di tanah air mereka bertambah ramai. Langkah yang dipersetujui ahli-ahli PBB ini bertujuan menyelamatkan nyawa insan yang tidak bersalah di sana. Namun, oleh sebab hubungan rapat antara Presiden negara Syria, Bashar Al-Assad bersama rakan sejawatannya di Russia, yakni Vladimir Putin menghalang kemasukan pasukan pengaman dan perubatan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tragisnya, keputusan yang dibuat oleh majoriti suara negara-negara ahli di dalam PBB itu sendiri hanyalah sebuah cadangan yang akan ditentukan pelaksanaannya oleh Majlis Keselamatan PBB. Bukankah seharusnya kedua-dua majlis ini yang bernaung di bawah organisasi yang sama mengeluarkan keputusan bersama? Maka tidak salah jika saya nyatakan bahawa sistem di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sendiri bermasalah dan masih tidak jelas.



Kelemahan kedua dalam isu hak asasi yang diperjuangkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah banyaknya berkata tetapi kurang tindakan. Situasi ini boleh diibaratkan bagai mengetuk tin yang kosong. Bunyinya kuat, tetapi di dalamnya kosong, tiada isi. Tidak dapat saya nafikan bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang diajukan kepada mereka. Usaha mereka sangat dihargai dan dihormati oleh semua pihak, namun pihak PBB dilihat terlalu banyak mengeluarkan kenyataan dan mengadakan dialog perbincangan berbanding membuat tindakan. Hal ini menyebabkan himpunan krisis kemanusiaan masih tidak selesai sehingga berlanjutan buat puluhan tahun. Contoh mudah yang boleh kita lihat bersama ialah krisis pertikaian tanah air di antara rakyat Palestin dan Israel. Negara Israel, yang diasaskan dan dibangunkan di atas tanah berdaulat Palestin kini sedikit demi sedikit menakluk tanah-tanah milik rakyat Palestin dan memberikannya kepada pendatang-pendatang Yahudi yang datang dari seluruh dunia. Pelan pembahagian sempadan dan kedaulatan yang dirancang oleh PBB pada tahun 1948 jelas telah gagal. Kini kerakusan pihak Israel meluaskan sempadan mereka telah menyebabkan ratusan rakyat Palestin dinafikan hak asasi mereka. Hampir saban tahun serangan dan tindakan-tindakan provokasi daripada rejim Israel menyebabkan penduduk Palestin terkorban. Tanah air mereka perlahan-lahan hilang kedaulatannya dan digantikan dengan sebuah negara baru, yakni Israel. Meskipun pelbagai kecaman dan amaran telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pihak Israel masih berkeras dengan pendirian mereka. Di sini jelas bahawa hak asasi manusia dicabul namun dunia dan khususnya PBB gagal berbuat sesuatu untuk menghalangnya melainkan hanya dengan mengeluarkan kenyataan dan kecaman demi kecaman. Perkara ini menjadi bukti bahawa PBB lemah dalam menyelesaikan krisis dan masalah yang seharusnya mereka tangani.

   Bagi setiap kelemahan itu pasti ada jalan untuk memperbaikinya. Begitu juga dengan kelemahan aspek hak asasi manusia yang kita bincangkan ini. Kelemahan pertama yang kita bincangkan yakni PBB yang sering tunduk di atas arahan kuasa veto boleh kita selesaikan jika semua pihak bersetuju untuk bersama di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tanpa mempunyai kepentingan. Sistem sedia ada yang diguna pakai menunjukkan adanya tapisan di dalam sesuatu keputusan. Setelah persidangan negara-negara ahli, suara majoriti akan diperoleh tentang sesuatu isu. Namun jika keputusan bersama ini bertentangan dengan kehendak negara berkuasa veto yang mempunyai kepentingan tertentu keputusan itu akan dibatalkan. Hal ini menyebabkan banyak perkara khususnya isu hak asasi manusia yang dibincangkan tergendala dan tidak mencapai matlamatnya. Maka untuk memberi keadilan kepada semua pihak, kelima-lima buah negara yang mempunyai kuasa veto ini harus duduk semeja dan sebaris bersama negara-negara ahli yang lain. Namun yang memberi perbezaan kepada mereka ialah undi mereka dianggap sebagai undi popular. Sekurang-kurangnya daripada 5 negara tersebut, 3 undian daripada mereka diperlukan bagi membatalkan sesuatu keputusan. Dengan cara ini, keseimbangan kuasa dapat dikekalkan dan mengelakkan kuasa tunggal yang sering mengganggu keputusan suara majoriti. Ironinya, ahli-ahli tetap ketika penubuhan Majlis Keselamatan PBB dipilih daripada negara yang memenangi perang dunia kedua kecuali Persekutuan Russia dan Republik Rakyat China. Kini zaman telah berubah dan kebangkitan kuasa-kuasa baru dunia boleh mengimbangi pakatan ini. India, Turki, Jepun malah Brazil kini semakin meningkat naik dan berpotensi menjadi negara berkuasa besar dunia kelak. Maka, jika sistem ini dapat diperbaiki dan ditambah baik, pasti hasilnya akan lebih memberangsangkan dan memberi manfaat kepada seluruh dunia. Isu berkaitan hak asasi manusia juga pasti dapat ditangani dengan lebih efisyen dan komprehensif. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Seharusnya kita memperbaiki diri kita dahulu sebelum memperbetulkan orang lain. Saya percaya jika sistem ini dapat kita tambah baik, isu hak asasi manusia akan lebih terjamin dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.

