Showing posts with label Caring Iium. Show all posts
Showing posts with label Caring Iium. Show all posts

Saturday, February 17, 2018

Sayonara uiam


Assalamualaikum wbt.

Memasuki hari ini, sudah hampir seminggu saya selamat meninggalkan bumi UIAM. Tapi masih lagi terasa seakan-akan mimpi sahaja. Perjalanan 4 tahun pengajian sarjana muda ditambah satu tahun setengah peringkat asasi kini telah tamat. Kesemuanya kini telah menjadi masa lalu, yang tidak mungkin berulang kembali. Secara rasminya, kami pelajar-pelajar tahun akhir kuliyyah kejuruteraan uiam tamat pengajian pada tanggal 25 Januari 2018, yakni setelah kami menghantar laporan akhir bagi projek tahun akhir mahasiswa kejuruteraan. Namun saya meneruskan khidmat di dalam ahli jawatankuasa Taaruf Week sejurus menghantar laporan projek. Dengan itu hayat berbakti sebagai mahasiswa saya diteruskan sehingga ke 5 haribulan Februari 2018.

Detik-detik akhir di universiti ini diwarnai dengan pelbagai rasa. Ada perasaan gembira di dada tatkala mengenangkan segala penat lelah menuntut ilmu kini akan berakhir. Ada rasa yang tidak terungkap dengan kata-kata melihat senyuman dan gelak tawa abah emak ketika mendengar perkhabaran anak yang bakal tamat pembelajaran kelak. Dan ada juga perasaan sedih kerana akan meninggalkan tempat yang mengajar seribu satu pengalaman dan didikan. Kerna akan berjauhan dengan rakan taulan, kerna akan berubahlah rutin harian, dan akan berpisah akhirnya dengan sesuatu yang telah menjadi sebahagian daripada diri ini.

Bermula dengan aktiviti-aktiviti akhir bersama rakan-rakan sepengajian, makan malam bersama gang Communication dan CIE, meneroka laluan denai di belakang UIA yang selama ini hanya dengan bebudak STUFF tetapi kali ini dengan gang CIECOMMU, dan juga sembang-sembang kosong bergelak gelak tawa hingga saat mengikat janji tidak akan terputus hubungan kelak. Semuanya memberi jiwa dan rasa yang tersendiri.

Benarlah kata orang, zaman remaja dan lebih khusus lagi zaman di pengajian di universiti akan menentukan sejauh mana kita akan berkembang di dalam kehidupan kelak. Mempunyai jaringan persahabatan yang luas akan memberi banyak manfaat pada kita dari segi mencari pekerjaan, atau sekadar ziarah-ziarah di hari raya nanti. Tidak akan terlayan semuanya, namun pasti ada segelintir yang benar-benar terikat hati kita, untuk saling berhubung dan bersahabat hingga ke hari tua.

Dengan ini, bermula lah fasa perubahan hidup daripada fasa pelajar kepada fasa dewasa bekerjaya. Meremang juga bulu roma bila terfikirkan keadaan diri yang masih mentah di dunia luar ini. Tetapi apalah gunanya segala yang telah dipelajari di universiti jika tidak digunakan di dunia baharu ini. Semoga diri kita akan kekal istiqamah dengan ilmu yang telah ada di dada, dan menyumbang semula kepada masyarakat ini mengikut kemampuan kita.

