Saturday, December 26, 2015

Bersediakah Aku ?



Assalamualaikum wbt.


 Pertama-tamanya marilah kita berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw kerana dengan usaha titik peluhnya dahulu telah memberi kita nikmat yang teragung sekali,yakni nikmat iman dan islam. Dan mohon jangan bash saya jika hanya pada maulid nabi kita mengenang Baginda Nabi saw, tetapi itulah realitinya kini. Umat islam hanya ingat nabi sewaktu maulid nabi namun dalam kehidupan seharian sukar benar nak contohi utusan agung kita ini. Sedihkan? ambillah ini sebagai pesanan buat diri kita. Ok back to the topic, saya pun tak tahu awat waktu study week ni rasa dah tak macam study week sangat. Tengok kipas pun terhibur apalagi kalau tengok awak,erm..


  Sebenarnya tujuan entri ini adalah untuk mencukupkan korum yang memang saya dah set sejak awal tahun 2015,yakni dalam satu bulan mesti update blog minimumnya 3 entri. Dan alhamdulillah setakat ni rasanya masih on track lagilah. Haish apa aku buat ni,study week dok gatai update blog pulak. Tapi bukan setakat korum punya pasal sahaja, sebenarnya saya tertarik dengan persoalan yang dibangkitkan rakan saya sewaktu saya scroll timeline twitter pagi tadi.Nampak lagha lagi tu. Beliau mengajukan satu persoalan yang saya kira penting dan mahu atau tidak kena jawab juga akhirnya. Apa soalannya? haa


" Apa tanda yang lelaki ni betul-betul setia pada perhubungan yang ke arah perkahwinan ? "


Ok rilek,sabar jangan muntah dulu. Bukanlah niat saya suka bebenor nak bercerita bab cinta dan perasaan ini,tapi entri ini lebih kepada peringatan kepada diri saya sendiri dan buat ikhwah, rakan taulan diluar sana juga. Seringkali saya melihat ramai sekali anak muda yang terjerat dengan perasaan dan perhubungan yang tidak halal. Namun disini bukanlah saya mahu mencemuh atau merendah-rendahkan perbuatan anda,kerana umum sedia maklum sebagai manusia kita memang dikurniakan dengan naluri untuk berkasih sayang dan hidup berpasangan, tidak terkecuali diri saya sendiri. Dan selalunya,saya berdoa agar pasangan-pasangan yang ada disekeliling saya ini dimudahkan urusan untuk mengikat tali perkahwinan segera. Mesti seronokkan bila hidup berdua, berkongsi suka dan duka bersama. Tetapi sebelum tangan tok kadi disalami,sebelum bibir melafaz " Aku terima Nikahnya.." ,sebelum bahu ini bersedia menampung dosa the other half dan sebelum dua keluarga disatu menjadi besan, ada beberapa perkara yang wajib dipenuhi. Ok kita go point by point okay.


1.KEAGAMAAN


  Agama adalah perkara nombor satu yang seorang lelaki perlu ambil berat sebelum berani menggenggam tangan seorang isteri. Kerana apa, kerana jika elok agamanya, maka inshallah selamat lah hidup isteri dan keluarganya kelak. Namun jika sebaliknya, hanya Allah sahaja yang mengetahui kesudahannya. Sudah banyak sekali berita yang kita dengar dimana seorang suami gagal memenuhi hak isterinya. Dimana seorang isteri diperlakukan seperti hamba dan bermacam lagi. Semua ini berkait rapat dengan ilmu dan amalan yang ada pada lelaki itu sendiri. Sungguh jika ia benar faham dan mengaplikasikan agama islam dengan sepenuhnya di dalam hidup beliau, semua masalah ini tidak akan muncul. Dan tanda apabila seorang lelaki itu benar-benar mahu perhubungan ke arah perkahwinan ialah apabila ia mula meningkatkan ilmu agamanya. Niat dan kesungguhan dalam mendalami  ilmu agama ini tidak boleh dipaksa atau dilakonkan. Jika benar beliau mahu naik ke tangga seterusnya bersama anda, pasti akan tercetus perasaan untuk memperbaiki dirinya sendiri. Jadi jika tanda ini sudah ada, bantu dia. Sebagai wanita jangan anda pula yang melemahkannya, bantu dia dengan memberi kata semangat dan anda sendiri perlu berubah juga. Kurangkan pertemuan dan perbualan yang tidak berfaedah dan fokus pada urusan ke arah gerbang perkahwinan sahaja. Indahkan bila dua-dua pihak saling memahami dan berusaha ke arah kebaikkan?. 

