Tuesday, November 24, 2015

Sukarelawan Melahirkan Pemimpin Mapan

  

   Sukarelawan didefinisikan menurut kamus dewan edisi ke-4 ialah orang lelaki yang melakukan sesuatu dengan sukarela: ~ yang ingin memberikan khidmat mereka kepada golongan ini tidak diperlukan kelayakan tertentu; kesukarelawanan segala hal (sifat, kegiatan dan sebagainya) yang berkaitan dengan sukarelawan. Melihat kepada definisi ini, di dalam konteks mahasiswa di universiti, peluang-peluang untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan sangat banyak terhidang. Malah tidak salah jika saya masukkan sekali aktiviti berpersatuan di dalam konteks kesukarelawanan. Kerana apa? Kerana majoriti kelab dan persatuan di bawah naungan universiti tidak berasaskan pada keuntungan. Tetapi kewujudan kelab-kelab ini lebih untuk memupuk dan mengasah bakat mahasiswa di dalam pengurusan diri dan soft skils. Jadi, bagaimana dengan menyertai aktiviti kesukarelawanan boleh menjadikan kita pemimpin yang lebih baik? Mari kita bincangkan.
   Pertama, antara aspek utama sebagai sukarelawan adalah kesediaan untuk berkorban. berkorban di sini boleh dipandang dari segi masa, tenaga, emosi malah harta kita. Sebagai contoh, apabila kita menawarkan diri untuk menjadi seorang sukarelawan, secara tidak langsung kita harus menetapkan fikiran kita untuk memberi yang terbaik. Malahan, kerja-kerja yang akan kita lakukan langsung tidak akan memberi keuntungan dari segi wang ringgit. Tetapi apa yang mendorong para sukarelawan untuk mencuba dan menghabiskan kerja mereka dengan sehabis baik?. Ia adalah perasaan puas apabila melihat orang lain bahagia. Kebahagian dan kegembiraan pada wajah insan yang menerima hasil titik peluh kita itu yang membuatkan segala penat dan lelah pada seorang sukarelawan hilang begitu sahaja. Sifat beginilah yang kita inginkan ada pada seorang pemimpin. Apabila seorang pemimpin sedar akan kesengsaraan atau kesusahan yang di alami oleh rakyat di bawah jagaannya, pasti beliau akan mencuba sehabis baik untuk membantu mereka. Walaupun mungkin insentif yang diterima sangat sedikit atau mungkin tiada. Tetapi sifat inilah yang akan melahirkan pemimpin yang lebih baik daripada yang sedia ada. Contoh yang paling mudah, lihat sahaja pada kesediaan dan keikhlasan YM Sultan Muhammad, Sultan Negeri Kelantan ketika negeri Kelantan dilanda banjir besar pada tahun 2014 yang lalu. Sifat sukarelawan dan ringan tulang baginda turun membantu rakyat memikat hati marhaen untuk menyayangi baginda.

   Kedua, pemimpin yang baik juga mampu dihasilkan melalui latihan pengurusan masa dan prioriti kerja yang dilalui para sukarelawan. Sebagai seorang sukarelawan, saya pernah turun sendiri ke bumi Kelantan selama seminggu bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir besar tahun 2014.Ketika itu, cuti semester baru sahaja bermula dan sudah pasti mahasiswa tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke pangkuan ibu bapa di rumah masing-masing. Namun apa yang menyentuh hati saya adalah apabila hampir 250 mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) sanggup mengorbankan seminggu daripada 3 minggu cuti mereka untuk datang ke bumi Kelantan. Mereka datang bukan untuk melancong atau menikmati hidangan masakan negeri che siti wan kembang, tetapi mereka hadir untuk bermandi selut dan tanah, untuk mengerah tulang empat kerat tanpa balasan dan bayaran. Inilah salah satu contoh bagaimana seorang mahasiswa yang kelak bakal menjadi pemimpin negara tahu membezakan prioriti dan mengurus masa mereka. Benar, jika dikatakan keluarga antara faktor penting dalam kehidupan seseorang, tetapi ummah ini lebih memerlukan kita. Saudara senegara yang ditimpa musibah dan kesusahan perlu kita utamakan. Saya juga merasa bangga dan terharu kerana ada sebilangan besar pelajar antarabangsa yang menuntut di UIAM turut sama turun membantu di negeri Kelantan. Kerana pada mereka, kebajikan sosial lebih utama dari kebajikan individual. Jelaslah bahawa dengan latihan dalam mengurus masa dan memilih prioriti yang dilalui oleh sukarelawan akan menghasilkan pemimpin yang lebih baik dan berkualiti.