Terima kasih diucapkan kepada pensyarah-pensyarah di Kuliyyah Kejuruteraan IIUM Gombak, diatas segala tunjuk ajar dan markah peperiksaan sepanjang 4 tahun menadah ilmu kejuruteraan. Seterusnya, Madam Khairani, Mdm Aniza, Bro Najaa dan Bro Amir yang bertugas di Guidance and Counseling unit (GCU) CFS IIUM Petaling Jaya. Di kelab PEERS lah saya menemui identiti diri, membina keyakinan diri dan membuka diri untuk dunia luar. Para sahabat keluarga PEERS yang masih lagi berhubungan sehingga kini, meski kini jauh namun masih terbayang di mata diri ini kemeriahan dan keseronokkan bersama kalian. Melangkah ke pengajian sarjana di IIUM Gombak, kemeriahan dan jiwa kekeluargaan ketika bersama PEERS dikongsi dan diluaskan jajahan bersama keluarga tersayang kelab STUFF IIUM. STUFF IIUM meneruskan lagi perkembangan diri saya daripada pelbagai sudut dan ruang. Bermula daripada seorang yang kurang keyakinan diri, pendiam dan hambar sehingga kini saya lebih berkeyakinan, berani meluahkan pendapat, kelakar dan masih hambar(kata mereka). Tidak lupa juga sahabat-sahabat ketika bersama kelab CARING meskipun jodoh kita terhenti selepas setahun, namun tidak pernah putus diluar meski saya bukan lagi ahli rasmi. Sesungguhnya pengalaman berbakti di rumah Anbu Ilam dan Jaring Outreach ke Kelantan pasti akan saya kenangkan sehingga tua nanti. Tidak ketinggalan kelab COMRADE kerana mengajar erti hidup pada memberi, di dalam ekspedisi-ekspedisi amal ke Kg Lebir, Kg Teji, Abu, Senangkar dan Kg Susu. Kesemua ekspedisi ini mengajar saya erti dan nikamt islam itu sendiri. Juga menenangkan jiwa setelah terlalu sesak disumbat teknologi dan peradaban moden hingga terlupa keindahan kehidupan sederhana yang dijalani aber, amek, nak dan jajak di perkampungan orang asli. Bersama kalian juga saya menyedari potensi diri untuk berdakwah, dan hidup meski dalam keadaan tiada teknologi dan kemudahan harian. Program paling berbekas di jiwa? semestinya ketika IPTA Lebir 2016 dan juga Distex Kg Susu. Selain daripada kelab dan persatuan, terima kasih juga kepada batch CIE COMMU, sahabat sekelas daripada tahun pertama hingga ke tahun akhir. Walaupun bonding sesama kita tidak begitu kuat seperti majoring lain, namun kita berjaya cantikkan pengakhirannya. Mungkin juga kerana bilangan kita yang terlalu ramai, sebab tu macam susah nak kumpulkan semua orang, gelak.

Fuh rasa macam beremosi betul entry kali ini,haha..Siapa tak akan emosi kena berpisah dengan entiti yang telah lama membekas di hati dan jasad, kan? . Selama empat tahun saya mendiami bumi Gombak, mulanya menaiki basikal ke kelas, kemudian lebih suka berjalan kaki. Oh ye kegemaran saya berjalan kaki ke kuliyyah pada awal pagi jam 8 pagi. Waktu ini sangat nyaman kerna udara masih bersih dan dingin. Bunyi-bunyi kenderaan juga masih jarang kecuali jam 8.10 minit pabila semakin banyak motorsikal dan kereta berkejar mencari kawasan parkir. Tempat kegemaran saya? melintasi bangunan kuliyyah ekonomi dan juga kawasan parkir kereta kuliyyah ilmu wahyu. Setiap pagi jam 8 pasti mak cik Daya Bersih sudah ada disitu menyapu dan melonggokkan daun-daun kering. Terasa satu kepuasan bagi saya melihat jalan tar yang hitam dan bersih kemas selepas daun-daun yang berselerakkan disapu mak cik Daya Bersih. Kadang-kadang saya hadiahkan senyuman jika mak cik berpaling pada saya, menandakan ucapan terima kasih saya dan menghormati pekerjaan mulia mereka. Mak cik mesti akan senyum semula, ye benar senyuman kita sahaja mampu menceriakan permulaan hari sesama manusia. Memasuki tahun keempat, saya masih berjalan kaki cuma bila balik dari kuliyyah ke mahallah kebiasaannya menaiki mereka kawan sekelas. Lagipun semasa semester akhir kelas saya hanya sekali atau dua kali sahaja sehari. Maka masa saya lebih banyak diluangkan diluar kelas dan mahallah, yakni di kafe HS, Edu dan juga kadang-kadang di Photonic lab, ruang kerja FYP saya.

Jika hendak saya luahkan segala rasa di dada ini, past semakin berjela-jela lagi tulisan ini. Cukuplah rasanya saya pendam dan hayati seorang, memori-memori pahit manis ketika di zaman universiti. Kepada kalian yang masih di dalam pengajian, nikmati dan penuhilah masa kalian dengan aktiviti-aktiviti dan perbuatan yang mampu kalian kenangkan dan menungkan kelak. Kerana kesemua saat-saat ini tidak akan berulang kembali, perasaan apabila sudah tidak di dalam universiti lain benar, begitu juga jika menyambung master, suasana dan keadaannya tidak akan sama seperti degree. Saya juga ingin megambil kesempatan ini memohon ampun maaf diatas segala salah silap saya sepanjang 5 tahun setengah bersama-sama dengan anda semua warga universiti islam antarabangsa malaysia. Segala tingkah laku, tutur kata atau apa sahaja yang pernah menyakitkan, ampun dan maaf saya pinta dari kalian.. Jika ada hutang yang belum dilangsaikan, hubungi lah saya okayh? hihi..