  Jika sebelum ini solatnya berlubang sana-sini, seharusnya kini lengkap 5 kali sehari beserta ibadah nawafil yang lain. Bacaan qurannya perlu diasah dan digilap semula, puasa sunat perlu dilatih juga dan lain-lain. Jika pasangan anda tidak sanggup berubah dan sebelum kahwin lagi dah tak jaga hubungan dengan Allah, bagaimana anda nak jangka dia mampu menjaga hubungannya dengan manusia? bagaimana nanti selepas bernikah?.  "Tapi bro, kalau kita berubah kerana perempuan yang ingin dinikahi,bukankah itu salah seperti yang disebut di dalam hadis pertama kompilasi 40 hadis Imam Nawawi?" lap peluh sejuk. Begini, pada saya seharusnya pada awal lagi kita perlu sentiasa mentajdid niat kita dalam melalui proses perubahan. Tajdid bererti memperbaharui, makna kata kita perlu sentiasa memperbaharui niat kita agar ia sentiasa di atas matlamat yang benar. Tetapkan niat kita untuk berubah for a greater good,for a greater cause. Kita ingin menjadi baik kerna kita ingin menjadi hamba yang lebih bersyukur, kita mahu menjadi muslim yang lebih baik agar kelak kita mampu memimpin tanggungan kita. Sebaiknya,lihatlah pada baginda nabi saw,kerana baginda adalah contoh yang terbaik.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikkan) terhadap isteriku." hadis riwayat al-Tirmizi


2.KEWANGAN


  Tanda kedua seorang lelaki mula serius untuk bernikah dengan anda adalah apabila dia mula memikirkan dan merancang soal kewangannya. Berfikir disini bukan hanya fikir dan bermula setelah berkahwin nanti, namun sebelum berkahwin lagi dia telah mula menjaga dan merancang kewangannya. Bagaimana? inilah persoalannya. Kebanyakkan senior yang saya lihat mula menyimpan dan mengurus kewangannya sejak di tahun pertama pembelajaran lagi. Ini biasanya diamalkan oleh mereka yang merancang untuk bernikah sejurus selepas graduasi atau mungkin dua atau tiga tahun selepas graduasi. Jadi apa aspek yang perlu diberi perhatian oleh seorang lelaki ini ? pertama sekali ialah mengumpul duit dan menambah aset. Tidak dinafikan aset seperti rumah dan kenderaan mungkin antara yang paling penting buat ketika ini. Namun pada pandangan saya, rumah dan pekerjaan tetap adalah perkara pertama yang seorang lelaki perlu ada sebelum dia berani meminta izin seorang ayah untuk mengahwini puterinya. Ada pelbagai cara untuk mula mengukuhkan kewangan anda, antaranya ada yang bermain saham,berjual beli emas, menjual burger dan tidak kurang juga yang menceburi sistem MLM yang maha banyak diceritakan. Kesemua cara ini boleh dilakukan hanya jika ada kesungguhan dan keinginan.
  Sekiranya anda tak tahu nak bermula daripada mana atau buntu, tanyalah pada yang berpengalaman. Boleh minta bantuan ayah kita sendiri,saudara-mara atau mungkin sahaja cari mentor anda. Sebagai contoh, jika anda ingin memulakan perniagaan franchise Ayam Goreng Uncle Bob, rujuk dan minta bimbingan orang yang pernah menjual produk yang sama. Bagaimana cara dia menarik pelanggan, bagaimana nak cari tempat yang sesuai, semua ini ilmu. Dan ia hanya akan kita dapat kalau kita cari dan bukannya tunggu datang bergolek atau jatuh dari langit begitu sahaja. Allah ada nyatakan di dalam kitabnya al-Quran bahawasanya kalau kamu tak tahu,tanya pada orang yang mengetahui. Jangan malu bertanya nanti sesat jalan. Terpulanglah pada anda, cuma pastikan sumber kewangan itu adalah halal kerana ia akan menjadi darah daging buat diri anda, isteri anda, anak-anak anda dan juga ibu-bapa anda sendiri. Satu pesan yang saya pegang ialah jangan kedekut untuk kongsi gaji dengan mak abah ok. Walaupun sebenarnya mereka tak harapkan dan tak perlukan pun duit anda itu, namun ia perlu untuk sekurang-kurangnya mengambil berkat dan doa dari mereka. Beruntung kita bila mak abah doakan agar rezeki kita dimurahkan,betul tak? jadi berusahalah dan bermula lah segera jangan ditangguh..
  

Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui
{Al-Nahl ayat 43}


3.PERWATAKAN DAN CARA BERFIKIR



   Tanda ketiga seorang lelaki telah bersedia untuk membawa anda melangkah bersama ke alam perkahwinan ialah perwatakan dan cara berfikirnya telah matang. Habis tu kami semua ni tak matang ka?! mata berapi. Sabar semua, matang disini yang saya maksudkan ialah apabila dia tidak berfikir hanya untuk dirinya sendiri sahaja, namun dia melebihkan orang lain terlebih dahulu. Sikap suka bergurau, keanak-anakan dan kenakalan itu memang ada, boys will always be boys. Tapi pada masa-masa yang tertentu beliau sudah tahu untuk step up dan bukan runs away. Keberanian untuk mengambil tanggungjawab ini takkan datang sekiranya lelaki ini belum bersedia. 

  Sebagai contoh, di zaman universiti ini normal bagi pelajar lelaki untuk bermain permainan video dan melepak disana-sini. Namun selepas pernikahan, aktiviti-aktiviti ini telah berkurang atau mungkin hilang sama sekali. Ini adalah disebabkan mereka ada perkara lebih besar yang perlu difikirkan. Ada perut yang perlu diiisi, ada jasad yang perlu dikasihi dan ada perasaan yang perlu dijaga. Selepas perkahwinan, hidup bukan lagi untuk diri sendiri tetapi kini hidup adalah dengan permaisuri, ditambah pula jika sudah ada cahaya mata nanti. Setiap perkara perlu dipersiapkan dan dipenuhi agar tak menderita di kemudian hari. Fuhh macam syair pula irama akhirnya,luls. Wanita juga sebagai pasangan harus sentiasa bersifat toleransi dan terbuka,jangan hanya mengharapkan nak ikut kepala kita sepanjang masa. Kadang-kala ada perkara yang kita terlepas pandang dan pasangan kita nampak. Jadi sebelum nak meroyan tak tentu hala, terima dahulu teguran kemudian baru discuss penyelesaiannya. Eh macam dah lari jauh pulak,haha.

Life isn't about getting and having, it's about giving and being- Kevin Kruse


4.PENGAKUAN



  Kalau lelaki tersebut sudah cukup berani berjumpa dengan ibu dan bapa anda, kemudian berjanji untuk memperisterikan anda, itu adalah pentanda yang dah cukup kuat dah. Hang nak tanda apa lagi?haha.. Sebagai seorang lelaki pesan saya juga bilamana seorang mamat berjanji nak jaga,nak bela hang, nak nikah dengan hang, jangan percaya bulat-bulat. Ala macam bercinta zaman universiti, janji sana-sini last-last hanpa grad asing2 sebab dia extend pastu dia jumpa orang lain, habis kempunan hang nak nikah. Namun jika dia berani berjanji dengan orang tua anda, itu 990 peratus dijamin dia nak nikah dengan anda. 10 peratus lagi tu simpanlah kut-kut umur tak panjang atau dia jatuh sakit dan sebagainya.