  Sebagai seorang pemimpin, antara ciri-ciri yang amat disukai oleh rakyat dalam memandang pemimpin mereka adalah sikap bagaimana pemimpin itu menunjukkan perasaan mereka kepada rakyat. Yakni bagaimana pemimpin yang selalunya duduk di banglo besar dan kereta mewah mampu meletakkan diri mereka dalam kasut rakyat. Meletakkan diri mereka di dalam kasut rakyat di sini bermaksud seorang pemimpin yang dapat merasai apa yang dirasakan oleh rakyatnya. Sebagai contoh, mustahil untuk seorang pemimpin yang tidak pernah turun melihat gelandagan dan mendengar kisah hidup mereka menasihati dan memaksa gelandangan ini untuk mencari kerja dan tidak hidup merempat di bangunan-bangunan di kota Kuala Lumpur. Tetapi, aktivis sukarelawan merasai sendiri pengalaman di tempat pertama, makna kata di dalam kasut si penderita. Alhamdulillah, kini lebih ramai individu yang menganjurkan program-program menyantuni para gelandangan dan golongan miskin di kota Kuala Lumpur misalnya. Melalui program ini, mereka berpeluang mendengar kisah dan perjalanan hidup gelandangan malah mengambil nasihat dan pengajaran dari situasi tersebut. Saidina Ali r.a salah seorang sahabat pada zaman Nabi Muhammad s.a.w menyatakan,
“pandanglah pada apa yang dikata,dan bukan pada yang berkata”.
Kata-kata beliau ini memberi kalayakan bahawa kita harus menerima apa sahaja nasihat dan ajaran daripada sesiapa tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, berjaya atau seorang penagih dadah mungkin. Kerana setiap dari mereka ada kisah hidup tersendiri dan berbeza. Mungkin sesetengah dari mereka tidak bernasib baik kerana menempuh dugaan hidup yang amat tinggi, tapi dari sinilah kita belajar untuk saling melengkapi dan memahami. Hasilnya, pemimpin yang telah merasai dan mendengar cerita-cerita ini akan berusaha lebih lagi untuk membantu mereka yang memerlukan. Bukankah ini satu perkara yang positif?.
   Kesimpulannya, aktiviti sukarelawan mampu menghasilkan pemimpin yang mampan dan berkualiti. Kita tidak ingin pemimpin yang bekerja kerana ingin menambah figur kosong di dalam penyata gaji mereka, mahupun yang mengidamkan sanjungan. Tetapi sebagai seorang rakyat biasa kita inginkan tanah air kita ini diterajui oleh pemimpin yang cinta akan negaranya, yang cinta akan rakyatnya dan yang sedar menjadi pemimpin bukan satu kesenangan tetapi satu beban amanah yang sangat besar. Saidina Abu bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w telah berkata,
“wahai manusia sesungguhnya aku telah dilantik untuk menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.”

Lihatlah bagaimana satu susuk tubuh yang hebat ini mempamerkan dirinya pada orang bawahannya. Beliau menyatakan kesediaannya untuk dibetulkan jika salah dan menyeru mereka menyokongnya jika tindakannya benar. Inilah apa yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti sukarelawan. Seperti yang tercatat dalam sejarah, Sayidina Abu Bakar terkenal dengan sikap pemurah dan kesediaannya membantu insan lain. Moga lebih ramai pemimpin yang hebat akan dilahirkan hasil dari aktiviti sukarelawan, dan moga dunia yang kita diami ini akan lebih bahagia.

[Esei ini telah dihantar bagi pertandingan Maybank Foundation Perdana Leadership Essay competition. Pertandingan ini diadakan dua tahun sekali dan merupakan sebahagian daripada inisiatif public outreach foundations terbabit, terutamanya untuk mendekati generasi muda. Doakan saya menang! keputusan hujung November ini, heee]

Tuesday, November 17, 2015

Antara Paris dan Raqqa

   
   Ketika saat saya mendapat perkabaran mengenai kejadian siri serangan di bandar romantik dunia,kota Paris saya merasa terkelu.pegun. Dan perkara pertama yang pantas muncul di minda ibarat sambaran petir yang maha kuat dan silau itu ialah pihak yang akan dipertanggungjawabkan adalah muslim. Benar, ummat kita tentu akan dijadikan kambing hitam lagi,lagi,lagi dan lagi.Sedih. Sebagai seorang manusia normal,kita berkongsi satu anugerah dan hubungan yang sangat istimewa sesama kita. Hubungan ini yang dinamakan kemanusiaan dikongsi merentasi sempadan,merentasi bangsa dan agama.Namun apa yang berlaku hari ini jelas menampakkan bahawa sesama manusia itu sudah tidak ada belas ehsan,sudah tidak ada perasan kasih dan sayang, kemanusiaan telah hilang.

