Sukarelawan didefinisikan menurut kamus dewan edisi ke-4 ialah orang lelaki yang melakukan sesuatu dengan sukarela: ~ yang ingin memberikan khidmat mereka kepada golongan ini tidak diperlukan kelayakan tertentu; kesukarelawanan segala hal (sifat, kegiatan dan sebagainya) yang berkaitan dengan sukarelawan. Melihat kepada definisi ini, di dalam konteks mahasiswa di universiti, peluang-peluang untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan sangat banyak terhidang. Malah tidak salah jika saya masukkan sekali aktiviti berpersatuan di dalam konteks kesukarelawanan. Kerana apa? Kerana majoriti kelab dan persatuan di bawah naungan universiti tidak berasaskan pada keuntungan. Tetapi kewujudan kelab-kelab ini lebih untuk memupuk dan mengasah bakat mahasiswa di dalam pengurusan diri dan soft skils. Jadi, bagaimana dengan menyertai aktiviti kesukarelawanan boleh menjadikan kita pemimpin yang lebih baik? Mari kita bincangkan.
Pertama, antara aspek utama sebagai
sukarelawan adalah kesediaan untuk berkorban. berkorban di sini boleh dipandang
dari segi masa, tenaga, emosi malah harta kita. Sebagai contoh, apabila kita
menawarkan diri untuk menjadi seorang sukarelawan, secara tidak langsung kita
harus menetapkan fikiran kita untuk memberi yang terbaik. Malahan, kerja-kerja
yang akan kita lakukan langsung tidak akan memberi keuntungan dari segi wang
ringgit. Tetapi apa yang mendorong para sukarelawan untuk mencuba dan
menghabiskan kerja mereka dengan sehabis baik?. Ia adalah perasaan puas apabila
melihat orang lain bahagia. Kebahagian dan kegembiraan pada wajah insan yang
menerima hasil titik peluh kita itu yang membuatkan segala penat dan lelah pada
seorang sukarelawan hilang begitu sahaja. Sifat beginilah yang kita inginkan
ada pada seorang pemimpin. Apabila seorang pemimpin sedar akan kesengsaraan
atau kesusahan yang di alami oleh rakyat di bawah jagaannya, pasti beliau akan
mencuba sehabis baik untuk membantu mereka. Walaupun mungkin insentif yang
diterima sangat sedikit atau mungkin tiada. Tetapi sifat inilah yang akan
melahirkan pemimpin yang lebih baik daripada yang sedia ada. Contoh yang paling
mudah, lihat sahaja pada kesediaan dan keikhlasan YM Sultan Muhammad, Sultan
Negeri Kelantan ketika negeri Kelantan dilanda banjir besar pada tahun 2014 yang
lalu. Sifat sukarelawan dan ringan tulang baginda turun membantu rakyat memikat
hati marhaen untuk menyayangi baginda.
Kedua, pemimpin yang baik juga mampu dihasilkan
melalui latihan pengurusan masa dan prioriti kerja yang dilalui para
sukarelawan. Sebagai seorang sukarelawan, saya pernah turun sendiri ke bumi
Kelantan selama seminggu bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir besar tahun
2014.Ketika itu, cuti semester baru sahaja bermula dan sudah pasti mahasiswa
tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke pangkuan ibu bapa di rumah
masing-masing. Namun apa yang menyentuh hati saya adalah apabila hampir 250
mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) sanggup
mengorbankan seminggu daripada 3 minggu cuti mereka untuk datang ke bumi Kelantan.
Mereka datang bukan untuk melancong atau menikmati hidangan masakan negeri che
siti wan kembang, tetapi mereka hadir untuk bermandi selut dan tanah, untuk
mengerah tulang empat kerat tanpa balasan dan bayaran. Inilah salah satu contoh
bagaimana seorang mahasiswa yang kelak bakal menjadi pemimpin negara tahu
membezakan prioriti dan mengurus masa mereka. Benar, jika dikatakan keluarga
antara faktor penting dalam kehidupan seseorang, tetapi ummah ini lebih
memerlukan kita. Saudara senegara yang ditimpa musibah dan kesusahan perlu kita
utamakan. Saya juga merasa bangga dan terharu kerana ada sebilangan besar
pelajar antarabangsa yang menuntut di UIAM turut sama turun membantu di negeri
Kelantan. Kerana pada mereka, kebajikan sosial lebih utama dari kebajikan
individual. Jelaslah bahawa dengan latihan dalam mengurus masa dan memilih
prioriti yang dilalui oleh sukarelawan akan menghasilkan pemimpin yang lebih
baik dan berkualiti.