" I've learned that home isn't a place, it's a feeling " - Love Rosie

  Kesimpulannya, tanda-tanda seorang lelaki itu benar serius ingin membawa perhubungan ke gerbang perkahwinan sangat banyak dan mungkin berbeza mengikut individu. Apa yang saya nukilkan diatas hanyalah pandangan dan perspektif dari sudut diri saya, seorang yang masih belum berkahwin, masih belajar, masih berpeluh nak habiskan degree dan masih menyendiri. Mungkin ada point yang tidak valid diatas due to my credibility. Tapi apapun, buat saya 4 isi utama yang disampaikan diatas adalah faktor yang anda perlu selidik daripada pasangan anda. Jangan anggap entri ini hanya untuk kaum adam sahaja, seharusnya kaum hawa juga memikirkan perkara yang sama. Iyalah hanpa nak hidup berdua sampai ke syurga kut, takkan nak harapkan sebelah pihak sahaja.acece emo pulak,luls. Apapun, semoga berjaya dalam perhubungan anda saya ucapkan. Yang sudah bercouple memadu kasih tu segeralah bernikah agar semuanya ditukarkan menjadi pahala instead of lagha dan dosa. Pada yang masih menyendiri, usaha lah cari tapi jangan lupa orang-orang disisi agar yang dikejar dapat, yang dikendong tidak tercicir. Maaf atas salah dan silap, selamat melangkah ke tahun 2016. :)


#solluallannabiy


Friday, December 11, 2015

Plumeria Obtusa


"Kenapa buat macam tu?"

Soalan mak Teh dibiarkan sepi tidak berjawab oleh Husna. Matanya merenung rumput segar yang masih basah diselaputi embun pagi.Damai. Suasana pagi yang indah dan tenang dirumah inilah yang amat dirinduinya setelah hampir sebulan tidak pulang ke rumah. Namun kepulangannya kini juga dibayangi oleh perasaan bersalah dan keliru. Tak tahulah, sejak peristiwa tiga hari lepas itu berlaku, hatinya tidak tenang. Kerana itu juga gigih dia pulang kerumah walau assignments dan project bertimbun-timbun menunggu untuk dilayan.allah haii..

"Una, mak teh tanya ni.." 

Mak teh mengulang soalan sambil tangannya cekap mencabut rumput yang semakin galak pula tumbuhnya disekitar pohon Plumeria Obtusa yang megah itu. Kuntuman putih suci itu diserikan lagi dengan warna kuning raja di bahagian tengahnya. Sungguhlah indah benar ciptaan tuhan. Keputihan kelopak bunga kemboja ini persis manisnya wajah Husna. Darah German yang diwarisi dari bapanya, Adalwine Eginhardt Rahman benar-benar jelas dalam diri mereka lima beradik. Namun Husna yang paling menyerlah dalam kalangan mereka.

"entahlah mak teh, pada cuna dia belum bersedia lagi. Apa yang cuna nampak dari segi financial dan kematangan dalam membuat keputusan dan actions, both of us masih belum cukup kuat untuk hidup berdikari. Tapi suka tu suka lah..Iyelah siapa tak gembira kalau orang yang kita suka dalam diam sebenarnya suka kat kita balik? ehehe".

Senyum Mak teh sampai ke hujung pipi entah sampai nak kemana dah. Merah muka si Husna usai melepas perasaannya tadi.

"Hamboi bukan main suka dia ye, Mak teh bagitau ummi baru tahu...Kamu ni pun janganlah cakap omputeh sangat, mak teh tak faham." bilang Mak teh sambil tergelak kecil.

"eee ngengada lah mak teh ni!" renggus Husna perlahan sebelum mengorak langkah ke arah Mak teh.

" Nak tolong!" ucapnya girang sambil pipi masih lagi panas selepas confession tadi.

***********************
"Sorry brother, tapi buat masa ini saya langsung tak memikirkan hal-hal hati dan perasaan macam ni. Saya hargai niat baik brother, but i just can't. Apapun, i'm always open to be friend with you."

Senyum kecil ditampal sebelum dia pergi meminta diri. Hati dah nak jatuh berterabur dah ni bila dapat direct confession daripada brother tersebut. Aishah yang berada disisinya dari tadi gelak tak habis-habis. Kalaulah mamat tu tahu perangai childish dan kalutnya si Husna ni memang dia tak jadi nak propose teruih tadi! haha

Selesai satu masalah, tenteram dua pemilik hati. senyum





Tuesday, December 01, 2015

Kelemahan Universal Declaration On Human Right (UDHR)

  