   Selaku seorang muslim,dan lebih lagi sebagai makhluk yang digelar manusia, saya mengutuk dan tidak bersetuju dengan tragedi serangan di Kota Paris ini.Sesungguhnya ini adalah satu pengkhianatan seorang hamba kepada penciptanya, Siapa kita untuk menentukan hidup matinya seseorang ? lebih-lebih lagi jika anda menggunakan faktor agama untuk menjustifikasikan perbuatan anda. Sungguh jika benarlah perbuatan ini didalangi oleh insan yang sujud 5 kali sehari menghadap tuhan,yang menutur kalimah basmalah sebelum makan, yang menutur alhamdulillah selepas segala nikmat yang diberikan, anda telah melanggar apa yang agama langit ini bawakan. Islam tidak pernah mengarahkan penganutnya melakukan keganasaan. Bahkan islam itu sendiri bermaksud selamat,sentosa atau kedamaian. Lihat sahaja firman allah dalam kitab agungnya al-quran, Surah Al-Baqarah ayat 83,

"Dan ingatlah ketika kami mengambil perjanjian dari bani Israil, " janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan berbicaralah dengan tutur kata yang baik sesama manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat." tetapi kemudian kamu berpaling (mengingkari) , kecuali sebahagian kecil dari kamu, dan kamu (masih) menjadi pembangkang. "

   Banyak lagi bukti yang jelas menunjukkan islam tidak mempromosikan keganasan. Lihatlah dengan mata hati dan rajinlah mencari, agar kita tidak menjadi lembu dengan hidung bergari, mengikut apa sahaja yang diberi.

  Pasca serangan di Kota Paris, Kerajaan Perancis mengambil tindakan terburu-buru dan menyedihkan untuk dilihat dan diterima bagi saya. 10 buah jet pejuang dihantar pada malam 16 november ke Kota Raqqa di Syria. Lebih kurang 20 pengeboman dijayakan dengan ledakan perasaan amarah dan tidak berperikemanusiaan. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti serangan yang dilakukan di Paris,nyawa manusia yang terkorban disana pasti lebih banyak. Bertapa banyak jiwa-jiwa yang tidak bersalah menghadap tuhan atas perbuatan pihak lain. Inilah dunia kita, dunia menuju akhir zaman, dimana nyawa manusia telah menjadi pertaruhan, nyawa insan telah tidak mempunyai harga dan hilang keistimewaan. Bangkitlah rakan-rakan dan taulan, walau kita hanya mampu menadah tangan, namun kuasa doa itu melangkau jangkaan, teruslah berdoa pada tuhan, agar ada sinar buat kemanusiaan, agar dunia mampu berjalan berpimpinan tangan, bergerak seiringan di bawah payungan rahmat tuhan. Menuju dunia yang harmoni dan aman.

*Titipan khas tentang kejadian serangan di Kota Paris dan tindakan ketenteraan Perancis pasca tragedi tersebut. Takziah dan al-fatihah buat yang terkorban, moga mereka diterima disisi tuhan, dan moga kita menyusul dengan pengakhiran yang baik kemudian nanti. Al-fatihah. #prayforparis #raqqa #islam

Wednesday, November 11, 2015

"Hijrah" To a better me



Tajuk: Hijrah, to a better me
Penceramah: Ustaz Zamri Zainuldin
Tempat: Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM
Masa: 8.30 malam -11.00 mlm

   Ceramah pada malam ini adalah dibawah anjuran masjid Sultan Haji Ahmad Shah dengan kerjasama IIUM Immaratul masjid group bersempena dengan sambutan bulan muharram.Alhamdulillah,kini kita telah melangkah ke tahun 1437 Hijrah.Semoga segala amal kita pada tahun lepas diterima dan segala dosa kita diampunkan.Amin..

   Pencemarah pada malam ini adalah Ustaz Zamri mantop yang sering keudara di saluran TV 9. Gelagat, telatah dan gaya penyampaian ustaz kena dengan situasi semasa dan audiens. Berikut antara isi-isi yang sempat saya catat dan ingin dikongsikan bersama.Untuk kabaikkan kita bersama,hiks :)

1) Pada zaman khalifah Umar Al-Khatab, beliau memperkenalkan pelbagai sistem dan jabatan baru. Dan antaranya ialah permulaan tahun baru, atau kalendar islam. Disinilah bermulanya bulan Muharram sebagai kepala tahun.

2) Pemilihan bulan Muharram sebagai kepala tahun disekalikan dengan peristiwa hijrah untuk menaikkan semangat umat islam. Kerana apa ? kebiasaannya awal tahun dianggap sebagai permulaan kepada sesuatu. Jadi kita perlu semangat tang tinggi dalam menyambutnya,justeru peristiwa hijrah dikaitkan dengan bulan Muharram seterusnya menyuntik semangta ummat islam untuk menyambutnya.