   Langkah kedua yang perlu kita ambil agar hak asasi manusia bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia dipandang serius adalah dengan mendesak pihak yang berkaitan agar lebih proaktif. Di sini kita berbincang mengenai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang terlalu banyak mengeluarkan kenyataan dan kecaman berbanding bertindak menangani masalah itu sendiri. Mengikut pepatah Inggeris, “actions speak louder than word “. Kita harus berpegang pada pepatah ini dan begitu juga seharusnya dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Jika sebelum ini pihak PBB memberi alasan bahawa mereka dihalang daripada menyalurkan sesuatu bantuan kerana di ancam oleh pihak atau negara tertentu. Namun seharusnya dengan seluruh dunia di belakang mereka, melihatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sebagai badan yang menyatukan negara- negara ahli dari seluruh dunia. Maka sepatutnya tidak ada masalah bagi mereka mengambil tindakan. Tindakan yang diambil juga semuanya bermatlamatkan menjaga hak asasi manusia, maka sudah tidak ada isu mengganggu kedaulatan sesebuah negara. Misalnya ialah kemasukan pasukan perubatan dan bantuan makanan ketika krisis kemanusiaan berlaku di Afrika tengah pada tahun 2014 yang lalu. Kepantasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan agensi kemanusiaan yang lain mengutip dana dan menyalurkannya kepada mangsa di Afrika Tengah wajar dipuji. Inilah contoh langkah proaktif yang kita mahu dijalankan oleh setiap pihak apabila berbincang mengenai isu hak asasi manusia. Melihat kepada situasi di Malaysia, selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), pelbagai badan bukan kerajaan seperti The Nasi Lemak Project (TNLP), Teach For The Need (TFTN) bergiat aktif memberi sumbangan kepada mereka yang berkenaan. Antara bentuk sumbangannya ialah dari segi pendidikan dan makanan bagi gelandangan yang ada. Namun kita masih belum mampu menyediakan tempat tinggal buat mereka yang kurang berkemampuan ini.

   Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Peribahasa ini membawa maksud bahawa masyarakat atau sesuatu kumpulan perlu bekerjasama dan berkongsi susah serta senang bersama di dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Berpegang kepada peribahasa ini, kita sebagai penghuni dan pemimpin di atas muka bumi harus bersatu dalam menangani isu- isu hak kemanusiaan tidak mengira bangsa, bahasa, budaya, agama malah kewarganegaraan. Pada pandangan saya, hak asasi manusia tidak mempunyai sempadan fizikal, hak asasi manusia meliputi setiap tanah dan lautan yang dipijak oleh seorang manusia. Hubungan istimewa yang kita kongsi bersama sebagai satu makhluk yang bergelar manusia harus dijaga dengan sebaiknya. Hak asasi manusia harus dikongsi oleh semua manusia dan diberikan tanpa ada diskriminasi. Sahabat kita di Amerika Syarikat sudah merasai pedihnya hidup ketika zaman apartheid kulit putih dan hitam kira-kira 250 tahun yang lalu. Masyarakat Asia khususnya kerajaan-kerajaan Nusantara juga telah merasai bertapa angkuhnya bangsa Eropah menjajah dan memerintah kerajaan-kerajaan Nusantara seperti Kerajaan Islam di Riau dan Kesultanan Melayu Melaka  pada 500 tahun yang lalu. Dunia juga melihat bagaimana rakyat Palestin dan Israel berbalah sesama mereka bermula 60 tahun yang lalu sehingga kini. Sampai bila harus kita bertelagah dan bertikam lidah sesama kita?. Implikasi konflik dan peperangan ini kebiasaannya membawa kecederaan dan kematian kepada manusia itu sendiri. Oleh sebab perkara seperti inilah kita bercakap mengenai hak asasi manusia. Marilah kita bina persefahaman sesama kita dan bersepakat demi masa depan yang lebih cerah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana sepakat. Perjalanan kita dalam membela dan mempertahankan hak asasi manusia sudah pasti panjang dan berliku-liku, tetapi kita tidak patut menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mencuba. Marilah kita beri peluang buat kemanusiaan untuk kembali mekar semula, demi kehidupan yang lebih harmoni dan demi generasi akan datang yang akan mewarisi bumi yang kita diami ini.
2135 patah perkataan.
Sumber-sumber rujukan:
1.    Hak Asasi manusia dalam perspektif hukum islam, Yefrizawati, Program Studi Hukum keperdataan, Fakultas Hukum, Universitas Sumatera Utara
2.    Hak asasi manusia dari perspektif islam, https://temanteras.wordpress.com/shura/hak-asasi-manusia-dari-perspektif-islam/