   Haikal mengatur langkah perlahan sambil matanya memerhati keadaan sekitar yang dipenuhi dengan pelbagai gelagat manusia. Suasananya sibuk, tipikal bagi sebuah bandar raya besar seperti Kuala Lumpur. Di celah kesibukan manusia dan hiruk pikuk kenderaan menderu di atas jalan raya, beliau ternampak satu susuk tubuh duduk lemah. Wajahnya menunduk ke bumi sambil tangannya memegang sebuah tin minuman ringan yang telah dipotong bahagian penutupnya. Ketika ada manusia yang berjalan melepasi dirinya, digoncang tin itu. Bunyi duit syiling berlaga laju membelah dan menembusi gegendang telinga manusia yang berjalan di hadapannya. Sedih. Mungkin daripada 10 orang yang berlalu melepasi lelaki ini, hanya seorang yang menghulur derma tanda sifat kemanusiaan masih ada. Selebihnya? Masih berkira-kira dan mungkin sebenarnya mereka juga sedang mengikat perut demi menampung perbelanjaan semasa yang kian meningkat hari demi hari. Kita semua sama sahaja sebenarnya, mengemis dan mencongak nasib diri buat hari esok. Namun perbezaannya antara kita dengan mereka, hak asasi mereka sebagai manusia seakan-akan tiada, Mereka juga mempunyai hak untuk mendapat tempat tinggal, hak untuk bersuara dan hak untuk mendapat makanan buat kelangsungan hidup. Hak asasi yang dicanang-canang membela nasib manusia seakan-akan tidak merangkumi insan-insan gelandangan seperti mereka. Situasi ini terjadi bukan hanya di tanah air kita, namun di serata dunia. Malahan tidak mustahil jika saya katakan bahawa nasib yang menimpa mereka yang berada di luar negara kita jauh lebih buruk dan menyedihkan. Jadi apakah maksud hak asasi manusia sebenarnya? Siapakah yang berada di bawah payung hak asasi manusia ini? Mari kita bincangkan.

   Definisi bagi Hak Asasi Manusia (HAM) menurut seorang ahli filosofi barat iaitu John Locke, hak adalah hak yang diberikan langsung oleh Tuhan sebagai sesuatu yang alami. Ertinya, hak asasi manusia yang dimiliki manusia sifatnya tidak dapat dipisahkan dari hakikatnya, sehingga bersifat suci. Manakala menurut ilmuwan islam yakni Dr Wahbah al-Zuhaili, hak insan adalah himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya yang diperakukan secara alami walaupun belum diiktiraf atau dicerobohi oleh mana-mana pihak. Ia merangkumi has asasi seperti hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak mereka untuk merdeka, hak untuk mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat, hak menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak bekerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia mendapat asuhan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain. Beliau menegaskan, al-karamah al insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber hak asasi. Apabila wujudnya penghargaan terhadap karamah Insaniah itu bermakna adanya keinsanan manusia berkenaan yang membezakannya dengan haiwan. Setelah kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai definisi hak asasi manusia, mari kita masuk kepada skop perbincangan pada hari ini.


   Pada tanggal 10 Disember tahun 1948, secara rasminya deklarasi hak asasi manusia telah diisytiharkan bertempat di Pallace de Chaillot, Perancis. Deklarasi ini yang dipersetujui dan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertitik tolak daripada tragedi dan pengalaman hitam semasa Perang Dunia Kedua. Sewaktu pengisytiharannya, deklarasi ini telah mendapat 40 undian sokongan, 0 undian bantahan dan 8 negara memilih untuk berkecuali. Pada hari ini jika kita lihat telah ada beberapa pindaan dilakukan kepada teks asal deklarasi hak asasi manusia tersebut. Deklarasi ini mengandungi 30 perkara yang menggariskan hak asasi manusia berdasarkan pemerhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia boleh diguna pakai ke atas semua rakyat. Pasca pengisytiharannya, deklarasi hak asasi manusia 1948 atau lebih dikenali sebagai Universal Declaration of Human Right (UDHR) dipuji dan di sokong oleh ramai ahli akademik, mahkamah perlembagaan dan tidak lupa kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Dengan wujudnya deklarasi ini, hampir separuh masalah berkaitan hak asasi manusia di dunia dapat diselesaikan dan memberi harapan kepada kemanusiaan semula. Namun, sejak akhir-akhir ini hak asasi manusia telah jelas dicabuli dan dilanggar oleh pelbagai pihak. Contohnya sangat ketara dan jelas, rakyat Palestin setiap hari menderita ditindas oleh rejim zalim Zionis yang dahagakan tanah bagi penempatan kaum Yahudi. Begitu juga kaum minoriti Rohingya di Myanmar yang dinafikan hak kewarganegaraan mereka serta diusir keluar dari negara mereka sendiri. Malah lihat sahaja mangsa peperangan saudara di Syria yang dilayan lebih teruk daripada manusia. Kini, pelarian-pelarian perang ini menggadai nyawa merentas lautan untuk membuka lembaran baru di dalam hidup mereka di negara-negara Eropah dan Turki khususnya. Apakah deklarasi yang dipuji dan dibangga-banggakan ini gagal berfungsi dan hanya tulisan semata? Di manakah kelemahan deklarasi hak asasi manusia ini yang perlu kita sama-sama perbaiki?