Semoga kita berjumpa lagi di masa akan datang, sayonara~

PEERS induction day

Mainboard STUFF 2015/2016
new year 2018 celebration mb 17 dan mb 18

Mainboard STUFF 2017/2018
sambutan hari raya aidilfitri 2017 stuff iium

walimah ex-pres Stuff, Balqini dan Hikmah

Intership di Theta Technologies sdn bhd

meraikan konvokasi kak Tengku Ain

support stuffians yang menjadi komiti stanex 2017

stuffians di Stanex 2017

GB study group ciecommu 




Friday, October 28, 2016

LAST PROGRAMME

"Kita akan lebih menghargai masa, bila kita sedar kita tidak punya masa"

   Begitulah yang saya rasa semasa first half semester 1,2016/2107 ini. Empat minggu berturut-turut berprogram yang menuntut komitmen penuh serta pengurusan masa yang efektif. Tipulah kalau kata saya dapat memEnuhi sEmua hak mereka dengan sepenuhnya. Tetapi saya cuba, sebaiknya. Jadi buat menghargai dan menunjukkan rasa terima kasih saya diatas kesudian mereka menerima khidmat dan tenaga diri yang tidak seberapa ini, akan digabungkan ke semua event ini di dalam satu appreciation entry. Dan.. Ini adalah entry yang ke SERATUS, 100, One hundred ! masyaallah, subhanallah tak sangka dah cecah 3 angka entry dalam blog ni,hahaha, senyum terharu berair mata.

ENGITEX16


   Engitex merupakan program pertama anjuran kulliyyah yang saya sertai. Secara jujurnya sejak dari tahun pertama hingga lah sekarang dah nak masuk final year saya tak pernah pun join program dibawah kendalian kulliyyah.haha..Jadi, demi nak memenuhkan wishlist serta nak bagi resume cantik, saya pun join lah program kali ini. Alhamdulillah itupun sebab diajak oleh classmate sendiri, Sarahmimah sebagai komiti untuk sub-program GENERIC yang sedang kekurangan komiti baca committee lelaki. Makanya dengan rela terima la tawaran dia dan dimasukkan di dalam biro Program Coordinator. First program join dah kena jadi program coordinator,fuh..redah sahaja.gelak

   GENERIC ini akronim untuk GENERATION ENGINEER and ECO RACE CHALLENGE. Ia adalah program khas buat murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Generation Engineer ataupun akronimya GENE merupakan program untuk murid-murid sekolah menengah. Dengan bertemakan hydraulic arm, para peserta diminta mereka dan menghasilkan sebuah prototaip yang menggunakan prinsip pascal untuk merealisasikan hydraulic arm mereka. Contoh prototaip telah dihantar ke sekolah yang bertanding dan mereka dikehendaki membina prototaip tersebut sebelum hari pertandingan. Sewaktu hari pertandingan, prototaip mereka diuji dari segi kemampuan dan kecekapan pengendalian prototaip tersebut. Alhamdulillah juga pertandingan ini disertai hampir sepuluh buah sekolah dengan penyertaan paling jauh diterima dari MRSM Kubang pasu,Kedah.

   Eco Race Challenge, ERIC pula merupakan program inovasi dan rekacipta khas buat murid-murid sekolah rendah. Para peserta diminta untuk membina sebuah kereta lumba daripada bahan-bahan terpakai yang disediakan. Mereka juga mesti memenuhi syarat utama pertandingan, yakni kenderaan mereka dikuasakan dengan kuasa getah. Pelik pula bunyinya dalam bahasa melayu,haha. Rubberband powered car, ha gituh.. Sebelum mereka bertanding juga, kami telah mengadakan sesi module dimana kami membuat demonstrasi sains dan reka cipta menggunakan arduino dan sebagainya bagi menarik minat mereka di dalam bidang kejuruteraan. Seronok betul adik-adik ni, tak lupa juga
komiti! senyum

sarah and jida
   Diberikan amanah sebagai Head Programme Coordinator, banyak yang saya belajar daripada program ini, terutamanya pengurusan serta gerak kerja di dalam program dibawah seliaan kulliyyah. Selama ini semua program yang saya sertai adalah dibawah kelolaan kelab dan persatuan, ia berbeza sedikitlah. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga buat dua orang tulang belakang dan orang kuat yang sentiasa bersama saya dalam mengendalikan program ini. Dua insan tersebut ialah Sarah dan Azida.. Mereka berdua ni memang sangat komited dan sungguh bersemangat dalam Generic, dan saya? nasi tambah sahaja..haha gurau je. Terima kasih juga anip dan tirah kerana beri peluang untuk saya menyertai program kali ini. Kepada semua mainboard lain dan head,assistant head biro-biro lain serta semua komiti GENERIC, Tahniah dan korang memang terbaikkkk~ Moga ukhuwah yang terbina juga berkekalan.. Ialah ini kali pertama saya dapat bekerjasama dan kenal lebih rapat dengan rakan-rakan sekuliyyah. Sebelum ini setakat berjumpa di kelas sahaja.senyum. Terima kasih sekali lagi.