3) Menyingkap kisah-kisah yang dialami baginda nabi dan para sahabat sebelum peristiwa hijrah, mereka diseksa dan dizalimi orang kafir di Mekah. Sebagai contoh, kisah khabab yang diseksa sehinggakan beliau bertanya kepada baginda nabi saw bilakah pertolongan allah akan tiba? ini kerana teruknya dan seksa penderitaan yang beliau alami daripada orang kafir quraish. kemudian baginda nabi menjawab, seseungguhnya orang-orang sebelum mereka yang beriman kepada Allah telah diseksa dengan lebih dahsyat berbanding mereka. Diceritakan ada dalam kalangan mereka yang disikat dengan sikat besi yang amat besar dan panas sehingga luruh daging dari tubuh mereka!

4) Apakah kita sedar dengan kisah -kisah mereka ini ? apa punca ataupun rahsia kekuatan mereka sehingga mampu bertahan walau diseksa sebegitu rupa?. Hal ini adalah kerana mereka telah jelas,yakin dan percaya tentang apa yang akan mereka kecapi di akhirat kelak. Kefahaman dan kepercayaan mereka kepada Allah crystal clear kata kau.

5) Dunia ini untuk kita nikmati dan kongsi bersama dengan orang lain. Segala anugerah dan kesenangan yang dikurniakan disini cukup untuk semua makhluk ciptaan Allah. Namun sedarlah bahawa segala yang ada di dunia ini hanya 1 peratus sahaja dari nikmat yang Allah berikan pada ciptaannya. 99 peratus lagi disimpan oleh Allah di syurganya.

   Ustaz Zamri juga membangkitkan persoalan tentang apa sebenarnya yang kita kejar di dunia ini. Beliau menekankan bahawa sepatutnya redha Allah yang kita cari dan bukan pengiktirafan daripada manusia. Ustaz juga menyentuh mengenai kerja-kerja pembaikkan yang harus dilakukan oleh ummat islam.

6) Kerja-kerja islam adalah satu proses yang lam dan perlahan. Disebabkan itu selalu kita lihat ada pejuang-pejuang yang gugur dari gerabak tarbiyyah kerana hebatnya godaan dunia. Cara yang diterapkan islam dalam menangani sesuatu masalah adalah bermula daripada punca masalah itu sendiri. Jika kita dapat tanam kefahaman tentang akhirat di dalam diri setiap muslim, inshallah masalah akan dapat diselesaikan. Seseorang yang mempunyai kesedaran akhirat takkan berbuat dosa kerna dia sedar dengan hukuman di akhirat kelak. betul tak ?

7) Kehidupan di dalam kubur kita menentukan kehidupan kita di akhirat kelak. Manakala kehidupan di dalam kubur kita ditentukan oleh khusnul khatimah atau suul khatimah kita. Khatimah kita ditentukan oleh gaya hidup kita, sama ada gaya hidup mengikut agama islam atau sebaliknya. Dan terakhir sekali gaya hidup kita ditentukan oleh istiqamahnya kita dalam menjaga hak-hak allah dalam hidup kita.

8) Masalah ummat islam khususnya para pemuda-pemudi nya ialah "kekuatan kami terletak pada last minute". Generasi muda islam kini gemar melakukan perkara pada hujung waktu, atau bahasa mudahnya kerja last minute. Perkara ini salah dan merugikan diri kita sendiri, huhu.. Apa salahnya jika kita bersusah dahulu dan bersenang-senang kemudian nanti? bukankah begitu lebih baik.

  Penutupnya, ustaz Zamri juga ada mengingatkan kebergantungan kita kepada Allah adalah  perkara yang harus diutamakan dalam setiap urusan. Lihat sahaja contohnya ketika peristiwa hijrah yang dilalui baginda nabi saw bersama saidina Abu Bakar. Perancangan baginda nabi sangat teliti dan terperinci, namun akhirnya tetap juga beliau dan saidina nabi hampir-hampir ditemui oleh orang-orang kafir ketika bersembunyi di gua thur. Ujar ustaz, tika saat itu jika orang kafir tunduk sedikit sahaja sudah pasti mereka ternampak kaki yang terjulur keluar dari gua thur. Disini ibrahnya ialah sehebat mana strategi dan perancangan kita, perancangan Allah jauh lebih hebat. Dengan bantuan Allah jugalah baginda nabi saw terselamat bersama dengan saidina Abu Bakar.

   Ini sahaja yang dapat saya kongsikan hasil dari nota catatan saya. Teks ini ukanlah 100 peratus apa yang diungkapkan oleh Ustaz Zamri, telah ada sedikit pengolahan dan penambahan. Namun, pengolahan itu inshallah tidak lari daripada makna dan tujuan asal yang disampaikan penceramah. Sememangnya hobi saya mencatat jika ada pen dan kertas di tangan. Anda pun kena cuba!