3.    100 Pengertian hak asasi manusia menurut para ahli, http://www.dosenpendidikan.com/100-pengertian-hak-asasi-manusia-menurut-para-ahli/

[ Esei ini telah dihantar bagi menyertai Pertandingan Menulis Esei Pendek Sempena Hari Hak Asasi Manusia anjuran CENTHRA, yakni dibawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Moga-moga dengan penulisan ini mampu membuka mata masyarakat dan lebih-lebih lagi belia tentang apa itu hak asasi manusia dan pengaruhnya dalam hidup kita] 
senyum

Tuesday, November 24, 2015

Sukarelawan Melahirkan Pemimpin Mapan

  

   Sukarelawan didefinisikan menurut kamus dewan edisi ke-4 ialah orang lelaki yang melakukan sesuatu dengan sukarela: ~ yang ingin memberikan khidmat mereka kepada golongan ini tidak diperlukan kelayakan tertentu; kesukarelawanan segala hal (sifat, kegiatan dan sebagainya) yang berkaitan dengan sukarelawan. Melihat kepada definisi ini, di dalam konteks mahasiswa di universiti, peluang-peluang untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan sangat banyak terhidang. Malah tidak salah jika saya masukkan sekali aktiviti berpersatuan di dalam konteks kesukarelawanan. Kerana apa? Kerana majoriti kelab dan persatuan di bawah naungan universiti tidak berasaskan pada keuntungan. Tetapi kewujudan kelab-kelab ini lebih untuk memupuk dan mengasah bakat mahasiswa di dalam pengurusan diri dan soft skils. Jadi, bagaimana dengan menyertai aktiviti kesukarelawanan boleh menjadikan kita pemimpin yang lebih baik? Mari kita bincangkan.
   Pertama, antara aspek utama sebagai sukarelawan adalah kesediaan untuk berkorban. berkorban di sini boleh dipandang dari segi masa, tenaga, emosi malah harta kita. Sebagai contoh, apabila kita menawarkan diri untuk menjadi seorang sukarelawan, secara tidak langsung kita harus menetapkan fikiran kita untuk memberi yang terbaik. Malahan, kerja-kerja yang akan kita lakukan langsung tidak akan memberi keuntungan dari segi wang ringgit. Tetapi apa yang mendorong para sukarelawan untuk mencuba dan menghabiskan kerja mereka dengan sehabis baik?. Ia adalah perasaan puas apabila melihat orang lain bahagia. Kebahagian dan kegembiraan pada wajah insan yang menerima hasil titik peluh kita itu yang membuatkan segala penat dan lelah pada seorang sukarelawan hilang begitu sahaja. Sifat beginilah yang kita inginkan ada pada seorang pemimpin. Apabila seorang pemimpin sedar akan kesengsaraan atau kesusahan yang di alami oleh rakyat di bawah jagaannya, pasti beliau akan mencuba sehabis baik untuk membantu mereka. Walaupun mungkin insentif yang diterima sangat sedikit atau mungkin tiada. Tetapi sifat inilah yang akan melahirkan pemimpin yang lebih baik daripada yang sedia ada. Contoh yang paling mudah, lihat sahaja pada kesediaan dan keikhlasan YM Sultan Muhammad, Sultan Negeri Kelantan ketika negeri Kelantan dilanda banjir besar pada tahun 2014 yang lalu. Sifat sukarelawan dan ringan tulang baginda turun membantu rakyat memikat hati marhaen untuk menyayangi baginda.