GB mainboard GENERIC


STUFFFEST 3.0


committees
   Seminggu sahaja setelah tamatnya GENERIC, bermulalah antara program terbesar anjuran kelab STUFFIIUM, yakni STUFF Festival edisi ke-tiga. Tahun ini merupakan tahun ketiga penganjurannya dan juga tahun ketiga saya menjadi komiti. Idea penganjuran STUFFFEST muncul ketika saya di tahun pertama di Uia Gombak ketika itu. STUFFFEST merupakan hasil idea Acad dan Kak farah, masing-masing vice president dan secretary general stuff buat tenure ke 14 dalam usaha mencari dana buat program-program kelab. Secara jujurnya, dana daripada UIA memang tidak akan cukup, ditambah pula dengan lambakan program STUFF..Maka inilah salah satu usaha nak menaikkan dana kelab. Edisi yang pertama, kami mengadakan STUFFFEST di HS Square, bangunan kulliyyah of Human Science and Islamic Reveal Knowledge. Walaupun tika itu idea ini menerima kecaman dan tentangan hebat namun ia diluluskan oleh presiden kelab yakni saudara Rahman.

sterk, luqman, adib dan sadiq
Kemudiannya edisi kedua penganjurannya diadakan di foyer 1 cultural and art(CAC)  hall. Ketika ini perlahan-lahan nama STUFFFEST telah mula bermain di bibir masyarakat uiam ditambah pula dengan penampilan Tasha Manshahar dan Radin ERA di dalam salah satu slot bual bicara yang kami anjurkan. Dan tahun ini, edisi ketiga ia tampil lebih besar dan hebat dengan penganjurannya bertempat di Convest hill. Buat pengetahuan semua, bukan calang-calang program boleh diadakan di convest hill. Bukan kerana ia tapak yang mahal ataupun berprestige!, tetapi kerana lokasinya yang terlalu jauh daripada kawasan laluan dan tumpuan pelajar. Makanya risiko penganjuran program disini amat tinggi terutamanya dari segi untuk menarik masyarakat uia kesini. Alhamdulillah team stufffest kali ini yang diketuai Halim labong dan Tasya menyahut cabaran ini dan membuktikan yang kami sebuah kelab juga mampu menganjurkan event dengan kapasiti sebegini besar.allahu..

 Di dalam edisi ketiga ini juga tetamu-tetamu jemputannya boleh tahan besar dan gah nama mereka. Antara mereka yang hadir adalah Heliza Helmi dan Sterk Production. Menariknya lagi, ada slot bersama dengan kelab-kelab seni terkemuka di uiam seperti Juragan Pentas yang popular dengan teater-teater anjuran mereka serta pasukan IIUM Nafas Tari dan Nasyid daripada CITRA IIUM. Sesungguhnya kehadiran-kehadiran mereka ini memeriahkan suasana di kawasan festival dan berjaya menarik minat pengunjung. Dan, sudah semestinya ada gerai makanan paling popular dan dikunjungi ramai, yakni pau cendawan viral Putrajaya! mashallah sedap sangat pau cendawan dia,huhuhu

Alhamdulillah diatas kejayaan penganjuran stufffest 3.0. Berada sejak edisi sulung hinggalah kali ketiga ini, saya menyaksikan sendiri evolusi dan pembesaran serta penambahbaikkan yang program ini lalui. Jika diambil analoginya sebagai seorang manusia, bermula dari ia mula dilahirkan dan belajar meniarap, kini ia telah melepasi fasa merangkak dan telah pun bertatih. Saya belum mahu mengatakan ia telah mampu berjalan apatah lagi berlari. Stufffest masih lagi bertatih dan banyak lagi yang perlu ia perbaiki sebelum layak ia berjalan seterusnya berlari. Terkadang terasa sendu juga bila fikirkan ia, sebab ia membesar seiiring dengan saya. Dan tahun hadapan merupakan tahun akhir saya, dan inshallah tahun keempat penganjurannya. Mungkin inilah kali terakhir penyertaan saya kerana tahu depan dah sibuk dengan final year project (fyp). Semoga komiti bagi stufffest di tahun-tahun mendatang akan menambah baik dan menganjurkan stufffest dengan lebih hebat lagi. senyum



