Saturday, February 17, 2018

Sayonara uiam


Assalamualaikum wbt.

Memasuki hari ini, sudah hampir seminggu saya selamat meninggalkan bumi UIAM. Tapi masih lagi terasa seakan-akan mimpi sahaja. Perjalanan 4 tahun pengajian sarjana muda ditambah satu tahun setengah peringkat asasi kini telah tamat. Kesemuanya kini telah menjadi masa lalu, yang tidak mungkin berulang kembali. Secara rasminya, kami pelajar-pelajar tahun akhir kuliyyah kejuruteraan uiam tamat pengajian pada tanggal 25 Januari 2018, yakni setelah kami menghantar laporan akhir bagi projek tahun akhir mahasiswa kejuruteraan. Namun saya meneruskan khidmat di dalam ahli jawatankuasa Taaruf Week sejurus menghantar laporan projek. Dengan itu hayat berbakti sebagai mahasiswa saya diteruskan sehingga ke 5 haribulan Februari 2018.

Detik-detik akhir di universiti ini diwarnai dengan pelbagai rasa. Ada perasaan gembira di dada tatkala mengenangkan segala penat lelah menuntut ilmu kini akan berakhir. Ada rasa yang tidak terungkap dengan kata-kata melihat senyuman dan gelak tawa abah emak ketika mendengar perkhabaran anak yang bakal tamat pembelajaran kelak. Dan ada juga perasaan sedih kerana akan meninggalkan tempat yang mengajar seribu satu pengalaman dan didikan. Kerna akan berjauhan dengan rakan taulan, kerna akan berubahlah rutin harian, dan akan berpisah akhirnya dengan sesuatu yang telah menjadi sebahagian daripada diri ini.

Bermula dengan aktiviti-aktiviti akhir bersama rakan-rakan sepengajian, makan malam bersama gang Communication dan CIE, meneroka laluan denai di belakang UIA yang selama ini hanya dengan bebudak STUFF tetapi kali ini dengan gang CIECOMMU, dan juga sembang-sembang kosong bergelak gelak tawa hingga saat mengikat janji tidak akan terputus hubungan kelak. Semuanya memberi jiwa dan rasa yang tersendiri.

Benarlah kata orang, zaman remaja dan lebih khusus lagi zaman di pengajian di universiti akan menentukan sejauh mana kita akan berkembang di dalam kehidupan kelak. Mempunyai jaringan persahabatan yang luas akan memberi banyak manfaat pada kita dari segi mencari pekerjaan, atau sekadar ziarah-ziarah di hari raya nanti. Tidak akan terlayan semuanya, namun pasti ada segelintir yang benar-benar terikat hati kita, untuk saling berhubung dan bersahabat hingga ke hari tua.

Dengan ini, bermula lah fasa perubahan hidup daripada fasa pelajar kepada fasa dewasa bekerjaya. Meremang juga bulu roma bila terfikirkan keadaan diri yang masih mentah di dunia luar ini. Tetapi apalah gunanya segala yang telah dipelajari di universiti jika tidak digunakan di dunia baharu ini. Semoga diri kita akan kekal istiqamah dengan ilmu yang telah ada di dada, dan menyumbang semula kepada masyarakat ini mengikut kemampuan kita.

Terima kasih diucapkan kepada pensyarah-pensyarah di Kuliyyah Kejuruteraan IIUM Gombak, diatas segala tunjuk ajar dan markah peperiksaan sepanjang 4 tahun menadah ilmu kejuruteraan. Seterusnya, Madam Khairani, Mdm Aniza, Bro Najaa dan Bro Amir yang bertugas di Guidance and Counseling unit (GCU) CFS IIUM Petaling Jaya. Di kelab PEERS lah saya menemui identiti diri, membina keyakinan diri dan membuka diri untuk dunia luar. Para sahabat keluarga PEERS yang masih lagi berhubungan sehingga kini, meski kini jauh namun masih terbayang di mata diri ini kemeriahan dan keseronokkan bersama kalian. Melangkah ke pengajian sarjana di IIUM Gombak, kemeriahan dan jiwa kekeluargaan ketika bersama PEERS dikongsi dan diluaskan jajahan bersama keluarga tersayang kelab STUFF IIUM. STUFF IIUM meneruskan lagi perkembangan diri saya daripada pelbagai sudut dan ruang. Bermula daripada seorang yang kurang keyakinan diri, pendiam dan hambar sehingga kini saya lebih berkeyakinan, berani meluahkan pendapat, kelakar dan masih hambar(kata mereka). Tidak lupa juga sahabat-sahabat ketika bersama kelab CARING meskipun jodoh kita terhenti selepas setahun, namun tidak pernah putus diluar meski saya bukan lagi ahli rasmi. Sesungguhnya pengalaman berbakti di rumah Anbu Ilam dan Jaring Outreach ke Kelantan pasti akan saya kenangkan sehingga tua nanti. Tidak ketinggalan kelab COMRADE kerana mengajar erti hidup pada memberi, di dalam ekspedisi-ekspedisi amal ke Kg Lebir, Kg Teji, Abu, Senangkar dan Kg Susu. Kesemua ekspedisi ini mengajar saya erti dan nikamt islam itu sendiri. Juga menenangkan jiwa setelah terlalu sesak disumbat teknologi dan peradaban moden hingga terlupa keindahan kehidupan sederhana yang dijalani aber, amek, nak dan jajak di perkampungan orang asli. Bersama kalian juga saya menyedari potensi diri untuk berdakwah, dan hidup meski dalam keadaan tiada teknologi dan kemudahan harian. Program paling berbekas di jiwa? semestinya ketika IPTA Lebir 2016 dan juga Distex Kg Susu. Selain daripada kelab dan persatuan, terima kasih juga kepada batch CIE COMMU, sahabat sekelas daripada tahun pertama hingga ke tahun akhir. Walaupun bonding sesama kita tidak begitu kuat seperti majoring lain, namun kita berjaya cantikkan pengakhirannya. Mungkin juga kerana bilangan kita yang terlalu ramai, sebab tu macam susah nak kumpulkan semua orang, gelak.