   Kelemahan pertama Deklarasi hak asasi manusia yang ditunjangi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah pendirian mereka yang selalu tunduk pada kuasa-kuasa besar dunia. Seringkali sesebuah kata putus  berkenaan hak asasi manusia atau isu kemanusiaan telah dicapai, pasti ia akan dibatalkan dengan penglibatan kuasa daripada Majlis Keselamatan PBB. Siapakah peneraju Majlis Keselamatan PBB yang dilihat mempunyai kuasa pembatal ini? Majlis keselamatan PBB adalah majlis yang dianggotai oleh ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menariknya 5 ahli tetap majlis ini mempunyai kuasa veto, yakni kuasa pembatal. Majlis keselamatan ini terdiri daripada negara-negara besar dunia seperti Amerika syarikat, Russia, China, United Kingdom dan Perancis serta sebilangan kecil ahli tidak tetap. Contoh mudah  yang boleh saya berikan adalah ketika konflik di negara Syria semakin memuncak, Russia menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang kemasukan tentera pengaman daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sendiri. Tindakan ini menyebabkan bilangan rakyat negara Syria yang terjejas dengan peperangan saudara di tanah air mereka bertambah ramai. Langkah yang dipersetujui ahli-ahli PBB ini bertujuan menyelamatkan nyawa insan yang tidak bersalah di sana. Namun, oleh sebab hubungan rapat antara Presiden negara Syria, Bashar Al-Assad bersama rakan sejawatannya di Russia, yakni Vladimir Putin menghalang kemasukan pasukan pengaman dan perubatan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tragisnya, keputusan yang dibuat oleh majoriti suara negara-negara ahli di dalam PBB itu sendiri hanyalah sebuah cadangan yang akan ditentukan pelaksanaannya oleh Majlis Keselamatan PBB. Bukankah seharusnya kedua-dua majlis ini yang bernaung di bawah organisasi yang sama mengeluarkan keputusan bersama? Maka tidak salah jika saya nyatakan bahawa sistem di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sendiri bermasalah dan masih tidak jelas.



Kelemahan kedua dalam isu hak asasi yang diperjuangkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah banyaknya berkata tetapi kurang tindakan. Situasi ini boleh diibaratkan bagai mengetuk tin yang kosong. Bunyinya kuat, tetapi di dalamnya kosong, tiada isi. Tidak dapat saya nafikan bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang diajukan kepada mereka. Usaha mereka sangat dihargai dan dihormati oleh semua pihak, namun pihak PBB dilihat terlalu banyak mengeluarkan kenyataan dan mengadakan dialog perbincangan berbanding membuat tindakan. Hal ini menyebabkan himpunan krisis kemanusiaan masih tidak selesai sehingga berlanjutan buat puluhan tahun. Contoh mudah yang boleh kita lihat bersama ialah krisis pertikaian tanah air di antara rakyat Palestin dan Israel. Negara Israel, yang diasaskan dan dibangunkan di atas tanah berdaulat Palestin kini sedikit demi sedikit menakluk tanah-tanah milik rakyat Palestin dan memberikannya kepada pendatang-pendatang Yahudi yang datang dari seluruh dunia. Pelan pembahagian sempadan dan kedaulatan yang dirancang oleh PBB pada tahun 1948 jelas telah gagal. Kini kerakusan pihak Israel meluaskan sempadan mereka telah menyebabkan ratusan rakyat Palestin dinafikan hak asasi mereka. Hampir saban tahun serangan dan tindakan-tindakan provokasi daripada rejim Israel menyebabkan penduduk Palestin terkorban. Tanah air mereka perlahan-lahan hilang kedaulatannya dan digantikan dengan sebuah negara baru, yakni Israel. Meskipun pelbagai kecaman dan amaran telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pihak Israel masih berkeras dengan pendirian mereka. Di sini jelas bahawa hak asasi manusia dicabul namun dunia dan khususnya PBB gagal berbuat sesuatu untuk menghalangnya melainkan hanya dengan mengeluarkan kenyataan dan kecaman demi kecaman. Perkara ini menjadi bukti bahawa PBB lemah dalam menyelesaikan krisis dan masalah yang seharusnya mereka tangani.