OAW16

OAW merupakan akronim kepada Orphanage Awareness Week, anjuran  Caring Club IIUM. kelab Caring merupakan salah satu kelab yang saya sertai sebagai ahli pasif. senyum kelat. Pada hemat saya, saya adalah seorang yang layak digelar one club man. Jika saya dah menyertai sesebuah kelab, itulah satu-satunya kelab yang akan saya beri perhatian dan komitmen sepenuhnya. Namun ketika di semester 4 tahun kedua disini, saya membuat keputusan untuk menyertai sebuah lagi kelab atas sebab tertentu. Demi memperluas jaringan persahabatan dan menimba pengalaman daripada kelab yang berbeza nature dengan stuff, saya menyertai kelab Caring. Aktiviti-aktiviti kelab Caring adalah berfokus kepada rumah anak yatim disekitar kawasan Gombak dan Selayang. Dan saya telah dimasukkan ke dalam komiti rumah anbu illam. Anbu Illam di dalam bahasa tamil apabila diterjemahkan ke bahasa melayu bermaksud rumah penuh kecintaan. Dalam bahasa mudahnya House of love. Kebiasaannya kami akan ke rumah ini sekali sebulan bagi sesi mentoring bersama adik-adik. Kesemua sekali hampir ada lima buah rumah dibawah jagaan kelab Caring di sekitar lembah klang ini.

 OAW dianjurkan dengan objektf untuk mengutip dana buat anak-anak di rumah yang terbabit. Walaupun kelab kami menerima tajaan dan sumbangan daripada pelbagai pihak dan tidak lupa uiam, namun tetap amaunnya tidaklah terlalu banyak. Sehubungan dengan itu konsep bazaar dan minggu kesedaran ini dianjurkan agar besar harapannya dapatlah kami mengutip seberapa banyak sumbangan yang ada. Sedari umum telah maklum, kebanyakkan pengunjung adalah pelajar juga maka mereka tidak punya sumber kewangan yang banyak untuk membantu kami. Jadi, kesedaran mereka tentang kewujudan golongan-golongan memerlukan ini lebih saya utamakan. Apabila telah ada kesedaran, mereka pasti akan mencari inisiatif dan cara tersendiri untuk membantu anak-anak ini. Sekurang-kurangnya kami telah memberikan batu loncatan untuk mereka mengorak langkah seterusnya.

Meskipun dihujani dengan pelbagai masalah dan dugaan program ini berjaya kami jalankan. BAYANGKANLAH ketika itu hampir sahaja program kami dibatalkan tiga hari sebelum hari kejadian oleh kerana kekeliruan pihak Uia dan kami tentang tapak festival. Kami yang pada asalnya ingin menganjurkan festival ini di sepanjang koridor kuliyyah of engineering tiba-tiba dihalang dan tidak dibenarkan oleh pihak atasan. Waktu tu allah sahaja yang tahu serabutnya akal fikir bagaimana nak jalankan program ini lebih-lebih lagi programme manager, Athir dan asssitantnya, Aida. Namun alhamdulillah OAW berjaya dianjurkan meskipun kami terpaksa berpindah dan bergabung dengan event lain di Convest Hill. Tetapi sungguhlah betapa allah nak tunjuk kat kita yang perancanganya lebih baik, event kami yang digabungkan dengan Dakwah Carnival anjuran Maaruf club berjalan dengan lancar. Malah jalinan ukhuwah antara dua buah kelab ini juga tercipta dan inshallah akan berkekalan. Made new friends and gain new experiences, worth it? right..

Terima kasih semua komiti OAW dan Dakwah Carnival!

tayangan filem

ADORANA

haiii
  Admiring Orang Asli Through Nature (ADORANA) merupakan program berbentuk family day anjuran kelab Comrade iium. Program ini diadakan di Dungun, Terengganu! jauh en?haha.. Pada asalnya saya menolak dan keberatan untuk menyertai program ini dek kerana ia dianjurkan pada waktu cuti pertengahan semester. Tapi akhirnya setelah dipujuk rayu programme manager, Fahim Purwandi dan disokong oleh orang-orang kuatnya, join juga akhirnya.. Dan tak menyesal!gelak terharu. Diberi amanat mengendalikan biro module bersama dua orang Nina amalina basir dan akmanina kahar sebagai pembantu, saya teruskan juga niat berfamily day dengan ahli-ahli comrade.
Kelab comrade merupakan kelab kedua yang saya sertai selain stuff dengan harapan yang sama, merasai naturenya yang berinteraksi dengan masyarakat orang asli.

   Perjalanan selama enam jam kami daripada uiam ke Dungun saya hiasi dengan tidur dan termenung panjang. Duduk seorang diri diatas kerusi yang diperuntukkan untuk dua orang azalinya, saya
merenung belukar dan hutan di sepanjang lebuhraya LPT. Pemandangan kiri dan kanan jalan mengingatkan saya kepada kekuasan tuhan, Allah yang satu. Langit yang tergantung tanpa tiang dan tumbuhan yang hidup tanpa perlu disiram, menunjukkan kekuasaan dan kebesaran Allah taala. Kagum dan sebak bercampur baur di dalam dada. allahu terasa kerdil diri ini.