Fuh rasa macam beremosi betul entry kali ini,haha..Siapa tak akan emosi kena berpisah dengan entiti yang telah lama membekas di hati dan jasad, kan? . Selama empat tahun saya mendiami bumi Gombak, mulanya menaiki basikal ke kelas, kemudian lebih suka berjalan kaki. Oh ye kegemaran saya berjalan kaki ke kuliyyah pada awal pagi jam 8 pagi. Waktu ini sangat nyaman kerna udara masih bersih dan dingin. Bunyi-bunyi kenderaan juga masih jarang kecuali jam 8.10 minit pabila semakin banyak motorsikal dan kereta berkejar mencari kawasan parkir. Tempat kegemaran saya? melintasi bangunan kuliyyah ekonomi dan juga kawasan parkir kereta kuliyyah ilmu wahyu. Setiap pagi jam 8 pasti mak cik Daya Bersih sudah ada disitu menyapu dan melonggokkan daun-daun kering. Terasa satu kepuasan bagi saya melihat jalan tar yang hitam dan bersih kemas selepas daun-daun yang berselerakkan disapu mak cik Daya Bersih. Kadang-kadang saya hadiahkan senyuman jika mak cik berpaling pada saya, menandakan ucapan terima kasih saya dan menghormati pekerjaan mulia mereka. Mak cik mesti akan senyum semula, ye benar senyuman kita sahaja mampu menceriakan permulaan hari sesama manusia. Memasuki tahun keempat, saya masih berjalan kaki cuma bila balik dari kuliyyah ke mahallah kebiasaannya menaiki mereka kawan sekelas. Lagipun semasa semester akhir kelas saya hanya sekali atau dua kali sahaja sehari. Maka masa saya lebih banyak diluangkan diluar kelas dan mahallah, yakni di kafe HS, Edu dan juga kadang-kadang di Photonic lab, ruang kerja FYP saya.

Jika hendak saya luahkan segala rasa di dada ini, past semakin berjela-jela lagi tulisan ini. Cukuplah rasanya saya pendam dan hayati seorang, memori-memori pahit manis ketika di zaman universiti. Kepada kalian yang masih di dalam pengajian, nikmati dan penuhilah masa kalian dengan aktiviti-aktiviti dan perbuatan yang mampu kalian kenangkan dan menungkan kelak. Kerana kesemua saat-saat ini tidak akan berulang kembali, perasaan apabila sudah tidak di dalam universiti lain benar, begitu juga jika menyambung master, suasana dan keadaannya tidak akan sama seperti degree. Saya juga ingin megambil kesempatan ini memohon ampun maaf diatas segala salah silap saya sepanjang 5 tahun setengah bersama-sama dengan anda semua warga universiti islam antarabangsa malaysia. Segala tingkah laku, tutur kata atau apa sahaja yang pernah menyakitkan, ampun dan maaf saya pinta dari kalian.. Jika ada hutang yang belum dilangsaikan, hubungi lah saya okayh? hihi..

Semoga kita berjumpa lagi di masa akan datang, sayonara~

PEERS induction day

Mainboard STUFF 2015/2016
new year 2018 celebration mb 17 dan mb 18

Mainboard STUFF 2017/2018
sambutan hari raya aidilfitri 2017 stuff iium

walimah ex-pres Stuff, Balqini dan Hikmah

Intership di Theta Technologies sdn bhd

meraikan konvokasi kak Tengku Ain

support stuffians yang menjadi komiti stanex 2017

stuffians di Stanex 2017

GB study group ciecommu 




Monday, November 27, 2017

Ucapan President agm 2017 STUFF IIUM

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih saya ucapkan kepada pengerusi majlis, saudara rushdeen dan saudari deana.