   Bagi setiap kelemahan itu pasti ada jalan untuk memperbaikinya. Begitu juga dengan kelemahan aspek hak asasi manusia yang kita bincangkan ini. Kelemahan pertama yang kita bincangkan yakni PBB yang sering tunduk di atas arahan kuasa veto boleh kita selesaikan jika semua pihak bersetuju untuk bersama di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tanpa mempunyai kepentingan. Sistem sedia ada yang diguna pakai menunjukkan adanya tapisan di dalam sesuatu keputusan. Setelah persidangan negara-negara ahli, suara majoriti akan diperoleh tentang sesuatu isu. Namun jika keputusan bersama ini bertentangan dengan kehendak negara berkuasa veto yang mempunyai kepentingan tertentu keputusan itu akan dibatalkan. Hal ini menyebabkan banyak perkara khususnya isu hak asasi manusia yang dibincangkan tergendala dan tidak mencapai matlamatnya. Maka untuk memberi keadilan kepada semua pihak, kelima-lima buah negara yang mempunyai kuasa veto ini harus duduk semeja dan sebaris bersama negara-negara ahli yang lain. Namun yang memberi perbezaan kepada mereka ialah undi mereka dianggap sebagai undi popular. Sekurang-kurangnya daripada 5 negara tersebut, 3 undian daripada mereka diperlukan bagi membatalkan sesuatu keputusan. Dengan cara ini, keseimbangan kuasa dapat dikekalkan dan mengelakkan kuasa tunggal yang sering mengganggu keputusan suara majoriti. Ironinya, ahli-ahli tetap ketika penubuhan Majlis Keselamatan PBB dipilih daripada negara yang memenangi perang dunia kedua kecuali Persekutuan Russia dan Republik Rakyat China. Kini zaman telah berubah dan kebangkitan kuasa-kuasa baru dunia boleh mengimbangi pakatan ini. India, Turki, Jepun malah Brazil kini semakin meningkat naik dan berpotensi menjadi negara berkuasa besar dunia kelak. Maka, jika sistem ini dapat diperbaiki dan ditambah baik, pasti hasilnya akan lebih memberangsangkan dan memberi manfaat kepada seluruh dunia. Isu berkaitan hak asasi manusia juga pasti dapat ditangani dengan lebih efisyen dan komprehensif. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Seharusnya kita memperbaiki diri kita dahulu sebelum memperbetulkan orang lain. Saya percaya jika sistem ini dapat kita tambah baik, isu hak asasi manusia akan lebih terjamin dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.