Sebagai seorang pemimpin, antara ciri-ciri
yang amat disukai oleh rakyat dalam memandang pemimpin mereka adalah sikap
bagaimana pemimpin itu menunjukkan perasaan mereka kepada rakyat. Yakni
bagaimana pemimpin yang selalunya duduk di banglo besar dan kereta mewah mampu
meletakkan diri mereka dalam kasut rakyat. Meletakkan diri mereka di dalam
kasut rakyat di sini bermaksud seorang pemimpin yang dapat merasai apa yang
dirasakan oleh rakyatnya. Sebagai contoh, mustahil untuk seorang pemimpin yang
tidak pernah turun melihat gelandagan dan mendengar kisah hidup mereka
menasihati dan memaksa gelandangan ini untuk mencari kerja dan tidak hidup
merempat di bangunan-bangunan di kota Kuala Lumpur. Tetapi, aktivis sukarelawan
merasai sendiri pengalaman di tempat pertama, makna kata di dalam kasut si
penderita. Alhamdulillah, kini lebih ramai individu yang menganjurkan
program-program menyantuni para gelandangan dan golongan miskin di kota Kuala
Lumpur misalnya. Melalui program ini, mereka berpeluang mendengar kisah dan
perjalanan hidup gelandangan malah mengambil nasihat dan pengajaran dari situasi
tersebut. Saidina Ali r.a salah seorang sahabat pada zaman Nabi Muhammad s.a.w
menyatakan,
“pandanglah pada apa yang
dikata,dan bukan pada yang berkata”.
Kata-kata beliau ini
memberi kalayakan bahawa kita harus menerima apa sahaja nasihat dan ajaran
daripada sesiapa tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, berjaya atau
seorang penagih dadah mungkin. Kerana setiap dari mereka ada kisah hidup
tersendiri dan berbeza. Mungkin sesetengah dari mereka tidak bernasib baik
kerana menempuh dugaan hidup yang amat tinggi, tapi dari sinilah kita belajar
untuk saling melengkapi dan memahami. Hasilnya, pemimpin yang telah merasai dan
mendengar cerita-cerita ini akan berusaha lebih lagi untuk membantu mereka yang
memerlukan. Bukankah ini satu perkara yang positif?.
Kesimpulannya, aktiviti sukarelawan mampu
menghasilkan pemimpin yang mampan dan berkualiti. Kita tidak ingin pemimpin
yang bekerja kerana ingin menambah figur kosong di dalam penyata gaji mereka, mahupun
yang mengidamkan sanjungan. Tetapi sebagai seorang rakyat biasa kita inginkan
tanah air kita ini diterajui oleh pemimpin yang cinta akan negaranya, yang
cinta akan rakyatnya dan yang sedar menjadi pemimpin bukan satu kesenangan
tetapi satu beban amanah yang sangat besar. Saidina Abu bakar ketika dilantik
menjadi khalifah pertama selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w telah
berkata,
“wahai manusia
sesungguhnya aku telah dilantik untuk menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang
terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah,
betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.”
Lihatlah bagaimana satu
susuk tubuh yang hebat ini mempamerkan dirinya pada orang bawahannya. Beliau
menyatakan kesediaannya untuk dibetulkan jika salah dan menyeru mereka menyokongnya
jika tindakannya benar. Inilah apa yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti
sukarelawan. Seperti yang tercatat dalam sejarah, Sayidina Abu Bakar terkenal
dengan sikap pemurah dan kesediaannya membantu insan lain. Moga lebih ramai
pemimpin yang hebat akan dilahirkan hasil dari aktiviti sukarelawan, dan moga
dunia yang kita diami ini akan lebih bahagia.
[Esei ini telah dihantar bagi pertandingan Maybank Foundation Perdana Leadership Essay competition. Pertandingan ini diadakan dua tahun sekali dan merupakan sebahagian daripada inisiatif public outreach foundations terbabit, terutamanya untuk mendekati generasi muda. Doakan saya menang! keputusan hujung November ini, heee]
No comments:
Post a Comment