Bismilahirrahmanirrahim,

                Assalamualaikum wbt. Yang berbahagia, Dr Ros Aniza bt Mohd Shariff, Penasihat kelab STUFF IIUM, yang berusaha bertungkus-lumus menjalankan mesyuarat agung pada malam ini, Saudara Muhammad Syamim zubir, barisan mainboard yang dikasihi lagi dekat dihati, para alumni di belakang sana yang sudi datang memberi sokongan sehingga ke hari ini, dan seterusnya semua ahli kelab stuff yang hadir memenuhi dewan pada malam ini.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada hadirin yang sudi hadir pada malam ini, yakni majlis Annual Grand Meeting(AGM) yang bertujuan untuk mengumumkan barisan pucuk pimpinan baharu bagi kelab STUFF sesi 2017/2018.  Setahun sudah berlalu, saya dan barisan mainboard 2016/2017 memegang tampuk pimpinan. Jika pantai ada surutnya, jika malam ada silih gantinya dengan siang, jika cinta ada hasilnya, jika hidup ada kematian, dan sudah pasti setiap pertemuan akan ada perpisahan.

Jika disebut sahaja nama kelab stuff iium, umum masyarakat uiam memandang hormat ahli kelab kita kerana kita melahirkan ramai ahli bahkan pemimin yang berkualiti dan boleh memimpin orang lain. Seharusnya kita semua merasa bangga dan berusaha menjaga penghormatan yang telah diberikan ini. Di awal masa kenaikkan saya setahun yang lalu, matlamat utama saya adalah untuk menyusun semula sistem pengurusan kelab dan membawa kelab lebih dekat dengan nature ataupun tujuan asal penubuhan kelab kita. Kini dengan ahli kita mencapai 450 orang, setiap biro dianggotai 80 orang dan hanya dijaga oleh dua orang head dan assistant head. Sesungguhnya ia tidak mudah dan merupakan cabaran kepada mereka. Jadi saya mohon semua berikan tepukan kepada head dan assistant head biro anda. Seterusnya barisan setiausaha dan bendahari saya yang bekerja siang dan malam memastikan segala hal ehwal surat, proposal, procedure dan kewangan kelab berjalan lancar dan tersusun. Mereka inilah yang menjadikan sistem itu bergerak dan berfungsi dengan baiknya. Berikan tepukan kepada mereka. Kemudian, 3 orang pendamping setia saya.. tidak, saya tiada payung emas nak diberi kepada mereka. Kepada 3 orang teman vice president saya, terima kasih saya ucapkan atas segala sokongan, dorongan dan teguran yang membantu saya memimpin kelab ini sebaiknya. Tidak lupa juga kepada Dr Ros Aniza, seorang penasihat yang sangat aktif menyokong aktiviti-aktiviti kelab dan sangat mudah didekati oleh ahli-ahli stuff. Dan sudah pasti, doa ibubapa yang sentiasa mengiringi perjalanan kita di Menara gading ini.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terkira kepada setiap insan yang berhubungan dengan kelab ini secara langsung atau tidak langsung. Kelab STUFF banyak membantu dalam membentuk  saya menjadi manusia yang lebih bersifat kemanusiaaan. Kerana mungkin jika saya tidak beranikan diri mendaftar pada empat tahun yang lepas, saya akan melepaskan peluang berkenalan dengan kalian semua. Saya akui, kelab ini telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Terima kasih diatas 4 tahun yang manis,pahit, suka, duka dan bermakna.

Pepatah cina ada mengatakan, Semua bunga yang bakal berkembang pada hari esok adalah benih pada hari ini.

Kepada pucuk pimpinan baharu, jadilah bunga-bunga yang akan terus menghiasi dan mengindahi keluarga besar ini. Jagalah kelab ini dengan sepenuh hatimu, pelihara kebajikkan ahli-ahli kelab kita, dan berusahalah memberikan yang terbaik. Di sepanjang perjalanan nanti akan ada manis dan pahitnya, telanlah semua dan lindungkan rasa duka, kerna kita tidak punya banyak masa atas dunia, hargailah semua dan sebarkan cinta sesama keluarga, kita. Ambilah yang jernih daripada pimpinan kami, tetapi jangan dibuang yang keruh, kerna kadang yang keruh juga menjadi peneguh kepada hati yang luluh.

Akhir sekali, saya mewakili pucuk pimpinan stuff 2016/2017 ingin memohon kemaafan jika ada salah dan silap disepanjang tempoh pimpinan kami. Sesungguhnya kami telah mencuba yang terbaik dalam memastikan setiap daripada kita mendapat manfaat daripada kelab ini. Semoga segala apa yang kita lakukan di dalam kelab ini, allah terima sebagai amal soleh kita di akhirat kelak. Selamat maju jaya, sayang semua. Assalamualaikum wbt.