   Langkah kedua yang perlu kita ambil agar hak asasi manusia bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia dipandang serius adalah dengan mendesak pihak yang berkaitan agar lebih proaktif. Di sini kita berbincang mengenai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang terlalu banyak mengeluarkan kenyataan dan kecaman berbanding bertindak menangani masalah itu sendiri. Mengikut pepatah Inggeris, “actions speak louder than word “. Kita harus berpegang pada pepatah ini dan begitu juga seharusnya dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Jika sebelum ini pihak PBB memberi alasan bahawa mereka dihalang daripada menyalurkan sesuatu bantuan kerana di ancam oleh pihak atau negara tertentu. Namun seharusnya dengan seluruh dunia di belakang mereka, melihatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu sebagai badan yang menyatukan negara- negara ahli dari seluruh dunia. Maka sepatutnya tidak ada masalah bagi mereka mengambil tindakan. Tindakan yang diambil juga semuanya bermatlamatkan menjaga hak asasi manusia, maka sudah tidak ada isu mengganggu kedaulatan sesebuah negara. Misalnya ialah kemasukan pasukan perubatan dan bantuan makanan ketika krisis kemanusiaan berlaku di Afrika tengah pada tahun 2014 yang lalu. Kepantasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan agensi kemanusiaan yang lain mengutip dana dan menyalurkannya kepada mangsa di Afrika Tengah wajar dipuji. Inilah contoh langkah proaktif yang kita mahu dijalankan oleh setiap pihak apabila berbincang mengenai isu hak asasi manusia. Melihat kepada situasi di Malaysia, selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), pelbagai badan bukan kerajaan seperti The Nasi Lemak Project (TNLP), Teach For The Need (TFTN) bergiat aktif memberi sumbangan kepada mereka yang berkenaan. Antara bentuk sumbangannya ialah dari segi pendidikan dan makanan bagi gelandangan yang ada. Namun kita masih belum mampu menyediakan tempat tinggal buat mereka yang kurang berkemampuan ini.

   Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Peribahasa ini membawa maksud bahawa masyarakat atau sesuatu kumpulan perlu bekerjasama dan berkongsi susah serta senang bersama di dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Berpegang kepada peribahasa ini, kita sebagai penghuni dan pemimpin di atas muka bumi harus bersatu dalam menangani isu- isu hak kemanusiaan tidak mengira bangsa, bahasa, budaya, agama malah kewarganegaraan. Pada pandangan saya, hak asasi manusia tidak mempunyai sempadan fizikal, hak asasi manusia meliputi setiap tanah dan lautan yang dipijak oleh seorang manusia. Hubungan istimewa yang kita kongsi bersama sebagai satu makhluk yang bergelar manusia harus dijaga dengan sebaiknya. Hak asasi manusia harus dikongsi oleh semua manusia dan diberikan tanpa ada diskriminasi. Sahabat kita di Amerika Syarikat sudah merasai pedihnya hidup ketika zaman apartheid kulit putih dan hitam kira-kira 250 tahun yang lalu. Masyarakat Asia khususnya kerajaan-kerajaan Nusantara juga telah merasai bertapa angkuhnya bangsa Eropah menjajah dan memerintah kerajaan-kerajaan Nusantara seperti Kerajaan Islam di Riau dan Kesultanan Melayu Melaka  pada 500 tahun yang lalu. Dunia juga melihat bagaimana rakyat Palestin dan Israel berbalah sesama mereka bermula 60 tahun yang lalu sehingga kini. Sampai bila harus kita bertelagah dan bertikam lidah sesama kita?. Implikasi konflik dan peperangan ini kebiasaannya membawa kecederaan dan kematian kepada manusia itu sendiri. Oleh sebab perkara seperti inilah kita bercakap mengenai hak asasi manusia. Marilah kita bina persefahaman sesama kita dan bersepakat demi masa depan yang lebih cerah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana sepakat. Perjalanan kita dalam membela dan mempertahankan hak asasi manusia sudah pasti panjang dan berliku-liku, tetapi kita tidak patut menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mencuba. Marilah kita beri peluang buat kemanusiaan untuk kembali mekar semula, demi kehidupan yang lebih harmoni dan demi generasi akan datang yang akan mewarisi bumi yang kita diami ini.
2135 patah perkataan.
Sumber-sumber rujukan:
1.    Hak Asasi manusia dalam perspektif hukum islam, Yefrizawati, Program Studi Hukum keperdataan, Fakultas Hukum, Universitas Sumatera Utara
2.    Hak asasi manusia dari perspektif islam, https://temanteras.wordpress.com/shura/hak-asasi-manusia-dari-perspektif-islam/

3.    100 Pengertian hak asasi manusia menurut para ahli, http://www.dosenpendidikan.com/100-pengertian-hak-asasi-manusia-menurut-para-ahli/

[ Esei ini telah dihantar bagi menyertai Pertandingan Menulis Esei Pendek Sempena Hari Hak Asasi Manusia anjuran CENTHRA, yakni dibawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Moga-moga dengan penulisan ini mampu membuka mata masyarakat dan lebih-lebih lagi belia tentang apa itu hak asasi manusia dan pengaruhnya dalam hidup kita] 
senyum