   Kami tiba di SMS Dungun pada jam 11 malam. Pada asalnya kami mahu berkhemah di tapak perkhemahan yang ada di dalam kawasan sekolah. Namun menjejak jam 12 tengah malam, hujan ribut melanda dan terpaksalah kami berlencun mengangkat khemah masuk ke dalam dewan sekolah. Nasib baik ada dewan kecil yang boleh kami gunakan unutk menginap. Meskipun hasrat berkhemah di luar tidak kesampaian dek kerana cuaca hujan ribut yang sedang bermusim kini, dapatlah kami merasa pengalaman mangsa-mangsa banjir tidur di dalam khemah di pusat penempatan sementara.senyum. Belajar dengan merasai sendiri situasi tersebut, barulah akan lebih memahami perasaan mereka.

   Hari kedua family day kami berkampung pantai Teluk Bidara. Dari jam 9 pagi hinggalah jam 6.30 petang kami beraktiviti di kawasan pantai, sunburn dia ya allah jangan tanya gelap macam mana,haha.. Dimulakan dengan sesi ice breaking, kemudian free activity untuk mandi-manda sebelum diakhiri dengan explorace di sekitar kawasan pantai, penat teruks. Pulang sahaja ke tempat penginapan, berbarbeque sambil dihiasi slot pengisian oleh alumni Comrade iium. Antara yang berkongsi ialah abang Hadi dan kak Ira. Dapat saya rasakan keikhlasan mereka dalam berbakti demi masyarakat orang asli. Mereka ini tidak pernah berkira dalam hal-hal berkait dengan masyarakat asli. Semuanya dibuat atas nama dakwah dan kasih seorang saudara sesama islam. Semoga allah membalas kerja-kerja mereka ini dengan syurganya. Dan semoga kami juga ahli comrade dikurniakan perasaan dan semangat sebegitu rupa. Jika bukan kita saudara seislam yang membantu sesama orang islam, siapa lagi? allahu..Moga allah tetapkan kami diatas jalan ini dan moga Dia terima segala amal kami. ameen..

Hari terakhir sebelum kami bertolak pulang ke uiam, sempatlah juga singgah di sebuah kedai keropok lekor. Orang kata tak sah la kalau ke Terengganu jika tidak membeli kepok lekor,ye dok?? hiks!
Perjalanan hampir 6 jam saya isi dengan perbualan dan berteka-teki dengan rakan-rakan se-bas. Ada juga sebahagian daripada kami yang berasal dari pantai timur terus pulang ke negeri masing-masing. Mereka menaiki bas daripada stesen bas Dungun menuju teratak tercinta. Dan,, achievement unlocked jugalah saya tak tidur langsung selama enam jam atas bas,haha.. Terima kasih semua diatas memori indah ini,dan juga sunburn ini.gelak

family

Rehat

   Alhamdulillah, fasa paling sibuk buat semester ini telah berjaya saya lalui. Meskipun dihujani timbunan meeting dan program, pelajaran tidak saya abaikan sepenuhnya. sikitlah,sikit. Tapi sehabis baik cuba saya seimbangkan antara pelajaran dan aktiviti luar bilik darjah. Naik cuti pertengahan semester ini juga telah saya kosongkan jadual saya. Ingin fokus pada pelajaran pula. Segala tawaran program terpaksa saya tolak, hanya tawaran kahwin sahaja akan dterima, eh? gelak. Sesungguhnya kesibukkan berprogram ini sebenarnya lebih saya suka berbanding duduk tanpa berbuat apa-apa selain daripada pergi ke kelas. Dengan mengisi masa terluang ini, saya akan lebih memghargai masa yang saya ada. Namun setiap insan berbeza. Ada yang boleh buat pelbagai kerja dalam satu-satu masa,dan ada juga yang lebih gemar fokus pada satu benda sahaja. Terpulanglah pada diri anda, asalkan apabila kita sudah bergraduasi nanti, pencapaian akademik dan kokurikulum itu seimbang. Seperti saya, saya sedia maklum akademik saya tidak seberapa cemerlang. Boleh dikatakan average sahaja dan bukan high achiever. Jadi, saya mesti lengkapkan diri saya dengan nilai-nilai tambah agar resume saya tidak tenggelam didalam pemburuan mencari kerja nanti. Dan, semua nilai tambah ini bukan demi kerjaya semata-mata, tetapi untuk membentuk saya menjadi manusia yang wujud di dalam masyrakat. Ia pahit dan benar, tidak semua lulusan universiti wujud di dalam masyarakat. Graduan universiti yang diharapkan menyumbang semula kepada masyarakat hanya memikirkan keuntungan diri sendiri seharusnya tidak berlaku. Kita selaku insan yang melalui sistem pendidikan formal perlu kembali kepada masyarakat. Sumbanglah dengan apa cara sekalipun, jangan kita tinggalkan masyarakat terumbang-ambing.