Friday, October 20, 2017

sakit


Sakit. Satu perkataan yang membawa makna yang cukup membekas apabila ditangkap oleh telinga. Beberapa hari yang lepas saya berkesempatan melawat seorang ibu kepada sahabat yang terlantar di hospital. Beliau disahkan menghidapi kanser lymphoma setelah sekian lama kanser tersebut wujud di dalam tubuh badannya.

   Melawati orang sakit mengingatkan kita kepada pelbagai perkara. Tentang nikmat kesihatan apabila tiada, tentang nikmat berjalan ketika sudah tidak bisa berdiri, dan semestinya nikmat untuk masih menghirup udara di atas bumi ciptaan tuhan, sebelum paru-paru berhenti menapis udara kelak. Ziarah yang saya ikuti ini juga memberi satu pengajaran yang sukar didapati di tempat lain tetapi hanya di hospital. Apa yang ingin saya maksudkan ialah kesabaran dan ketabahan menjaga orang sakit.

   Wanita awal 50-an itu merenung kami satu persatu usai diperkenalkan nama kami kepadanya. Sempat ia berseloroh sebelum kembali mencari nafas. Matanya redup, memerhati anak-anak muda yang sihat tubuh badannya di kemuncak kehidupan. Seakan-akan terbayang akan dirinya di saat remaja dahulu berdiri seiiring dengan kami.. Dengan berat nafas ia membuka bicara.

"Tak senang menjaga orang sakit ni dik..Acik ni bersyukur sangat ada yang sanggup menjaga makan minum semua di sini." dia berhenti mencuri nafas. "Kamu nanti kalau mak ayah ke, keluarga ke sakit, jagalah mereka elok-elok,,kena banyak bersabar,jangan cepat marah bila disergah.. Masa ni kamu masih muda, masih ada kudrat dan tenaga. Gunalah elok-elok, buat benda baik, belajar agama..nanti dah tua tak larat!' ujarnya sambil menghela nafas panjang..Kami diam mendengar. Menghormati nasihat dan kata-katanya sambil minda mencipta situasi sendiri kelak.

   Kipas di syiling pegun. Tidak dihidupkan kerana udara di wad pesakit telah nyaman dan selesa dikawal oleh pendingin hawa. Agak lama suasana sepi tanpa bicara. Katil hujung ini dikerumuni 11 anak muda. Terkadang penghuni lain di wad 8C menjeling ke katil hujung ini. Mungkin kerana gelak tawa kami yang cuba menghidupkan suasana sepi disini.

"Aihh cakapla, kenapa semuanya senyap?" getus wanita itu sambil menjeling anaknya,diikuti kami sebaris.

serentak kami tertawa. Masing terasa lawak dengan kejanggalan sendiri yang diam seakan-akan bisu.

   Disini, tika saat ini, aku tenggelam dalam fikiran yang jauh di dalam kalbu. Bertapa kini aku berdiri menghadap makhluk tuhan yang persis sepertiku, bezanya hanyalah di dalam jasad itu ia sedang berjuang untuk terus hidup menatap matahari pada hari mendatang. Dan aku, juga berjuang namun di dalam medanku yang tersendiri. Di rumah sakit ini juga membuat aku termenung tentang dua pengakhiran. kehidupan ataupun kematian. Jika ditanya kepada semua manusia, pasti kesemuanya akan menjawab mereka mahu hidup. Hidup untuk mengejar cita-cita, ingin hidup untuk memenuhi impian, dan tidak kurang juga untuk membantu jiwa-jiwa yang hampir mati tidak bertuhan kembali mencari-Nya. Tiada siapa pun yang menginginkan kematian, melainkan jiwa mereka telah dibunuh oleh kezaliman mereka yang sebangsa dengannya. Namun, semua manusia akur benar bahawa satu ketika nanti mereka tetap akan mati. Iya benar, kita semua akan mati juga. Namun dengan cara yang bagaimana? dengan keadaan yang bagaimana? itu semua berada di tangan kita untuk menentukannya. Husnul khatimah, impian setiap yang bergelar muslim.

   Di penghujung ziarah itu,kami nenitipkan doa dan kata-semangat buat wanita itu agar terus kekal kuat dan berjuang. Tidak lupa juga bekalan doa dan tiupan semangat kepada sang anak yang menyemai pahala menjaga ibunya. Anak itu sedar tidak sedar sebenarnya sedang membina rumahnya di syurga sana. Rumah yang akan didiami mereka sekeluarga kelak di akhirat nanti, ameen. Melangkah perlahan meninggalkan perkarangan hospital, aku tersenyum sendirian.