   Kedua, pemimpin yang baik juga mampu dihasilkan melalui latihan pengurusan masa dan prioriti kerja yang dilalui para sukarelawan. Sebagai seorang sukarelawan, saya pernah turun sendiri ke bumi Kelantan selama seminggu bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir besar tahun 2014.Ketika itu, cuti semester baru sahaja bermula dan sudah pasti mahasiswa tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke pangkuan ibu bapa di rumah masing-masing. Namun apa yang menyentuh hati saya adalah apabila hampir 250 mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) sanggup mengorbankan seminggu daripada 3 minggu cuti mereka untuk datang ke bumi Kelantan. Mereka datang bukan untuk melancong atau menikmati hidangan masakan negeri che siti wan kembang, tetapi mereka hadir untuk bermandi selut dan tanah, untuk mengerah tulang empat kerat tanpa balasan dan bayaran. Inilah salah satu contoh bagaimana seorang mahasiswa yang kelak bakal menjadi pemimpin negara tahu membezakan prioriti dan mengurus masa mereka. Benar, jika dikatakan keluarga antara faktor penting dalam kehidupan seseorang, tetapi ummah ini lebih memerlukan kita. Saudara senegara yang ditimpa musibah dan kesusahan perlu kita utamakan. Saya juga merasa bangga dan terharu kerana ada sebilangan besar pelajar antarabangsa yang menuntut di UIAM turut sama turun membantu di negeri Kelantan. Kerana pada mereka, kebajikan sosial lebih utama dari kebajikan individual. Jelaslah bahawa dengan latihan dalam mengurus masa dan memilih prioriti yang dilalui oleh sukarelawan akan menghasilkan pemimpin yang lebih baik dan berkualiti.

  Sebagai seorang pemimpin, antara ciri-ciri yang amat disukai oleh rakyat dalam memandang pemimpin mereka adalah sikap bagaimana pemimpin itu menunjukkan perasaan mereka kepada rakyat. Yakni bagaimana pemimpin yang selalunya duduk di banglo besar dan kereta mewah mampu meletakkan diri mereka dalam kasut rakyat. Meletakkan diri mereka di dalam kasut rakyat di sini bermaksud seorang pemimpin yang dapat merasai apa yang dirasakan oleh rakyatnya. Sebagai contoh, mustahil untuk seorang pemimpin yang tidak pernah turun melihat gelandagan dan mendengar kisah hidup mereka menasihati dan memaksa gelandangan ini untuk mencari kerja dan tidak hidup merempat di bangunan-bangunan di kota Kuala Lumpur. Tetapi, aktivis sukarelawan merasai sendiri pengalaman di tempat pertama, makna kata di dalam kasut si penderita. Alhamdulillah, kini lebih ramai individu yang menganjurkan program-program menyantuni para gelandangan dan golongan miskin di kota Kuala Lumpur misalnya. Melalui program ini, mereka berpeluang mendengar kisah dan perjalanan hidup gelandangan malah mengambil nasihat dan pengajaran dari situasi tersebut. Saidina Ali r.a salah seorang sahabat pada zaman Nabi Muhammad s.a.w menyatakan,
“pandanglah pada apa yang dikata,dan bukan pada yang berkata”.
Kata-kata beliau ini memberi kalayakan bahawa kita harus menerima apa sahaja nasihat dan ajaran daripada sesiapa tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, berjaya atau seorang penagih dadah mungkin. Kerana setiap dari mereka ada kisah hidup tersendiri dan berbeza. Mungkin sesetengah dari mereka tidak bernasib baik kerana menempuh dugaan hidup yang amat tinggi, tapi dari sinilah kita belajar untuk saling melengkapi dan memahami. Hasilnya, pemimpin yang telah merasai dan mendengar cerita-cerita ini akan berusaha lebih lagi untuk membantu mereka yang memerlukan. Bukankah ini satu perkara yang positif?.
   Kesimpulannya, aktiviti sukarelawan mampu menghasilkan pemimpin yang mampan dan berkualiti. Kita tidak ingin pemimpin yang bekerja kerana ingin menambah figur kosong di dalam penyata gaji mereka, mahupun yang mengidamkan sanjungan. Tetapi sebagai seorang rakyat biasa kita inginkan tanah air kita ini diterajui oleh pemimpin yang cinta akan negaranya, yang cinta akan rakyatnya dan yang sedar menjadi pemimpin bukan satu kesenangan tetapi satu beban amanah yang sangat besar. Saidina Abu bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w telah berkata,
“wahai manusia sesungguhnya aku telah dilantik untuk menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.”

Lihatlah bagaimana satu susuk tubuh yang hebat ini mempamerkan dirinya pada orang bawahannya. Beliau menyatakan kesediaannya untuk dibetulkan jika salah dan menyeru mereka menyokongnya jika tindakannya benar. Inilah apa yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti sukarelawan. Seperti yang tercatat dalam sejarah, Sayidina Abu Bakar terkenal dengan sikap pemurah dan kesediaannya membantu insan lain. Moga lebih ramai pemimpin yang hebat akan dilahirkan hasil dari aktiviti sukarelawan, dan moga dunia yang kita diami ini akan lebih bahagia.

[Esei ini telah dihantar bagi pertandingan Maybank Foundation Perdana Leadership Essay competition. Pertandingan ini diadakan dua tahun sekali dan merupakan sebahagian daripada inisiatif public outreach foundations terbabit, terutamanya untuk mendekati generasi muda. Doakan saya menang! keputusan hujung November ini, heee]