   Seiring dengan bertambahnya usia dan tahun pengajian, perlahan-lahan mungkin saya akan kurangkan aktiviti-aktiviti ini. Perlu fokus untuk menghabiskan sisa perjuangan di universiti ini. Namun bibir bisa menipu tetapi hati takkan mampu menipu. Jiwa ini lebih senang hidup berpersatuan daripada hidup berkiblatkan kelas-katil-kafe.. Lafaz last programme dicanang sana-sini, hakikatnya join aje lagi,haha.. Alhamdulillah, tamatlah sudah kisah kesibukkan kali ini. Moga Allah terima segala amal yang dilakukan dan ampunkan dosa maksiat yang terlanjur.

100

   Entry kali ini juga cukup istimewa kerana ia merupakan entry ke-100!. Dan alhamdulillah ia dapat diisi dengan gabungan empat organisasi yang berbeza. Berlaku adil orang kata,huhu. Saya juga tidak sangka akhirnya blog ini mampu mencecah 3 angka dalam bilangan entry-nya. Moga semua yang telah saya tulis dan publish menjadi bahan bacaan yang baik-baik sahaja. Harapannya apabila saya telah tiada nanti, orang bisa mengenali saya melalui penulisan saya, dan moga adalah bekalan pahala daripada blog ini buat saya di dalam kubur kelak.allahu. Terima kasih kerana sudi membaca dan melawat blog ini. Maaf jika ada banyak kekurangan, senyum.

Thursday, May 05, 2016

JARING 3.0 Outreach To Kelantan

Meredah Malam Dingin

 Bertemu lagi kita dalam ruang travelog ini. Rasanya asyik tulis travelog je sekarang,haha..Ala kasi chance lah nak share ni Ceritanya, alhamdulillah cuti hujung minggu plus hari pekerja tahun 2016 ini dapat saya isikan dengan aktiviti yang berfaedah,inshaallah. Bermula daripada tarikh 29 April hingga ke 1 Mei 2016, saya dan 19 orang rakan-rakan berkampung di Rumah anak yatim dan dhuafa' lilbanin Seri Peraksi. Rumah ini terletak di daerah Pasir Puteh, negeri Kelantan darul naim. Saya pun tak tahu kenapa dan apa sebabnya, tapi masuk tahun ini dah tiga tahun berturut-turut turun ke negeri Kelantan. Mungkin ada sesuatu yang allah takdirkan untuk saya dapat dari perjalanan-perjalanan ini. Perkara yang baik dan berfaedah harapnya, inshallah. Perjalanan kali ini adalah anjuran kelab Caring IIUM yang berasaskan program-program menyantuni anak-anak yatim. Selain dariapada program outreach seperti ini, kelab caring ini juga mengadakan sesi mentoring di rumah-rumah anak yatim sekitar lembah klang. Sebenarnya saya dah mendaftar sebagai ahli kelab ini pada tahun 2015 lagi. Namun mula aktif bermula tahun ini. Tahun macam ada banyak kerja, pastu kebanyakkan tarikh yang ada sesi mentoring saya tak free.huhu.. Jadi tahun ini lah sempat merasa sesi mentoring sekali, lepas tu terus diberi peluang untuk menyertai outreach ke negeri Che Siti Wan Kembang ini.

   Kami bertolak pada jam 9 malam hari jumaat daripada tangga besar UIAM. Tangga ini sememangnya popular dalam kalangan warga Uia. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka tahu. Dan sejak dahulu lagi mesti para graduan bergambar disini setiap kali ada majlis konvokesyen, wajib kata
mereka.haha..Perjalanan kami pada mulanya lancar sebelum tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di lebuhraya Karak, biasalah kerana adanya cuti hari pekerja maka ramai rakyat dari ibu kota ingin pulang ke desa masing-masing. Pada asalnya, kami merancang untuk melalui laluan Raub-Gua musang, namun kerna kesesakan lalu lintas driver bas memilih untuk ikut jalan hala ke Kuantan dan masuk ke Terengganu sebelum turun semula ke Kelantan. Malam itu jam 12.00 kami menelusuri lebuhraya Pantai Timur (LPT). Serius gelap dan agak seram juga bagi saya. Bahu jalan yang hanya ada tumbuh-tumbuhan tanpa sinaran lampu neon membuatkan suasana kelam. Dengan hanya pancaran lampu bas dan sesekali kereta yang memecut laju,kami meredah lebuhraya malam. Tak sampai 10 minit, pak cik driver buka ayat-ayat suci al-quran di corong radio, tempat keras katanya. Saya pula terus lena, bacaan sedap sangat.gelak kecil. Alhamdulillah jam 5 pagi kami tiba di daerah Pasir Puteh kawasan Semerak. Namun hampir 30 minit juga kami berpusing-pusing  mencari jalan ke destinasi kami, akhirnya sampai jua di Rumah Anak Yatim Seri Peraksi (RAYSP). Daripada 40 orang penumpang, separuh dari kami tinggal disini termasuk saya manakala 20 orang lagi ahli kelab Caring pergi ke rumah lilbanat.

Akhlak molek sungguh

   Kami solat subuh bersama-sama dengan anak-anak disini sebelum memulakan aktiviti pada jam 8 pagi nanti. Solat subuh pagi ini dipimpin oleh adik Shazwan, salah seorang penghuni disini. Bacaannya sedap dan sangat tenang. Rupa-rupanya rumah ini juga menjalankan kelas al-quran dan hafazan buat penghuni-penghuni disini. Sungguh beruntung dan kagum dengan adik-adik ini yang bakal membawa al-quran di dada memimpin umat kelak. Slot pada pagi ini kami mulakan dengan opening remarks dan sesi ice breaking. Kemudian di sambung pula dengan module 1 dan module 2 yang bermatlamatkan mengasah otak adik-adik dalam problem solving based activities. Seperkara yang membuatkan saya bertambah kagum dengan adik-adik disini ialah adab mereka ketika makan. Antara selang waktu ice breaking dan module 1 kami bersarapan pagi bersama-sama. Sewaktu sarapan ini, sungguh senyap sunyi semuanya bila dah dapat makanan. Langsung tiada suara, hanya bunyi kipas sahaja dan sesekali suara burung yang terbang rendah di dewan terbuka kami. Saya
terpegun. Kebiasaannya dalam program-program di sekolah rendah yang pernah saya sertai, waktu makan adalah antara waktu paling bising dan riuh. Almaklumlah semua bebas bercerita dan makan tanpa kawalan abang dan kakak fasilitator. Namun kali ini,sunyi.haha..Sungguh molek akhlak deme ni, alhamdulillah sejuk hati melihat mereka. Anak-anak syurga.

   Objektif kami mengadakan program outreach seperti ini adalah untuk menyantuni anak-anak ini dan menjalin hubungan ukhuwah dengan mereka. Selain itu, kami ingin memberi dorongan dan motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cerah. Sebolehnya saya ingin menanam keyakinan dalam diri mereka bahawa mereka mampu pergi lebih jauh dan tidak mengehadkan diri mereka dalam keadaan yang sama sahaja. Kebanyakkan dari mereka menganggap diri mereka akan selamanya berada di rumah kebajikkan ini. Saya ingin cuba merangsang mereka untuk memcahkan pemikiran jumud ini dan cuba untuk terjun ke dunia luar. Ada seribu satu cerita dan kisah yang boleh mereka kecapi lagi. Namun, mempengaruhi orang lain untuk menerima ideologi kita tidak mudah. Tetapi saya perdaya dengan pendedahan yang berterusan dan rangsangan dari komuniti sekeliling, adik-adik ini mampu pergi jauh. Berbekalkan ilmu agama dan semangat ingin tahu yang tinggi, mereka pasti boleh menyumbang semula kepada masyarakat kelak.

Ikrar sang pemuda

   Hari terakhir kami disini pagi ahad rumah RAYSP telah dikunjungi oleh kira-kira 200 penunggang basikal yang menyertai kayuhan amal anjuran Masjid di kawasan Semerak. Kehadiran mereka disambut dengan persembahan dikit barat dan nasyid daripada anak-anak disini. Syukur kerana masyarakat kita cakna dan tidak lokek untuk menyumbang kepada anak-anak yatim disini. Inilah yang perlu kita pupuk sejak dari zaman remaja. "Erti hidup pada memberi" bilang ustaz Hasrizal. Menghampiri majlis penutup, kami mengadakan sesi love letter dimana kita beri peluang pada adik-adik untuk luahkan perasaan dan pandangan mereka terhadap abang-abang dan kakak-kakak. Kesemuanya ditulis diatas kertas sebelum diberi secara personal kepada abang dan kakak yang mereka tujukan. Membaca luahan hati dan perasaan mereka membuatkan saya bersyukur kerana dapat turun bersama dalam menyantuni mereka. Moga mereka semuanya akan membesar menjadi insan yang hebat. Pelbagai janji dan ikrar mereka tulis, antaranya nak masuk uia! ha marilah abang dan kakak sentiasa mengalu-alukan. senyum lebar.

Maaf tak dapat nak cerita panjang lebar, dah nak final exam tambah dengan ada kerja-kerja lain. Terima sahajalah mana yang ada okay? :)

gambar:

persembahan malam kebudayaan

team lilbanin dan lilbanat


adik-adik RAYSP